Ini adalah filem terakhir untuk segmen Filem Iftar dengan kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada minggu depan, dan untuk filem terakhir saya memilih Manchester by the Sea iaitu filem yang dikeluarkan pada tahun 2016, arahan dan juga ditulis oleh Kenneth Lonergan dengan lakonan Casey Affleck, Michelle Williams, Lucas Hedges dan juga Kyle Chandler.

Ini bukanlah pertama kali saya tonton filem ini, selepas ia memenangi dua anugerah Oscars pada tahun 2017 iaitu untuk Penulisan Terbaik dan juga Pelakon Lelaki Terbaik, saya menontonnya dan terus merasakan yang ia adalah antara filem terbaik pernah saya tonton.

Ia adalah filem yang memfokuskan kepada watak Lee Chandler lakonan Casey Affleck terpaksa kembali ke tempat lahirnya, setelah bertahun berhijrah, kerana abangnya lakonan Kyle Chandler meninggal dunia dan dia diamanahkan untuk menjaga anak saudaranya Patrick Chandler lakonan Lucas Hedges. Lee meninggalkan kampungnya, iaitu Manchester-by-the-Sea di Massachusetts, Amerika Syarikat selepas berlakunya satu tragedi yang melibatkan dirinya dan bekas isterinya iaitu Randi lakonan Michelle Williams.

Tragedi tersebut telah membuatkan Lee berasa sangat sedih dan kembali ke Manchester mengembalikan kenangan mengenai tragedi tersebut. Namun, disebabkan amanah yang diberikan dia terpaksa melalui sahaja. Pada masa sama, ia juga memperlihatkan bagaimana Patrick menghadapi kedukaan selepas kematian ayahnya.

Kekuatan filem ini adalah bagaimana setiap kesedihan, kedukaan disampaikan dengan sangat baik. Namun, ia bukan untuk membuatkan penonton terasa sedih, akan tetapi lebih kepada inginkan penonton menyedari kepahitan yang mereka rasakan, dengan kata lain berasa simpati berbanding empati, yang bagi saya sesuatu yang unik untuk sesuatu filem drama yang kebiasaannya lebih inginkan perasaan empati, inginkan penonton menjiwai watak tersebut.

Filem ini juga menjadikan bagaimana untuk menyembuhkan luka sesuatu tragedi, memerlukan seseorang itu untuk menyedari dan merasai kesedihan tersebut dan bukan dipendam yang akan membuatkan ia menjadi lebih teruk. Selain itu, ia juga adalah penting untuk mempunyai sokongan daripada seseorang untuk melaluinya.

Ini diperlihatkan dengan sangat baik dengan Lee yang terpaksa melalui semula kesedihan kerana pulang ke Manchester, berjumpa semula dengan keluarganya, manakala Patrick pula berduka kerana baru sahaja kehilangan ayahnya, bersama mereka saling membantu dan menjadi sebab untuk kedua-dua mereka bergerak ke depan.

Lakonan di dalam filem ini juga bagi saya adalah antara yang terbaik pernah hadir di dalam filem, walaupun Casey Affleck sahaja yang memenangi anugerah di Oscars akan tetapi lakonan Michelle Williams juga bagi saya layak untuk diberi penghargaan yang sama.

Terdapat satu adegan di mana Lee dan Randi berjumpa setelah lama bercerai dan tidak berhubung, adegan tersebut memperlihatkan bagaimana kesedihan, kekesalan dan pasrah di sampaikan di dalam satu adegan dengan serentak dengan penggunaan dialog sahaja. Tidak keterlaluan jika saya ingin katakan penyampaian oleh Casey Affleck dan Michelle Williams di dalam adegan tersebut, menjadikan mereka berada di taraf sendiri dalam dunia lakonan.

Penulisan dan pilihan untuk penyampaian sesuatu adegan juga dilakukan dengan sangat berkualiti oleh Kenneth Lonergan. Terdapat banyak adegan yang diselitkan dengan sesuatu yang tidak dijangka membuatkan ia terasa sangat realistik. Contohnya, di dalam satu adegan yang menyedihkan melibatkan ambulans, akan tetapi diperlihatkan bagaimana ambulan membuat kesilapan, ketidaksempurnaan ini menjadikan adegan-adegan ini terasa lebih baik, bahkan membantu untuk menjadikan perasaan simpati berbanding empati.

Filem ini adalah sepanjang 2 jam 10 minit, dan ia dipenuhi dengan dialog, namun bagi saya ia adalah filem yang sangat menarik dan sentiasa akan meminta perhatian daripada penonton. Malangnya, filem ini tidak ditawarkan di mana-mana platform penstriman, walaupun ia adalah filem Amazon Studios tetapi atas sebab yang tidak diketahui, ia tidak ditawarkan di Prime Video.

Ia boleh didapatkan melalui iTunes Store dan Play Store di negara-negara yang menyokongnya, di mana saya gunakan Amerika Syarikat.

Filem Iftar:

Sohor Kini