Syarikat di sebalik saluran Discovery Channel iaitu Discovery telah membeli studio besar terkenal, WarnerMedia dan membentuk Warner Bros. Discovery. David Zaslav, adalah CEO baharu untuk gabungan dua syarikat ini dengan majoriti eksekutif Warner Media meletakkan jawatan.

Sebaik sahaja pengumuman perjanjian ini berlaku, ramai peminat DC mengharapkan dunia DCEU ada harapan cerah. Selepas perjanjian ini selesai, #RestoreTheSnyderVerse turut kembali aktif. Walaupun ada kemungkinan ia tidak akan diteruskan, ada berita baik untuk semua peminat DC. DC Entertainment dilaporkan akan dirombak semula.

Ini akan memberi kesan kepada Warner Bros. Pictures Group dan Warner Bros. Television terhadap filem-filem, siri TV, dan kandungan platform penstriman. David Zaslav pada awalnya dikhabarkan ingin mencari individu berbakat seperti Kevin Feigi untuk dunia DC dapat bersaing dengan MCU. Antara calonnya adalah Emma Watts yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri hiburan 20th Century Studio dan Paramount. Namun dikatakan belau lebih serius mencari orang dengan latar belakang perusahaan untuk memastikan dunia DC yang berbeza dan bercelaru ini boleh bekerjasama secara lebih harmoni.

David Zaslav turut percaya dunia DC ini boleh berjaya dengan contoh seperti Aquaman, The Batman, filem solo Joker, siri TV Peacemaker dan akan datang siri sampingan The Batman seperti Arkham Asylum dan Penguin dapat memikat hati peminat. Namun watak penting DC seperti Superman telah dilupakan, dan beliau berharap ini akan berubah nanti.

Sekarang bahagian filem DC, diketuai oleh Walter Hamada. Namun dengan pemasaran jenama dan bahagian kreatif yang tidak sehebat Marvel, ia boleh tenggelam. Dengan Walter Hamada akan tamat kontrak pada 2023 kelak, David Zaslav mungkin akan melakukan sesuatu baharu untuk menjayakan lagi bahagian DC Films. Dibawah Walter Hamada, kandungan DC menerima pelbagai kritikan dan pujian, beliau juga bertanggungjawab “menyatukan” kandungan DC yang kononnya semua berada dalam satu semesta sama.

Tambahan sumber lagi, sebanyak $3 bilion ingin difokuskan bagi menjayakan kandungan di bawah Warner Bros. Jika mereka memilih untuk fokus kepada kandungan DC kerana hak intelektual (IP) juga dapat mereka miliki, masa depan DC mungkin cerah. Cuma $3 bilion adalah nilai yang kecil dan banyak potongan kos perlu dilakukan kepada kandungan bukan DC jika benar mereka ingin bersaing dengan MCU/Marvel Studios.

Akan datang, filem DC yang ramai nantikan adalah Dwayne Johnson dalam Black Adam, sekuel Shazam!, sambungan Aquaman, Wonder Woman dan juga The Flash. Apa kata anda, adakah Warner Bros. Discovery boleh bersaing dengan Walt Disney untuk DC vs Marvel?

Sumber: Variety

Sohor Kini