Reuters telah melaporkan yang Riot Games telah memfailkan saman terhadap ByteDance mengatakan yang syarikat tersebut telah melanggar hak cipta dengan meniru elemen di dalam permainan League of Legends dan juga barangan promosi untuk permainan mereka – Mobile Legends: Bang Bang.

ByteDance yang terkenal dengan aplikasi TikTok mereka telah mengambil alih Moonton iaitu pembangun dan penerbit Mobile Legends: Bang Bang pada tahun lepas.

Riot Games juga mengatakan yang Mobile Legends telah meniru pelbagai aspek yang di bawa oleh Wild Rift iaitu permainan League of Legends versi mudah alih yang dikeluarkan pada tahun 2020. Antara perkara yang dikatakan ditiru adalah antara muka, rekaan watak, kemahiran dan juga aksesori.

Mobile Legends juga dikatakan telah meniru barangan promosi untuk Wild Rift seperti treler dan juga kasut rekaan khas. Buat masa ini ByteDance dan Moonton tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, manakala Riot mengatakan sama ini adalah selepas peniruan yang berlanjutan sejak tahun 2015 lagi.

Pada tahun 2018, Tencent yang juga pemilik untuk Riot Games telah memfailkan saman terhadap pengawal eksekutif Moonton Xu Zhenhua kerana masalah yang sama, di mana mahkamah meminta Zhenhua untuk membayar RMB19.4 juta (~sekitar RM11 juta) kepada Tencent.

Sohor Kini