The Boy Who Harnessed the Wind adalah satu filem yang menyentuh pelbagai aspek di dalam kemasyarakatan. Walaupun, ia memfokuskan kepada keadaan di benua Afrika iaitu di negara Malawi, akan tetapi apa yang berlaku boleh terjadi di mana-mana negara dan pengajaran daripadanya juga boleh diambil oleh semua orang.

Filem ini memfokuskan kepada William Kamkwamba iaitu seorang budak yang sangat mahir di dalam bertukang dan dapat belajar mengenai kejuruteraan dengan melihat sahaja. Pada awalnya dia bersekolah akan tetapi akibat masalah kewangan, dia terpaksa berhenti dan belajar secara menyorok, dan bagi saya perkara ini adalah pengajaran penting yang pertama di dalam filem ini.

Sekolah dan ilmu pengetahuan seharusnya menjadi sesuatu yang boleh diberikan kepada semua kanak-kanak tidak mengira kedudukan ekonomi mereka. William seorang yang bijak pandai, tidak dapat menambah pengetahuan semata-mata sekolah yang bertegas untuk meminta bayaran bahkan mengatakan yang dia mencuri ilmu.

Fokus seterusnya adalah mengenai keluarga William sendiri, dia tinggal bersama dengan ayah, ibu dan seorang kakak. Pada awalnya mereka bukanlah keluarga yang susah kerana mempunyai ladang jagung yang berjaya, akan tetapi diakibatkan masalah banjir dan kemarau, mereka tidak dapat melakukan penanam untuk jangka masa yang lama.

Masalah ini juga memberi pengajaran di dalam bentuk perlunya menjaga alam sekitar, walaupun mereka sudah menjangka kemarau akan berlaku, tetapi sepatutnya boleh melakukan tanaman semasa hujan akan tetapi akibat berlakunya penebangan pokok yang tidak terkawal, berlakulah banjir yang juga akan mengganggu pekebun.

Walaupun menghadapi pelbagai kesusahan ini, keluarga William masih lagi bersama untuk menghadapinya. Satu ayat di dalam filem ini yang bagi saya menyentuh hati adalah apabila emak kepada William, mengatakan yang dia akan melakukan apa sahaja untuk memastikan anak-anaknya tidak lapar jika perlu memotong tangannya dia akan lakukan.

Dengan masalah banjir, kemarau dan kekurangan makanan, semestinya akan tertanya-tanya apa yang dilakukan oleh kerajaan Malawi. Di dalam filem ini juga memperlihatkan bagaimana jika seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab dilantik, ia akan menjadi masalah besar kepada orang-orang susah yang tidak mempunyai cara lain lagi untuk mendapatkan bantuan.

Di dalam menyelesaikan masalah ini, William mempunyai idea yang dia yakin boleh membantu akan tetapi dengan kekangan pengetahuan, bahan dan juga kepercayaan oleh dari bapanya sendiri, penyelesaian tersebut menjadi lebih sukar. Namun, ia juga membawa kepada pengajaran seterusnya iaitu jika kita yakin dengan apa yang kita ingin lakukan, sentiasa fokus untuk melakukannya dan jangan meragui diri sendiri.

Dengan pelbagai permasalahan dan pengajaran yang di bawa, filem ini berjaya menyampai setiap daripadanya dengan sangat berkesan. Walaupun memperlihatkan keadaan yang sukar dan susah, pada masa sama ia juga memperlihatkan adegan-adegan yang baik untuk memberi harapan dan tidak menjadikan keseluruhan filem terlalu berat.

Ini ditambah lagi dengan lakonan yang baik oleh kesemua pelakon iaitu Maxwell Simba yang membawa watak William Kamkwamba, beliau pandai membawa watak yang mempunyai minat terhadap perkara kejuruteraan, masih mempunyai keyakinan diri walaupun diperli ataupun dimarahi kerana terlalu “bermimpi”.

Bapa Willian yang di bawa Chiwetel Ejiofor, emaknya lakonan Aïssa Maïga dan kakaknya lakonan Lily Banda juga membawa watak-watak mereka dengan sangat berkualiti. Setiap daripada mereka mempunyai perwatakan serta pemikiran tersendiri, dan ada masa ia akan berlawan dengan watak-watak lain dan drama-drama ini dilakukan dengan sangat meyakinkan memberi penambahan rasa kepada keseluruhan penceritaan.

The Boy Who Harnessed the Wind adalah satu filem yang mempunyai banyak pengajaran, ia juga membawa penceritaan kekeluargaan, masyarakat dan politik dengan sangat baik, setiap daripadanya di campur dan diselitkan dengan baik, menjadikan penceritaan lebih mudah untuk diikuti, dan memberi kesan yang diinginkan apabila mencapai babak-babak yang sedih ataupun gembira.

Filem ini boleh ditonton di Netflix; The Boy Who Harnessed the Wind.

Sohor Kini