Skip to main content

Pengalaman bermain permainan mudah alih di iOS ataupun iPad OS seperti yang saya kongsikan untuk iPad Mini pada akhir tahun lepas, boleh dikatakan sebagai pengalaman yang konsisten kerana berbanding peranti-peranti Android yang mempunyai spesifikasi pelbagai, pembangun mempunyai kerja yang lebih mudah untuk membangunkan permainan mudah alih buat peranti Apple ini.

Oleh itu, saya boleh katakan pengalaman bermain permainan mudah alih di iPhone 13 Pro, iaitu peranti yang menjadi fokus saya untuk artikel ini, adalah antara pengalaman bermain mudah alih terbaik di pasaran sekarang. Ia mungkin sedikit kurang jika ingin dibandingkan dengan abangnya iaitu iPhone 13 Pro Max yang menyertakan skrin lebih besar.

iPhone 13 Pro yang saya gunakan untuk artikel ini merupakan variasi yang mempunyai storan 1TB dan ditawarkan dengan harga RM7,199. Ia juga mempunyai variasi lain seperti berikut 128GB (RM4,899), 256GB (RM5,399), dan 512GB(RM6,299).

Spesifikasi lain untuk iPhone 13 Pro adalah seperti berikut;

  • Skrin: 6.1″ Super Retina XDR OLED, 120Hz, 1170 x 2532
  • Cipset: Apple A15 Bionic
  • Ram: 6GB
  • Kapasiti Bateri: 3095 mAh

Untuk berkongsi pengalaman bermain permainan mudah alih di iPhone 13 Pro, saya akan kongsikan pengalaman secara umum dan juga memfokuskan kepada empat permainan iaitu Genshin Impact, League of Legends: Wild Rift, Apex Legends dan permainan Apple Arcade iaitu Gear Club Stradale.

Pengalaman Umum

Jika ingin dibandingkan dengan telefon-telefon terkini, iPhone 13 Pro saya boleh katakan sebagai satu telefon yang kecil, menjadikan ia selesa untuk di bawa, dipegang, dan juga digunakan sebelah tangan. Namun, bagi sesi bermain permainan mudah alih, ia sekadar mencukupi sahaja. Saya menggunakan iPhone 12 Pro Max sebagai telefon harian, yang mempunyai skrin 6.7″ dan saya lebih menyukainya.

Selain daripada saiz, iPhone 13 Pro masih lagi mempunyai skrin yang baik dengan menggunakan panel Super Retina XDR OLED, dan menyokong ProMotion yang memberikan kadar segar semula sehingga 120Hz, ia adalah satu paparan yang berkualiti tinggi.

Saiz yang kecil ini juga menyebabkan ia mempunyai saiz bateri yang kecil iaitu 3095 mAh sahaja, untuk penggunaan harian ataupun biasa, ia adalah mencukupi dan bertahan sekurang-kurangnya sehari, akan tetapi apabila saya mula bermain mana-mana permainan mudah alih, saya perlu untuk mengecas sebelum hari berakhir.

Walaupun begitu, seperti saya nyatakan di atas pengalaman bermain permainan mudah alih di iPhone 13 Pro adalah sangat baik, dengan kebanyakan permainan yang saya main dibangunkan dengan baik untuk peranti ini, memberikan prestasi yang stabil. Selain daripada empat permainan yang akan menjadi fokus di bawah, saya juga mencuba pelbagai permainan lain termasuk juga permainan-permainan Apple Arcade dan kebanyakannya daripada boleh dimainkan dengan sangat baik.

Bercakap mengenai Apple Arcade, hadirnya perkhidmatan ini, memberikan nilai tambah kepada yang menyukai untuk bermain permainan mudah alih. Ia menawarkan pelbagai jenis permainan daripada pelbagai genre, menawarkan pilihan untuk pemain-pemain yang berbeza.

Genshin Impact

Buat masa ini, hanya terdapat dua peranti sahaja yang boleh bermain Genshin Impact menggunakan ketetapan kadar kelancaran 120FPS, ia adalah iPad Pro dan iPhone 13 Pro (termasuk Max) dan apabila saya mencuba tetapan tersebut di iPhone 13 Pro ini, ia adalah pengalaman yang saya inginkan di kesemua platform yang mempunyai Genshin Impact.

Sebelum-sebelum ini saya sentiasa mengesyorkan untuk memilih kadar kelancaran 60FPS walaupun terpaksa menurunkan tetapan grafik, dan sepanjang saya bermain di iPhone 13 Pro saya di antara dua tetapan iaitu Medium/120FPS atau High/120FPS.

Jika saya bermain secara kasual seperti melakukan aktiviti harian saya akan memilih High, manakala untuk bermain dengan lebih mendalam seperti domain dan melakukan misi utama saya akan memilih Medium kerana tetapan High/120FPS akan terdapat lebih banyak tempat di mana kadar kelancaran berkurangan.

Dengan iPhone 13 Pro dapat memainkan Genshin Impact dengan kadar kelancaran 120FPS, walaupun tidak sentiasa stabil membuatkan saya tertanya-tanya, mengapa ia masih tidak disertakan di platform lain terutama PC.

