Casper adalah kisah hantu kanak-kanak yang lucu. Ia mula diperkenalkan dalam bentuk animasi, kemudian dalam bentuk komik dan seterusnya filem aksi nyata seram komedi yang mula ditayangkan pada tahun 1995. Dalam filem ini, Casper mula berkawan dengan manusia iaitu pewaris kepada sebuah rumah agam dan diganggu oleh hantu pakcik-pakcik Casper yang digelar Ghostly Trio. Gangguan ini adalah kerana ada yang jahat ingin rampas harta yang tersorok dalam rumah tersebut.

Terkini Peacock akan mengolah semula Casper dalam bentuk siri TV. Apa yang menarik adalah, siri TV ini akan menggunakan tema gelap – iaitu seram, ngeri dan penuh misteri berbanding tema asal seram komedi. Siri ini akan ditulis oleh penulis The Ghost Bride iaitu Kai Yu Wu.

Siri TV ini dikatakan adalah kisah asal-usul Casper mengenai kisah kehidupan beliau ketika masih hidup di sekolah menengah. Di bandar Eternal Falls, sebuah keluarga baru yang berpindah telah melibatkan Casper dalam satu misteri yang terkubur di bandar tersebut sejak lebih 100 tahun dulu.

Masih tiada senarai pelakon dan jalan cerita penuh, tetapi siri TV ini akan menggunakan tema seakan siri Riverdale. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini