Pada awal bulan ini, kami sudah kongsi-kan pandang pertama untuk Samsung Galaxy A53 yang merupakan model terbaru untuk siri telefon pintar pertengahan oleh Samsung. Selepas menggunakannya lebih kurang 2 minggu, saya ingin kongsi-kan pula pengalaman bermain permainan mudah alih di telefon ini.
Sebelum itu, berikut adalah spesifikasi ringkas untuk Samsung Galaxy A53;
- Skrin: 6.5″ Super AMOLED, 120Hz, 1080 X 2400
- Cipset: Exynos 1280
- Ram: 8GB
- Storan: 256GB + Mikro SD sehingga 1TB
- Kapasiti Bateri: 5000mAH
- Pengecasan Pantas: 25W
Seperti biasa, saya akan bahagikan pengalaman kepada lima bahagian iaitu pengalaman menggunakan telefon pintar ini secara umum, dan pengalaman bermain empat permainan dan kali ini, saya memilih permainan berikut Genshin Impact, Apex Legends Mobile, League of Legends: Wild Rift dan Dead Cells.
Pengalaman Umum
Perkara pertama yang saya boleh katakan sebagai satu perkara yang positif adalah ketahanan bateri untuk Samsung Galaxy A53, di atas kertas ia sudah memperlihatkan peningkatan berbanding tahun lepas dengan menggunakan 5000mAH berbanding 4500mAH sebelum ini. Penambahan bateri ini juga diperlukan kerana satu lagi penambah-baikkan iaitu skrin kini menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz.
Bercakap mengenai skrin, A53 mempunyai skrin yang sangat berkualiti tinggi, jika ingin dibandingkan dengan telefon mercu, tambahan lagi berbanding dengan telefon di dalam kategori pertengahan yang lain. Warna yang ditampilkan adalah tepat dan terang, memberi pengalaman yang baik untuk bermain permainan video, terutama yang menggunakan grafik yang terang. Ia juga mempertingkatkan pengalaman untuk menonton kandungan media seperti Youtube dan Netflix.
Dengan storan 256GB, untuk penggunaan biasa ia sudah mencukupi, saya tidak terlalu menggunakannya untuk mengambil gambar ataupun video. Oleh itu, walaupun memasang jumlah permainan yang banyak, termasuk juga permainan seperti Genshin Impact yang mengambil storan sehingga 15GB. Jika anda pengguna yang memerlukan lebih storan, ia juga menyokong Mikro SD, oleh itu storan bukanlah satu perkara yang akan menjadi masalah termasuk juga untuk satu jangka panjang.
Dengan skrin bersaiz 6.5 inci, ia adalah satu telefon pintar yang compact, namun bagi saya ia adalah satu saiz yang selesa untuk digunakan dan juga dipegang. Termasuk juga penggunaan satu tangan, bagi sesi bermain permainan video, saya lebih sukakan jika ia mempunyai yang saiz lebih besar, akan tetapi ia sudah mencukupi dan masih lagi selesa untuk bermain pelbagai jenis permainan termasuk permainan menembak seperti PUBG Mobile dan Apex Legends Mobile.
Ia mempunyai speaker stereo akan tetapi pada pengalaman saya bunyi sedikit perlahan dan agar sukar untuk didengari apabila bermain di kawasan yang bising. Oleh itu, saya lebih gemar untuk bermain menggunakan set fon kepala, oleh kerana ia tidak menyertakan bicu audio, anda akan memerlukan fon telinga serta fon kepala nirwayar ataupun yang menggunakan sambungan USB-C.
Genshin Impact
Saya sudah mencuba pelbagai tetapan paling tinggi dan juga paling rendah, sepanjang percubaan saya, saya terbahagi di antara dua tetapan iaitu Low/60FPS dan Medium/60FPS, saya mempunyai masa yang baik bermain tetapan medium, akan tetapi ada masa ia menjadi terlalu kurang lancar, walaupun ia adalah jarang berlaku dan untuk jangka masa pendek sahaja, namun ia serba sedikit mengganggu pengalaman bermain.
Oleh itu, saya merasakan Low/60FPS masih lagi tetapan yang terbaik untuk Genshin Impact, dan jika anda merasakan kualiti terlalu rendah, Medium/60FPS masih lagi boleh digunakan. Bermain dengan 30FPS sahaja juga merupakan satu pilihan, akan tetapi saya sangat tidak mengesyorkannya kerana ia membuatkan permainan terasa lebih perlahan.
