Pada tahun lepas, Microsoft dan Xbox telah mengumumkan yang mereka akan menyediakan pelbagai cara untuk pemain mengakses permainan-permainan mereka termasuk juga bagi pemain yang tidak memiliki konsol Xbox ataupun PC.
Cara utama yang dipercakapkan adalah melalui penstriman iaitu Xbox Cloud Gaming yang sudah diperkenalkan bersama dengan langganan Xbox Game Pass Ultimate. Buat masa ini perkhidmatan tersebut terhad kepada konsol, PC dan peranti pintar.
Mereka juga mengatakan akan bekerjasama dengan pengeluar TV untuk menyertakan sokongan terus, dan juga akan hadir dengan dongel TV yang akan menyokong Xbox Cloud Gaming di pelbagai jenis TV. Melalui laporan oleh GamesBeat, Xbox akan melancarkan dongel tersebut dalam masa 12 bulan.
Microsoft sebelum ini telah mengumumkan yang Xbox Cloud Gaming mempunyai 10 juta pengguna aktif akan tetapi masih ditawarkan di beberapa negara sahaja. Malaysia buat masa ini hanya menyokong PC Game Pass.