Menambah lagi kekurangan saiz bateri yang kecil, menggunakan kadar kelancaran 120FPS sudah semestinya akan menggunakan bateri yang banyak. Dengan menggunakan tetapan Medium/120FPS, ia menggunakan 36% bateri untuk sesi selama sejam. Ia juga menyebabkan telefon terasa panas di bahagian depan dan juga belakang, ia masih lagi dipegang tanpa sebarang masalah tetapi lebih baik jika menggunakan kerangka.

League of Legends: Wild Rift

League of Legends: Wild Rift adalah permainan seterusnya yang boleh dimainkan dengan kadar kelancaran 120FPS di iPhone 13 Pro, namun berbeza dengan Genshin Impact, ia juga boleh dilakukan di sesetengah peranti-peranti Android yang lain. Walaupun saya tidak merasakan menggunakan 120FPS ataupun 60FPS tidak memberi perbezaan yang ketara di dalam permainan ini, tetapi ia boleh digunakan tanpa sebarang masalah.

Saya menggunakan tetapan High untuk Kualiti Grafik (Super High tidak dibuka untuk 120FPS) dengan Resolusi Super High, kualiti efek juga adalah Medium kerana tetapan High ditutup. Menggunakan tetapan ini, ia memperlihatkan penurunan kadar kelancaran yang kerap, akan tetapi tidak terlalu teruk sehingga mengganggu sesi permainan.

Ia sekadar jatuh apabila sedang bertempur ataupun memasuki kawasan-kawasan yang sibuk dan ia sudah dijangkakan. Tambahan lagi buat masa ini, ketetapan 120FPS masih lagi di dalam sesi percubaan.

Menggunakan tetapan ini, ia menggunakan 28% bateri untuk sesi selama sejam, dan telefon terasa panas tetapi tidak seperti Genshin Impact dan boleh dipegang dengan selesa lagi walaupun bermain lebih daripada sejam.

Apex Legends Mobile

Bagi Apex Legends Mobile saya telah mencuba pelbagai tetapan berbeza, akan tetapi bagi saya tetapan terbaik yang mengimbangkan di antara kualiti grafik dan kelancaran adalah UltaHD untuk Kualiti Gambar dan Extremely High untuk Kawalan Kelancaran. Tetapan ini memberikan sesi permainan di antara 80FPS sehingga 90FPS ada masa lebih rendah tetapi sangat jarang, boleh turunkan kali Kualiti Gambar untuk memberikan sesi 90FPS yang lebih stabil.

Menggunakan tetapan ini, penggunaan bateri adalah agak tinggi iaitu 30% untuk sesi selama sejam dengan telefon juga akan terasa panas, seperti Genshin Impact saya cadangkan untuk menggunakan kerangka semasa bermain. Jika ingin mengurangkan penggunaan bateri anda boleh turunkan kadar kelancara kepada yang lebih rendah, terutama jika anda tidak mempunyai akses kepada pengecas yang berhampiran.

Gear.Club Stradale

Gear.Glub Stradale adalah antara permainan terbaru yang dikeluarkan untuk Apple Arcade, ia adalah permainan lumba kereta sosial yang menyokong sesi bermain secara multi-pemain. Saya memilih permainan ini kerana ia mempunyai kualiti grafik yang sangat baik, satu perkara mengecewakan adalah ia tidak mempunyai pilihan ataupun tetapan untuk grafik.

Namun, tetapan lalai yang diberikan adalah cukup baik dengan kereta dihasilkan dengan sangat berkualiti, persekitaran mungkin mempunyai resolusi yang lebih rendah berbanding kereta akan tetapi ia sudah menjadi kebiasaan untuk permainan genre ini. Bagi kadar kelancaran pula, saya boleh katakan ia adalah lebih kurang 60FPS dan pengalaman yang sangat stabil.

Penggunaan bateri pula adalah 27% selepas bermain bersama sejam dan telefon terasa sedikit panas di bahagian belakang dan juga di bahagian skrin, tetapi masih boleh digunakan dengan baik dan selesa.

Rumusan

iPhone 13 Pro adalah satu peranti yang sangat baik jika anda adalah kaki permainan mudah alih, ia memberikan pengalaman yang konsisten dengan kebanyakan permainan boleh dimainkan dengan lebih baik. Permainan seperti Genshin Impact yang mempunyai sokongan 120FPS juga memperlihatkan kemampuan spesifikasi yang ada. Selain itu, perkhidmatan seperti Apple Arcade yang hanya ditawarkan untuk peranti Apple juga memberikan nilai tambah kepada pengalaman bermain permainan mudah alih.

Sedikit kekurangan sudah semestinya adalah saiz skrin yang bagi saya sedikit kecil dan lebih menyukai saiz yang ditawarkan oleh versi Max, namun ia adalah bersifat peribadi dan saya pasti ada di antara anda yang lebih menyukai saiz yang lebih kecil. Namun, perkara yang saya rasa semua inginkan lebih baik adalah saiz bateri, bagi saya ia kecil jika ingin dibandingkan dengan telefon-telefon pintar yang terdapat di pasaran sekarang.

Jika anda ingin mengetahui lanjut mengenai iPhone 13 Pro, terutama iPhone 13 Pro Max anda boleh baca ataupun tonton artikel ulasan di Amanz; Ulasan Apple iPhone 13 Pro Max – Impak Maksima.

Leave a Reply