Moon Knight adalah siri TV terbaru MCU yang disiarkan di Disney+, di mana ia mengisahkan Steven iaitu identiti kedua Marc yang mempunyai masalah kecelaruan identiti. Tanpa diketahui Steven, Marc ada melakukan perjanjian dengan dewa bulan Mesir, Khonshu untuk menjadi hero yang digelar Moon Knight. atau apabila dengan Steven sebagai Mr. Knight.

Dalam siri ini, ia akan melihat bagaimana Steven dan Marc berebut badan untuk mengambil-alih siapa yang ada kawalan demi menyelamatkan dunia daripada Arthur Harrow seorang penjahat yang memuja dewa jahat yang pernah dipuja oleh orang Mesir. Dewa ini menentukan seseorang itu boleh hidup atau mati berdasarkan kisah silam, keadaan sekarang dan kononnya menilai sekali masa hadapan.

Siri TV ini mempunyai penceritaan dan konsep yang sedikit berbeza dengan apa yang Marvel pernah bawakan. Aksi juga lebih ganas, tema ala Arab, bermain dengan konsep psikologi, fantasi serta ada banyak elemen pengembaraan seakan Indiana Jones. Kini sudah pun 4 episod disiarkan dan berbaki lagi dua episod.

Pasti ramai ingin tahu apa yang berlaku selepas kejutan pada episod keempat. Aku berpeluang menemuramah Gregory Middleton iaitu pengarah sinematografi untuk siri TV ini. Beliau bertanggungjawab untuk episod 1,3,5 dan 6 bagi siri TV ini. Bagi yang tidak tahu, beliau juga adalah individu di sebalik siri TV Watchmen iaitu siri TV sampingan/olahan semula filem Watchmen di HBO.


Soalan: Ada tak ambil inspirasi daripada siri TV Watchmen?

Dari segi bahan semestinya tiada, kerana dua komik berbeza. Tetapi dari segi keputusan dan cadangan bagaimana Watchmen dihasilkan ada digunakan pada Moon Knight. Pertama sekali ada fikir sebaik-baiknya dan sedalam-dalamnya apa keputusan terbaik seperti cara kamera merakam subjek. Elemen kegelapan dan misteri Watchmen ada juga dimasukkan, kerana Moon Knight turut bermain dengan konsep yang sama. Kemudian turut banyak rujuk komik untuk masukkan adegan ikonik menjadi aksi nyata.

Soalan: Pengalaman bekerja dengan Oscar Isaac dan merakam dua watak berbeza oleh pelakon sama?

Oscar memang berbakat jadi mudah untuk bekerja dengan beliau. Untuk cara rakaman, ia sedikit rumit kerana Steven dan Marc adalah dua watak berbeza sepenuhnya dengan personaliti masing-masing. Ambil contoh pada Steven, beliau mempunyai perwatakan yang seakan gila atau huru-hara – jadi rakaman kamera perlu banyak bergerak dan sentiasa mengikut gerak-geri Oscar. Dia watak yang mudah panik dan gelabah. Marc lebih tenang kerana berpengalaman dan tahu apa yang beliau hadapi, jadi ketika rakaman kamera tidak banyak bergerak dan lebih mudah untuk bekerja.

Soalan: Ada tak potongan penuh setiap aksi ganas berdarah?

Kalau anda maksudkan potongan adegan aksi pada episod 3, ya. Idea asal adalah ingin membawakan satu adegan aksi yang ganas ala boogeyman di mana Moon Knight secara tiba-tiba muncul dan serang dengan aksi ganas. Namun kerana ia mempunyai cerita yang kompleks dan watak ini yang mempunyai perwatakan rumit, ia berubah untuk memberi perspektif berbeza di antara Steven dan Marc. Contohnya apa yang Marc lakukan, Steven tidak setuju dan rasa takut. Proses penggambaran juga singkat iaitu 5 malam untuk dialog dan 5 malam untuk aksi, jadi kami cuba bawakan sedaya upaya kami.

Soalan: Antara siri TV DC vs Marvel, mana lebih mudah?

Sukar untuk dibandingkan dan beri satu pendapat yang adil, kerana Watchmen dan Moon Knight adalah dua yang berbeza. Watchmen adalah siri TV kesinambungan pada apa yang berlaku dalam komik, dan merupakan satu olahan semula yang berlaku pada realiti lain tetapi masih dalam dunia yang sama. Sementara Moon Knight adalah daripada komik yang ceritanya sendiri sudah kompleks. Moon Knight banyak bermain dengan elemen fantasi dan cerita mendalam. Watchmen pula lebih kepada sesuatu yang ikonik. Dari segi struktur visual, dua-dua ini berbeza sekali.

Soalan: Apa yang ada dalam episod 5 dan 6?

Sudah tentu saya tidak akan berikan beberan, jika tidak Marvel akan “bunuh” saya. Tetapi kami bekerja keras untuk hasilkan sesuatu yang terbaik dan ada juga merancang kejutan yang kami harapkan semua orang suka. Antara lima dan enam, kami gemar episod lima lagi dan harapnya semua orang akan suka nanti.


Moon Knight hanya tinggal dua episod, di mana episod kelima adalah pada 27 April hari Rabu ini dan episod keenam yang juga merupakan episod akhir adalah pada 4 Mei, iaitu hari Doctor Strange in the Multiverse of Madness ditayangkan yang juga merupakan Hari Raya Kedua. Ayuh sama-sama ikita saksikan dua episod lagi dan lihat apa yang akan berlaku.

Baca: Ulasan Moon Knight Episod 1-4 – Watak Gila Dengan Cerita Yang Best Gila

Sohor Kini