Business Insider telah melaporkan yang Microsoft dan juga Sony sedang merancang untuk menyertakan iklan di dalam permainan percuma yang dimainkan di platform mereka iaitu Xbox dan juga PlayStation. Ini dikatakan untuk menggalakkan pembangun hadir dengan permainan percuma.

Mereka dikatakan akan menyertakan iklan di tempat-tempat yang menjadi sebahagian di dalam permainan itu sendiri, contohnya papan iklan dan bukan iklan yang dipamerkan secara terus di skrin. Pembangun sekadar perlu menyediakan tempat, dan sistem iklan akan menggunakannya.

Pengiklanan adalah bukan satu perkara yang asing di dalam permainan video, di permainan mudah alih ia adalah perkara yang sudah menjadi kebiasaan untuk permainan percuma, manakala di konsol, kebiasaannya adalah iklan di dalam permainan simulasi sukan yang dikritik oleh pemain sebelum ini.

Pembangun seperti EA sebelum ini juga dikatakan ingin meneroka untuk menyertakan iklan di dalam permainan mereka, ia juga menerima kritikan oleh pemain, namun jika sistem ini disediakan oleh penyedia konsol sendiri, pembangun mungkin akan lebih selesa untuk menggunakannya.

Bagi Microsoft buat masa ini masih tidak mempunyai jangkaan tarikh untuk mereka menyertakan fungsi ini, akan tetapi Sony dilaporkan akan menyertakannya bermula pada akhir tahun ini.

Sohor Kini