Ghostwire: Tokyo adalah satu permainan yang berbeza jika ingin dibandingkan dengan permainan oleh Tango Gameworks sebelum ini iaitu The Evil Within. The Evil Within lebih kepada permainan aksi seram yang memfokuskan kepada ketahanan hidup, manakala Ghostwire: Tokyo adalah permainan aksi pengembaraan yang menjadikan hantu sebagai tema. Oleh itu, jika anda mengharapkan satu pengalaman yang sama dengan The Evil Within, ia sangat berbeza, bahkan saya boleh katakan ia menyasarkan sekumpulan permainan yang berbeza.

Perubahan ini adalah satu perkara yang baik untuk saya yang tidak menggemari permainan seperti The Evil Within, akan tetapi saya merasakan Ghostwire: Tokyo kekurangan keunikan dan pengalaman yang menjadikan ia satu permainan yang berbeza dengan permainan-permainan lain. The Evil Within mempunyai sedikit keunikan yang menjadikan ia adalah satu permainan Tango Gameworks, akan tetapi Ghostwire: Tokyo boleh dibandingkan dengan lebih banyak permainan lain, dan mereka tidak semestinya mengambil apa yang positif daripada permainan-permainan tersebut.

Permainan ini bermula dengan watak protagonis yang juga watak yang dikawal oleh pemain iaitu Akito telah kemalangan dan boleh dikatakan sudah mati, akan tetapi dia diselamatkan oleh roh untuk manusia yang bernama KK, walaupun dia yang menghidupkan semula Akito, tetapi dia juga ingin menggunakan badan tersebut untuk melawan dengan satu kumpulan misteri yang memakai topen Hannya.

Pada awalnya, Akito tidak bersetuju akan tetapi kumpulan penjahat tersebut telah menculik adiknya yang sebelum ini koma di hospital. Berbanding KK mengambil-alih badan Akito, mereka sebaliknya bekerjasama di mana KK membolehkan Akito untuk menggunakan pelbagai kuasa. Pada masa sama, kesemua orang di Jepun telah hilang dan menjadi roh, yang menurut KK disebabkan oleh kumpulan misteri tersebut. Bermula pengembaraan Akito dan KK untuk melawan dengan kumpulan misteri tersebut yang sekaligus juga cuba menyelamatkan adik Akito.

Penceritaan yang di bawa oleh permainan ini adalah antara perkara yang memberikan personaliti tersendiri untuk Ghostwire: Tokyo. Ia mempunyai penceritaan yang menarik, walaupun bukan sesuatu yang unik. Mengikuti penceritaan adalah perkara yang menyeronokkan, dan antara perkara yang membuatkan saya masih bersemangat untuk meneruskan bermain walaupun mempunyai rungutan untuk bentuk permainan yang digunakan.

Perkara positif yang kedua mengenai permainan ini adalah visual yang bagi saya dilakukan sangat berkualiti. Saya sentiasa menyukai apabila sesuatu permainan ataupun filem menggunakan bandar-bandar di Jepun kerana ia mempunyai rekaan yang saya tidak akan puas untuk melawan, dan di dalam permainan ini secara khususnya adalah Tokyo, mereka menghasilkan dengan baik. Tambahan pada itu, rekaan pelbagai gaya serangan juga sangat menarik, anda dengan kata lain menjadi salah seorang daripada Jujutsu Kaisen dengan pelbagai kuasa boleh dilakukan.

Berkait dengan visual, Ghotwire: Tokyo juga mempunyai kualiti grafik dan prestasi yang memuasakan, ia menyertakan dua tetapan utama iaitu Quality Mode untuk grafik paling terbaik dengan sokongan ray tracing tetapi dihadkan kepada 30FPS sahaja, manakala Performance Mode menyasarkan 60 FPS, terdapat juga pilihan pilihan High Framerate untuk kedua-dua pilihan sebelum ini yang akan memberikan kelancaran yang lebih tinggi dengan mengorbankan sedikit kualiti grafik. Pilihan yang saya guna paling lama adalah HFR Performance Mode yang memberikan tahap kelancaran terbaik dengan pengorbanan grafik sedikit sahaja.

Rekaan penjahat ataupun ‘hantu’ di dalam permainan ini juga direka dengan baik, sesuatu yang sudah dijangka daripada Tango Gameworks, namun perkara yang mengecewakan adalah ia kurang variasi dan anda akan sering berjumpa dengan hantu yang memberikan rekaan yang sama. Satu lagi adalah walaupun ia adalah permainan hantu, akan tetapi ia tidak langsung seram, saya tidak ingat jika saya pernah terasa seram daripada permainan ini. Mungkin ada beberapa adegan yang ringkas dan singkat, ia mengecewakan terutama bagi pemain yang menyukai The Evil Within yang mempunyai elemen seram dengan lebih mendalam.

