Jenama kasut tidak asing dalam bekerjasama dengan jenama produk budaya pop seperti permainan video atau bersama filem/siri TV. Nike pernah bersama dengan PlayStation, Adidas dengan Spider-Man atau Reebok dengan Assassin’s Creed Valhalla.

Beberapa hari lepas, Reebok dilihat telah hadir dengan beberapa produk dengan kerjasama bersama Netflix untuk siri TV La Casa De Papel atau Money Heist. Produk ini adalah kasut dan pakaian, berikut adalah senarainya;

Classic Leather GX9443, kasut kulit klasik Reebok yang menggunakan rekaan berdasarkan topeng yang digunakan oleh setiap ahli perompak La Casa De Papel. Kasut ini mempunyai misai bentuk 3D, mirip misai pada topeng. Tekstur dan warna kasut juga mimik topeng ini. La Casa De Papel Classic Leather Shoes dijual pada harga $100, iaitu sekitar RM435.

Freestyle Hi GX9442, adalah kasut sukan khusus untuk wanita. Ia direka berdasarkan watak Tokyo, dengan rekaan rantai Ankh bersama bahan nilon seumpama baju kalis peluru yang dipakai dalam musim kelima. Kasut ini turut mempunyai jalur hitam dengan kesan gosok yang akan mendedahkan warna emas. La Casa De Papel F/S Hi Women’s Shoes juga dijual pada harga $100, iaitu sekitar RM435.

Zig Kinetica II GX9440, pula adalah kasut yang direka berdasarkan jumpsut (baju merah) yang setiap perompak pakai. Ia diperbuat daripada fabrik dengan kemasan dan butiran sama seperti jumpsut ikonik ini, dengan zip palsu serta zip pada kawasan lidah kasut turut disertakan. La Casa De Papel Zig Kinetica II Shoes dijual pada harga $135, iaitu sekitar RM587.

Club C GX9441, adalah kasut yang direka berasaskan ketua kumpulan perompak La Casa De Papel iaitu The Professor. Ia adalah kasut dengan butiran seperti kaca mata yang beliau pakai, wayar alat komunikasi, logo berasaskan origami, wajah beliau pada lidah kasut, dan pada tab tumit judul lagu kegemaran mereka Bella Ciao. La Casa De Papel Club C Men’s Shoes dijual pada harga $100, iaitu sekitar RM435.

Reebok turut hadir dengan dua helai baju dan sehelai sweatshirt. Baju ada pilihan warna hitam atau putih dengan logo Netflix La Casa De Papel Money Heist di hadapan, serta grafik bertemakan siri TV ini di belakang. Sweatshirt pula adalah warna merah dengan logo sama di hadapan dan di belakang grafik sebagai simbol pasukan perompak ini hebat di mata dunia. Baju adalah €35, iaitu sekitar RM164 dan sweatshirt pula adalah €75 iaitu sekitar RM351.

Buat masa ini, jualan dilihat terhad di Amerika Syarikat dan di negara Eropah terpilih seperti Greece. Tidak pasti jika ia akan dijual di Malaysia ataupun tidak.

Sohor Kini