Gamescom Asia pertama kali dianjurkan pada tahun lepas sebagai versi satelit untuk Gamescom yang dianjurkan setiap tahun di Jerman. Pada tahun lepas, ia dianjurkan secara digital dan juga fizikal akan tetapi masih lagi terhad dengan pelbagai sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19.

Manakala bagi tahun ini, ia akan dianjurkan pada 20 sehingga 23 Oktober 2022, dan kali ini mereka menyediakan ruangan fizikal yang lebih meluas kerana sekatan-sekatan sebelum ini telah dikurangkan. Ini termasuk juga Zon Hiburan yang akan memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba permainan, persembahan langsung, berjumpa dengan pembangun dan juga pertandingan cosplay.

Manakala bagi Zon Dagang dan juga Persidangan, mereka menjangkakan akan mempunyai penglibatan yang lebih tinggi daripada pembangun-pembangun luar kerana sekatan perjalanan sudah dikurangkan. Topik-topik untuk persidangan juga akan lebih dipelbagaikan lagi.

Buat masa ini Gamescom Asia 2022 sedang membuka untuk syarikat dan juga pembangun, manakala maklumat lanjut untuk pendaftaran persidangan dan juga tiket pengunjung akan diumumkan kemudian. Bagi yang tidak berhajat untuk mengunjungi secara fizikal ataupun tidak berkesempatan, acara digital masih lagi akan berlangsung.

Sohor Kini