Bagi penggunaan bateri, selama sejam saya bermain ia menggunakan 20% bateri yang bagi saya satu penggunaan yang baik dan tidak terlalu laparkan penggunaan bateri. Dari segi kepanasan peranti pula, ia adalah suam sahaja dan akan terasa sedikit panas apabila bermain untuk sesi yang lama secara berterusan.
Apex Legends Mobile
Apex Legends Mobile menyertakan tetapan yang dicadangkan iaitu Balanced untuk kualiti gambar dan Balanced juga untuk Kadar Kelancaran yang akan memberikan lebih kurang 30FPS, akan tetapi saya telah mencuba dengan tetapan tertinggi untuk kualiti gambar iaitu UltraHD dan High untuk kadar kelancaran dan tidak menjumpai sebarang masalah.
Saya boleh bermain dengan baik, tiada masalah kelancaran yang terlalu nyata termasuk juga di pelbagai kawasan, termasuk juga ketika pertempuran yang sengit di bahagian akhir, dengan ramai pemain akan menggunakan kuasa-kuasa berlainan, ia tidak mengganggu kelancaran permainan.
Penggunaan bateri pula, untuk sesi selama sejam ia menggunakan 18% bateri, menggunakan tetapan di atas, akan menjadi lebih rendah jika menggunakan tetapan yang dicadangkan. Dari segi kepanasan peranti pula, ia hanya terasa apabila bermain untuk sesi yang lama secara berterusan.
League of Legends: Wild Rift
Wild Rift mempunyai dua tetapan tersedia yang boleh digunakan oleh pemain, iaitu Quality yang memfokuskan kepada kualiti grafik dan Performance untuk kadar kelancaran yang lebih tinggi. Kedua-dua tetapan tersedia ini tidak akan memberikan masalah kepada telefon ini.
Namun, saya lebih mencadangkan untuk menggunakan Custom dengan menetapkan kadar kelancaran kepada 60FPS, kualiti grafik kepada Super High dan resolusi kepada Super High yang merupakan satu tempatan yang lebih tinggi berbanding Quality ataupun Performance.
Walaupun menggunakan tetapan yang tinggi tersebut, Wild Rift masih lagi boleh dimainkan dengan sepenuhnya 60FPS tanpa sebarang masalah untuk kelancaran tidak kira apa yang sedang berlaku di dalam permainan.
Bagi penggunaan bateri, ia menggunakan lebih kurang 15% sahaja untuk sesi bermain selama sejam, yang boleh dikatakan dua ataupun tiga sesi perlawanan. Kepanasan peranti pula, saya tidak pernah merasa lebih daripada suam walaupun untuk satu sesi yang lama.
Dead Cells
Dead Cells adalah permainan bertaraf konsol yang turut dikeluarkan untuk peranti pintar. Ia mempunyai pilihan tetapan yang ringkas sahaja iaitu Had FPS dan juga tetapan High Resolution, tetapan yang dipilih adalah tidak menetapkan had FPS dan menggunakan High resolution.
Menggunakan kedua-dua tetapan ini, Dead Cells boleh dimainkan tanpa sebarang masalah walaupun sedang bertempur dengan ramai penjahat. Saya tidak mempunyai cara untuk mengetahuinya, akan tetapi walaupun tidak mempunyai had FPS akan tetapi saya merasakan ia digerakkan lebih kurang 60 FPS sahaja walaupun telefon in menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz.
Bermain Dead Cells selama sejam akan menggunakan lebih kurang 20% bateri, iaitu lebih kurang dengan bermain Genshin Impact. Peranti juga lebih cepat terasa panas semasa bermain permainan ini, terutama di bahagian skrin, namun walaupun saya beramin untuk tempoh yang lama, ia masih lagi boleh dipegang dengan selesa.
Rumusan
Samsung Galaxy A53 adalah peranti pertengahan yang mempunyai beberapa bahagian yang biasanya terdapat di peranti mercu. Antaranya adalah kualiti skrin Super AMOLED yang sangat baik, ketahanan bateri dengan penggunaan bateri 5000mAH ditambah lagi dengan menyokong pengecasan pantas sehingga 25W.
Kesemua perkara tersebut akan memberikan pengalaman bermain permainan mudah alih yang baik, walaupun tidak dapat menggunakan tetapan yang tinggi untuk permainan berat seperti Genshin Impact. Namun, permainan-permainan lain yang lebih ringan, tidak mempunyai sebarang masalah untuk dimainkan dengan tetapan yang tertinggi.
Samsung Galaxy A53 5G ditawarkan dengan harga RM1,849 dengan pilihan warna Awesome Peach, Awesome Blue, Awesome White, dan Awesome Black.