Dua perkara di atas sahaja yang saya boleh katakan sebagai positif untuk permainan ini, manakala masalah utama bagi permainan ini adalah kitaran permainan yang membosankan. Ia membawa masalah yang sama dengan kebanyakan permainan dunia terbuka. Selepas melakukan beberapa misi utama di awal permainan, pemain akan diberikan satu bandar Tokyo untuk diteroka, ia adalah perkara menarik seperti saya nyatakan di atas, akan tetapi apa yang boleh dilakukan kebanyakan adalah collectible sahaja tetapi dijadikan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan tahap.

Perkara yang anda boleh dilakukan di dalam permainan ini adalah misi utama yang akan menggerakkan penceritaan, misi sampingan yang mempunyai penceritaan tersendiri, dan selebihnya adalah “collectible”. Paling utama adalah mengumpul roh, di mana secara keseluruhan ia mempunyai 240,300 roh, dan sekali diambil adalah 90 hingga 200 roh sahaja, ia sangat menyusahkan terutama untuk mengutip roh ini, anda memerlukan Katashiro, yang pada awalnya diberikan 10, dan anda boleh beli untuk menambahnya.

Walaupun anda mempunyai Katashiro yang banyak akan tetapi anda masih perlu menghantarnya menggunakan telefon. Ia adalah kitaran permainan yang renyah, dan atas satu sebab yang saya tidak akan beberkan, adalah lebih baik anda nantikan sehingga habiskan permainan ini buat pertama kali jika ingin mengumpul kesemua roh ini yang diperlukan jika anda ingin mendapatkan kesemua trofi yang ditawarkan di dalam permainan.

Mengumpul roh ini adalah renyah, namun ia hanya memberikan kelebihan dari segi memberi wang dan juga pengalaman, sesuatu yang juga boleh dikumpul dengan cara-cara lain, oleh itu ia tidak terlalu mendesak. Saya mempunyai masalah dengan mencari Jizo Statues, ia patung yang untuk tempat anda perlu berdoa bagi mendapatkan tambahan ‘peluru’ untuk kuasa-kuasa anda. Saya tidak menyukainya kerana ia adalah sesuatu yang penting, mempunyai lebih banyak peluru boleh menjadikan permainan ini baik ataupun membosankan, oleh itu ia sepatutnya boleh ditingkatkan menggunakan peningkatan tahap, ataupun dengan pengalaman, dan bukan dengan menjadikannya satu collectible.

Seterusnya adalah Torii Gate di mana anda perlu menyucikannya untuk membuang jerebu daripada memenuhi kawasan itu, jerebu tersebut akan membunuh jika duduk terlalu lama, oleh itu ia sangat penting untuk membuangnya agar anda dapat mengakses kawasan tersebut. Bagi perkara ini, ia adalah biasa sahaja, seperti menara di dalam Assassin’s Creed ataupun Far Cry dan juga Tallneck di dalam Horizon. Saya tidak mempunyai masalah melakukan Torii Gate sehinggalah di peringkat menghampiri akhir permainan, di mana ia akan mengeluarkan beberapa Torii Gate baharu secara serentak.

Bagi saya, ia telah memaksa saya untuk mengikut kitaran permainan seperti yang dikehendakinya, berbanding sebelum ini, saya dapat memilih bila ingin mencari collectible ataupun melakukan Torii Gate ataupun melakukan misi utama dan misi sampingan. Bercakap mengenai misi utama dan misi sampingan, ia dilakukan dengan baik, terdapat pelbagai peringkat yang memberikan pengalaman yang unik terutama dari segi rekaan kawasan. Ini adalah kerana kebanyakan misi akan membawa pemain ke kawasan baharu dan bukan di bandar Tokyo tersebut, sebaliknya ia mungkin di dalam bangunan ataupun di dalam gua. Misi sampingan pula banyak memperkenalkan saya kepada kepercayaan-kepercayaan mengenai pelbagai jenis hantu di Jepun, dan ia adalah menarik.

