Wizards of the Coast telah melancarkan penambahan baharu untuk Magic: The Gathering iaitu Streets of New Capenna bermula pada hari ini, dan kami telah diberikan dengan satu deck untuk Commander dan juga 6 Set Booster daripada penambahan ini. Oleh itu, melalui artikel ini kami akan kongsikan apa kad-kad yang kami peroleh daripadanya.

Commander Deck Streets of New Capenna

Bagi yang tidak biasa dengan permainan MTG, Commander Deck adalah satu format yang tersendiri di mana ia akan dimainkan bersama dengan Commander Deck yang lain. Berikut adalah kandungan di dalam untuk setiap satu Commander Deck;

  • Dek yang mempunyai 99 kad
  • 1 Foil Commander
  • 10 token
  • 1 Kotak dek
  • 1 Roda nyawa
  • 1 Pek Sample Collector Booster [2]
  • 1 Foil common atau uncommon
  • 1 Kad mythic of the set dengan rekaan Booster Fun.

Cara permainan untuk Commander Deck adalah sedikit berbeza berbanding permainan biasa dan anda boleh layari wiki ataupun membaca peraturan rasmi oleh Wizards of the Coast untuk mengetahui lanjut mengenainya.

Seperti dinyatakan di atas, di dalam satu dek ini akan disertakan 100 kad, iaitu 85 kad biasa (creature, spell ataupun land) dan 15 kad Basic Land mengikut warna bagi dek tersebut. Di mana yang kami terima adalah Forest, Mountain, dan Swamp.

Di dalam dek yang kami buka terdapat 8 kad mythic dan tiga daripadanya adalah Legendary Creature iaitu Henzie “Toolbox” Torre yang juga diperlihatkan di luar kotak, The Beamtown Bullies dan Kresh the Bloodbraided.

Bagi Henzie “Toolbox” Torre memfokuskan kepada “Blitz”, di mana setiap kad yang digunakan dan mempunyai kos mana melebihi 4 akan mendapat Blitz iaitu antara mekanik yang baru diperkenalkan di dalam penambahan ini. Melalui Blitz pemain boleh menggunakan dengan kos mana Blitz, di mana ia akan menerima Haste dan apabila ia mati, pemain akan mendapat kad, jika tidak ia perlu dikorbankan pada permulaan bahagian seterusnya.

Di dalam dek ini juga disertakan versi kad yang lebih tebal untuk Henzie “Toolbox” Torre.

The Beamtown Bullies pula mempunyai kuasa yang sangat menarik dari segi mekanik, di mana pemain boleh meletakkan mana-mana kad dari graveyard ke kawalan pemain lain, dan ia akan menyerang pemain lain selain daripada anda.

Kresh the Bloodbraided pula mempunyai kebolehan yang boleh menjadikan ia sebagai pembunuh akhir dengan setiap kali creature anda mati, Kresh the Bloodbraided akan menerima +1/+1 counter sebanyak X kali, di mana X adalah kuasa untuk creature yang mati tersebut.

Kad-kad mythic yang lain adalah Inferno Titan, Giant Adephage, Noxius Gearhulk, Greenwarden of Murasa dan Avengers of Zendikar.

Sebagai satu dek Commander yang berada di dalam keluarga Riveteers, ia memfokuskan kepada serangan yang cepat dan tidak kisah jika creature terbunuh dengan harapan untuk terus mendesak sehingga lawan tidak akan mempunyai cara untuk bertahan dan melakukan serangan balas.

Commander Deck boleh didapatkan secara satu set di mana ia mengandugi 5 commander deck yang berbeza dan ditawarkan dengan harga RM680.

Set Booster Streets of New Capenna

Set Booster adalah pek utama untuk pemain mendapatkan serta menambah kad-kad daripada penambah, dan setiap satu Set Booster akan mempunyai 14 kad seperti berikut;

  • 1 kad Art
  • 1 kad Land
  • 6 Kad Common atau Uncommon
  • 1 Kad Common atau Uncommon yang unik
  • 2 kad dari common sehingga mythic
  • 1 kad Rare atau Mythic
  • 1 kad Foil common sehingga mythic
  • 1 kad promosi ataupun token

Dengan kata lain, daripada satu Set Booster kami akan mendapat sekurang-kurangnya 1 kad Rare ataupun Mythic. Seperti dinyatakan di atas, kami membuka 6 Set Booster dan telah mendapat 2 kad Mythic, 7 kad Rare dan 60 kad common dan juga uncommon.

2 kad Mythic yang kami terima adalah Elspeth Resplendent dan kami juga menerima versi yang borderless dan yang kedua adalah Vivien on the Hunt. Kedua-dua kad ini merupakan Legendary Planeswalker.

Manakala 7 kad Rare adalah Structural Assault, Riveteers Ascendancy, Unleash the Inferno, Anointed Pocession, Cemetery Tampering, Errant, Street Artist dan Ledger Shredder.

Set Booster boleh didapatkan secara berasingan ataupun melalui Set Booster Box yang mengandungi 30 Set Booster bersama dengan pelbagai kandungan tambahan. Ia ditawarkan dengan harga RM450.

Tambahan pada itu, Wizards juga telah memberikan kami keenam-enam kad Token istimewa yang khusus untuk pasaran Asia Tenggara, di mana karya-karya di kad ini adalah hasil seni oleh artis-artis Asia Tenggara termasuk juga Malaysia iaitu Chong Fei Giap yang hadir dengan dua kad.

Kad Token istimewa ini hanya boleh didapatkan dengan membeli Collector Booster Box yang berharga RM950.

Sohor Kini