Nintendo minggu ini telah kongsi Indie World Showcase yang memperlihatkan permainan-permainan indie akan tiba untuk Nintendo Switch. Dengan video sepanjang 24 minit, ia telah memperlihatkan pelbagai permainan menarik.

Anda boleh tonton video penuh di bawah dan kami juga senaraikan permainan-permainan yang diumumkan.

Ooblets

Ooblets adalah permainan oleh Glumberland yang dikeluarkan sejak tahun 2020 lagi, akhirnya tiba di Nintendo Switch. Ia adalah permainan pengembaraan yang membolehkan pemain untuk bercucuk tanam, berhubung dengan orang kampung dan memelihara makhluk-makhluk comel. Ia akan tiba pada suku ketiga tahun ini.

Batora: Lost Haven

Batora: Lost Haven adalah permainan oleh Stormind Games dan diterbitkan oleh Team 17. Ia adalah permainan aksi pengembaraan yang mempunyai sistem pertempuran hack & slash, ia juga mempunyai penceritaan yang mendalam. Ia akan dikeluarkan pada akhir tahun ini.

ElecHead

ElecHead adalah permainan platformer tatalan-tepi yang dibangunkan oleh Nama Takahashi, di mana beliau membangunkan permainan secara bersendirian. Permainan ini akan memerlukan pemain untuk menyelesaikan pelbagai tekaria di setiap peringkat, pemain boleh memisahkan kepala dari badan untuk menyelesaikannya tetapi perlu cepat kerana terlalu lama berpisah, ia akan meletup. Ia akan tiba suku ketiga tahun ini.

Soundfall

Soundfall adalah permainan aksi pengembaraan dari pandangan atas yang juga merupakan permainan berdasarkan irama dan looter-shooter, ia juga boleh dimainkan secara koperasi sehingga 4 pemain secara setempat ataupun dalam talian. Soundfall diterbitkan oleh Noodlecake dan dibangunkan oleh Drastic Games. Ia sudah dikeluarkan bermula hari ini.

Wildfrost

Wildfrost adalah permainan kad roguelite yang dibangunkan oleh Deadpan Games dan diterbitkan oleh Chucklefish. Pemain boleh membina penempatan untuk membantu mendapatkan pelbagai jenis kad berbeza dan juga menyelesaikan misi-misi harian. Ia akan tiba pada akhir tahun ini.

Totally Accurate Battle Simulator

Totally Accurate Battle Simulator adalah permainan simulasi pertempuran yang menggunakan gerakan seperti patung permainan. Ia dibangunkan oleh Landfall Games dan sudah dikeluarkan sejak tahun 2019 lagi dan akan tiba di Nintendo Switch pada suku ketiga tahun ini.

Gunbrella

Gunbrella adalah permainan aksi pengembaraan tatalan-tepi yang menggunakan grafik rekaan pixel. Ia dibangunkan oleh Doinksoft dan diterbitkan oleh Devolver Digital. Gunbrella akan tiba di Nintendo Switch pada tahun 2023.

We Are OFK

We are OFK adalah permainan pengembaraan yang memfokuskan kepada penceritaan yang juga merupakan biopic mengenai satu kumpulan muzik OFK dan dibangunkan oleh Team OFK. Ia akan dikeluarkan untuk Nintendo Switch dan platform-platform lain pada suku ketiga tahun ini, dengan episod baharu akan dikeluarkan secara mingguan.

SILT

Silt adalah permainan yang dibangunkan oleh Spiral Circus Games yang akan diterbitkan oleh Fireshine Games. Ia merupakan permainan pengembaraan di dasar laut, di mana setiap grafik dilukis tangan oleh pembangun dan dan bunyi direkod di dalam akuarium. Silt akan dikeluarkan bulan Jun ini.

Mini Motorways

Mini Motorways adalah permainan tekaria yang memerlukan anda untuk membina jalan menghubungi satu tempat ke tempat lain dan pada masa sama mengelakkan dari kesesakan lalu lintas berlaku. Ia dibangunkan oleh Dinosaur Polo Club dan sudah dikeluarkan sejak tahun 2019. Ia sudah dikeluarkan untuk Nintendo Switch.

Wayward Strand

Wayward Strand adalah permainan penceritaan interaktif yang dibangunkan serta diterbitkan oleh Ghost Pattern. Penceritaan mengikuti Casey Beaumaris yang melawar hospital di udara buat pertama kali. Ia akan dikeluarkan pada 21 Julai untuk Nintendo Switch dan platform-platform lain.

Cult of the Lamb

Cult of the Lamb adalah permainan roguelike dan juga menyertakan pembinaan bandar untuk menjadi satu kultus. Ia dibangunkan oleh Massive Monster dan diterbitkan oleh Devolver Digital akan tiba sekitar tahun ini untuk hampir semua platform.

Another Crab’s Treasure

Another Crab’s Treasure adalah permainan souls-like seperti Dark Soul dan Elden Ring tetapi anda menjadi seekor ketam. Ia dibangunkan oleh Aggro Crab yang perlu bertempur dengna pelbagai lagi makhluk lautan. Ia akan dikeluarkan pada tahun 2023.

Selain 13 permainan yang diperlihatkan di atas, permainan-permainan lain yang diumumkan adalah OneShot: World Machine Edition, Gibbon: Beyond the Tress, Idol Manager, Card Shark, Cursed to Golf, A Guidebook of Babel, dan OPUS: Echo of Starsong.

Sohor Kini