Eric Barone atau ConcernedApe iaitu pencipta untuk permainan simulasi berkebun Stardew Valley pada tahun lepas telah mengumumkan permainan baharu dari beliau iaitu Haunted Chocolatier, berbanding berkebun di dalam permainan ini pemain akan menjadi pemilik kilang dan juga kedai coklat dan perlu mencari bahan untuk menghasilkan coklat tersebut.

Di dalam penstriman bersama dengan Reason Studios (dilaporkan oleh PC Gamer), Eric Barone ditanya jika dia risau yang Haunted Chocolatier akan sentiasa di bayangan Stardew Valley dan akan sering dibandingkan.

Beliau mengatakan yang beliau sedar mengenai perkara tersebut, namun mula tidak mengambil kisah mengenainya. Pada awalnya, beliau tidak ingin meletakkan sesuatu yang seperti Stardew Valley di dalam permainan baharu, akan tetapi kemudiannya menyedari yang jika ia adalah satu perkara yang baik, mengapa perlu diubah.

Jika pemain mengatakan yang Haunted Chocolatier ini adalah satu permainan salin dan tampal sahaja dari Stardew Valley, ia bukanlah satu masalah. Beliau juga mengatakan yang pemain tidak boleh menjangkakan yang beliau akan hadir dengan permainan sukan ataupun lumba, permainan sebegini adalah apa yang dilakukan olehnya.

Haunted Chocolatier buat masa ini masih tidak mempunyai sebarang tarikh pelancaran, akan tetapi Barone mengatakan yang, dengan melakukan pengumuman rasmi untuk permainan ini, beliau tidak mempunyai alasan dan perlu memastikan ia adalah satu permainan yang berkualiti apabila dilancarkan kelak.

Sohor Kini