Saya sentiasa mencari-cari filem yang ringkas, di mana penceritaan disampaikan dengan dialog sahaja tanpa memerlukan aksi ganas ataupun drama yang melebih-lebih. Bagi saya, ia adalah jenis filem yang memerlukan penggunaan dialog yang berkualiti untuk menjadikan ia menarik. Taste of Cherry adalah filem yang saya rasakan berjaya di dalam aspek ini.

Taste of Cherry adalah filem dari Iran yang diarah, ditulis dan juga diterbitkan oleh Abbas Kiarostami pada tahun 1997. Ia adalah satu filem yang ringkas kerana dari awal sehingga akhir memfokuskan kepada watak utama iaitu Badii lakonan Homayoun Ershadi memandu di satu kawasan yang kosong untuk mencari orang yang boleh melakukan satu tugasan.

Tugasan yang ingin diberikan oleh Badii adalah sangat senang dan bayaran lumayan, akan tetapi ia berat untuk dilakukan. Badii adalah seorang yang sudah putus asa dengan kehidupan, dan dia ingin membunuh diri, akan tetapi dia ingin memastikan mayatnya nanti akan tertanam dengan baik.

Oleh itu, tugasan yang ingin diberikan adalah dia ingin seseorang datang pada pukul 6 pagi di satu lubang yang digali dan memanggil namanya, jika dia menjawab, maka orang tersebut perlu menariknya keluar dari lubang tersebut, jika tidak menjawab orang tersebut perlu membaling tanah sebanyak 20 kali ke lubang tersebut.

Sepanjang filem ini, Badii telah meminta beberapa orang untuk menolongnya dan kebanyakan daripada mereka menolak dan setiap-nya mempunyai alasan yang tersendiri. Perkara yang menarik mengenai individu-individu ini adalah mereka mempunyai penceritaan tersendiri, dengan permasalahan tersendiri.

Melalui perbualan dengan merekalah Badii yang pada awalnya bertekad ingin membunuh diri, mula mempunyai pendirian yang sedikit berbeza walaupun masih bertegas untuk melakukannya termasuk juga di bahagian akhir penceritaan. Pengakhiran untuk filem ini adalah terbuka dengan penonton tidak diberikan pengesahan sama ada Badii akhirnya membunuh diri ataupun tidak.

Saya menyukai filem ini kerana ia membincangkan perkara yang berat iaitu mengenai bunuh diri, yang sebagai seorang Islam adalah satu dosa yang besar. Filem ini juga menekankan perkara tersebut, dan Badii sendiri mengatakan yang beliau mengetahui ia adalah satu dosa, tetapi mengatakan jika dia bersikap tidak baik seperti mencederakan keluarganya ia juga adalah satu dosa. Oleh itu, dia sanggup untuk dosa membunuh diri berbanding dosa lain.

Pada masa sama, terdapat juga individu yang bersama dengan Badii, berbanding sekadar mengatakan yang bunuh diri adalah dosa, sebaliknya menasihatkan bagaimana walaupun hidup adalah sukar akan tetapi ia adalah satu yang indah untuk diteruskan. Bagi saya perkara yang saya boleh belajar daripada filem ini adalah bagaimana sesuatu yang secara jelasnya adalah salah, ada masa kita tidak boleh mengambilnya secara hitam dan putih, sebaliknya bersikap memahami adalah lebih baik.

Perkara ini juga disampaikan melalui pilihan penceritaan untuk tidak langsung menyentuh mengenai apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh Badii, bagi saya ia menekankan kepentingan untuk kita membantu seseorang untuk menyelesaikan sesuatu masalah tanpa perlu bertanya mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

Terutama apabila bercakap mengenai masalah depresi, ada masa seseorang itu tidak dapat jelaskan mengapa ia berlaku, berbanding kita mendesak untuk mengetahui masalah adalah lebih baik kita sekadar menghulurkan tangan untuk membantu.

Filem ini juga ada menyentuh mengenai sosial dan politik pada waktu itu yang melibatkan peperangan di Iran, Afghanistan dan kawasan sekitar yang memberi kesan kepada ekonomi dan keselamatan penduduk ketika itu.

Sebagai satu filem ringkas, ia juga menggunakan teknik kamera, rakaman dan kawasan yang terhad, namun bagi saya ia dilakukan dengan sangat efektif, berjaya untuk membawa pengalaman yang ingin disampaikan oleh filem ini. Ia adalah satu filem yang sepanjang 1 jam 30 minit sahaja, oleh itu sangat bersesuaian untuk anda tonton sambil menunggu berbuka puasa.

Taste of Cherry boleh ditonton di Mubi.

Filem Iftar:

Sohor Kini