Filem Iftar adalah satu segmen baharu di Aksiz bersempena dengan bulan Ramadan ini di mana setiap petang Jumaat kami akan kongsikan satu filem menarik yang sesuai untuk dijadikan tontonan semasa menunggu waktu berbuka puasa. Bagi filem pertama ia adalah Sang Kiai ataupun judul Inggeris The Clerics yang merupakan filem dari Indonesia.

Filem in diarahkan oleh Rako Prijanto dan sudah dikeluarkan sejak tahun 2013. Sang Kiai adalah filem drama sejarah yang memfokuskan kepada ulama KH Hasyim Asy’ari yang juga pengasas kepada Nahdlatul Ulama, organisasi Islam terbesar di dunia melawan penjajah Jepun dan Belanda yang menjajah Indonesia sekitar tahun 1942 sehingga 1947.

Watak KH Hasyim Asy’ari dilakonkan oleh Ikranagara, filem ini juga menyertakan penambahan penceritaan yang melibatkan beberapa watak seperti Harun lakonan Adipati Dolken dan isterinya Sari lakonan Meriza Febriani.

Kekuatan utama filem ini bagi saya adalah ia menggabungkan beberapa genre seperti drama, sejarah, keagamaan dan juga komedi, setiap gabungan ini dilakukan dengan baik menjadikan ia satu filem yang membuatkan anda akan merasa pelbagai perasaan tidak kira marah, sedih ataupun ketawa.

Tambahan itu, oleh kerana saya kurang berpengetahuan mengenai sejarah Indonesia, dapat mengetahui serba sedikit apa yang berlaku adalah menarik terutama Malaysia sendiri juga mengalami perkara yang sama. Di dalam filem ini, dengan baiknya memperlihatkan bagaimana Jepun pada awalnya bersikap tegas dengan orang-orang Islam, kemudian memilih untuk ‘bekerjasama’ dengan ulama-ulama agar dapat menghalang daripada umat Islam melakukan penentangan.

Selain itu, ia juga memperlihatkan tindakan-tindakan yang diambil oleh KH Hasyim Asy’ari yang memperlihatkan bagaikan beliau berpihak kepada Jepun akan tetapi sebenarnya mempunyai sesuatu yang lebih mendalam. Namun, seperti biasa tidak semua mampu menerimanya dan menghasilkan konflik yang dibawa melalui watak Harun.

Ia adalah satu watak yang baik, memperlihatkan perhubungan di antara seorang guru dan anak muridnya, dan juga seorang ulama dengan seorang muslim. Perbezaan cara menentang penjajah juga diperlihatkan melalui Harun akan tetapi ia dilakukan dengan sedikit gopoh, menjadikan mesej yang cuba disampaikan mungkin tidak seperti yang diinginkan. Manakala isterinya iaitu Sari juga memperlihatkan bagaimana kesetiaan bersama dengan suami walaupun di dalam keadaan kesusahan dan juga sedang keliru dengan apa yang sedang berlaku.

Satu lagi masalah yang mungkin disebabkan oleh saya tidak mempunyai pengetahuan yang sedikit mengenai sejarah Indonesia adalah filem ini akan menjadi sedikit mengelirukan mengenai apa yang sedang berlaku, ataupun apa yang telah berlaku. Penyampaian perkara yang bercakap mengenai sejarah memerlukan sedikit penerangan agar penonton boleh memahami, akan tetapi filem ini sekadar meneruskannya dengan sedikit sahaja dialog untuk membantu penonton.

Saya merasakan ia akan menjadi lebih baik dan mungkin juga lebih menarik jika mempunyai seorang pencerita yang akan berkongsi mengenai apa yang sedang berlaku, menjadikan ia lebih mudah untuk diikut. Namun, dengan apa yang disampaikan walaupun akan menjadi keliru di beberapa bahagian, secara keseluruhannya ia masih lagi filem yang boleh diikut dengan mudah.

Selain KH Hasyim Asy’ari, Harun dan Sari terdapat beberapa lagi yang walaupun menjadi watak sampingan akan tetapi setiapnya mempunyai penceritaan tersendiri dan membawa pengajaran moral tersendiri. Bercakap mengenai pengajaran, kebanyakan dialog-dialog di dalam filem ini adalah bagaikan satu nasihat yang akan memberi pengajaran kepada penonton yang bagi saya terasa sangat segar di dalam filem.

Setiap pelakon juga membawa kualiti lakonan yang baik, termasuk juga untuk watak-watak yang menggambarkan penjajah seperti Jepun dan Belanda. Penggunaan bahasa Jepun dan Inggeris membantu untuk menggambarkan keadaan sebenar pada waktu itu.

Sang Kiai ataupun The Clerics adalah satu filem yang menarik, ia bukan sahaja akan memberi serba sedikit pengetahuan mengenai sejarah Indonesia akan tetapi juga mempunyai sesuatu yang mungkin tidak selalu dijadikan sebagai topik utama iaitu bagaimana penjajah melawan dan menggunakan agama, dan bagaimana orang-orang agama melawan mereka.

Filem ini juga mempunyai drama, komedi dan aksi yang mencukupi untuk menjadikan satu filem yang tidak bosan walaupun dengan durasi hampir 2 jam. Ia juga satu filem yang penuh dengan pengajaran yang bagi saya bagus untuk diketahui dan dinilai sendiri bagaimana menghormati pengajar ataupun cara melawan tidak semestinya dengan sekadar menentang.

Filem ini boleh ditonton di Netflix dengan judul The Clerics.

Sohor Kini