Namun, oleh kerana setiap misi ini akan memerlukan pertempuran, begitu juga pengembaraan, ia akhirnya ditarik ke bawah dengan pertempuran yang bagi saya terasa sangat berulang. Anda akan mempunyai tiga elemen serangan iaitu angin, yang lebih kepada serangan cepat tetapi lemah, serangan air yang lebih kuat dan lebih luas dan elemen api yang akan meletup dan memberikan serangan yang paling kuat. Satu lagi adalah panah yang melakukan serangan biasa. Setiap eleman dan panah akan mempunyai peluru tersendiri, dan bagi elemen ia boleh ditingkatkan dengan mencari Jizo Statues seperti saya katakan di atas. Manakala panah boleh ditingkatkan melalui pokok kemahiran yang menggunakan skill points.

Oleh kerana ia memerlukan peluru yang terhad, idea permainan ini adalah mencari cara untuk melakukan serangan yang dapat membunuh sejumlah penjahat seramai yang mungkin, dan untuk memastikan peluru sentiasa diisi semula, penjahat boleh diserang sehingga ‘core exposure’ yang anda kemudiannya ambil, jika berjaya ia akan memberikan tambahan nyawa dan mengisi peluru mengikut elemen secara rawak. Anda juga boleh mengisi peluru dengan menghancurkan barangan-barangan di sekitar bandar Tokyo, yang sekali lagi saya merasakan ia sangat tidak diperlukan dan sangat menyusahkan.

Pemain juga boleh menggunakan pelbagai talisman yang akan memberikan serangan tambahan, seperti mengikat penjahat di satu tempat dengan kejutan elektrik. Sekurangnya-kurangnya talisman bersama dengan panah boleh dibeli daripada kedai, berbanding menghancurkan barang-barang di bandar. Sistem ini adalah menarik untuk beberapa jam pertama, akan tetapi walaupun saya sudah mencapai bahagian akhir permainan akan tetapi pertempuran terasa sama sahaja, tiada perubahan yang signifikan, dengan kata lain ia terasa sangat mendatar. Bagi saya, ia adalah perkara yang mengecewakan terutama dengan kesan visual yang sangat cool melakukan serangan-serangan ini.

Pokok kemahiran di dalam permainan ini menggunakan sistem skill points dan juga dengan mengumpul Magatama (sekali lagi, satu ‘collectible’). Ia mencukupi untuk memberikan elemen RPG di dalam permainan ini, akan tetapi hanya ada beberapa kemahiran sahaja yang akan benar-benar mengubah cara saya bermain, selebihnya adalah sekadar menguatkan lagi serangan sedia ada yang gagal untuk menjadikan pengalaman bertempur terasa berlainan, ia mungkin menjadi lebih cepat tetapi tidak lebih menarik.

Akhir kata, Ghostwire: Tokyo adalah salah satu permainan yang mempunyai penceritaan yang menarik dan sentiasa membuatkan saya tertanya apa seterusnya, selain itu visual juga antara tercantik dan terbaik. Selain rekaan bandar Tokyo yang dihasilkan dengan baik, ditambah lagi dengan perasaan seram dan bandar yang ditinggalkan, ia adalah satu kawasan yang seronok untuk mengembara. Visual pertempuran juga sangat cool, menjadikan ia adalah satu permainan Jujutsu Kaisen yang menggunakan judul dan dunia yang berbeza.

Namun, kelebihan dua perkara tersebut tidak berjaya untuk menampung kekurangan yang disertakan di dalam bentuk permainan yang bagi saya sangat berulang, renyah dan menjengkelkan. Terdapat terlalu banyak perkara yang perlu dikumpul, manakala sistem pertempuran juga hanya menarik pada awal permainan akan tetapi terus menjadi bosan pada pertengahan, walaupun Ghotwire: Tokyo adalah satu permainan pendek di mana ia boleh dihabiskan dalam masa 20 jam sahaja untuk misi utama dan beberapa misi sampingan serta collectible.

Oleh itu, ia adalah permainan yang mengecewakan bukan kerana ia bukan permainan yang baik akan tetapi kerana terdapat potensi yang besar tidak dipenuhi. Saya inginkan untuk Tango Gameworks meneruskan siri ini akan tetapi perlu dikembangkan lagi penawarannya serta membawa pemain ke tempat baharu, Ghostwire: Ipoh mungkin?

Penafian: Kod permainan Ghostwire: Tokyo untuk PS5 disedikan oleh Bethesda bagi tujuan ulasan ini.

Ghostwire: Tokyo
Ghostwire: Tokyo mempunyai penceritaan dan visual yang sangat menarik tetapi telah ditarik ke bawah oleh bentuk permainan dan sistem pertempuran yang sangat berulang.
Positif
Penceritaan Yang Menarik
Visual dan Grafik Yang Berkualiti
Negatif
Kitaran Permainan Yang Membosankan
Sistem Pertempuran Terasa Sangat Mendatar
7

Sohor Kini