Wargaming merupakan penerbit permainan yang memfokuskan peperangan, antara permainan popular mereka adalah World of Tanks dan World of Warships. Walaupun begitu, pendirian mereka mengenai peperangan adalah jelas, mereka tidak menyokongnya, terutama berkait dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Pada bulan Februari lepas, mereka telah memecat Sergey Burkatovskiy yang pada masa itu memegang jawatan Pengarah Kreatif, selepas Burkatovskiy menyatakan sokongan terhadap peperangan Rusia dan Ukraine.

Terbaru, Wargaming telah mengumumkan yang mereka mengambil keputusan untuk tidak lagi memiliki apa-apa operasi dan juga perniagaan di Rusia dan juga Belarus. Bermula pada 31 Mac lepas, kesemua operasi permainan di dua negara tersebut akan dipindahkan kepada Lesta Studio yang tidak akan mempunyai apa-apa perhubungan dengan mereka.

Mereka mengatakan yang tindakan ini tidak akan memberikan sebarang keuntungan kepada Wargaming, sebaliknya mereka akan mengalami kerugian. Namun, mereka yakin ia adalah keputusan yang tepat dan merasakan mereka di kedudukan yang baik untuk melakukannya.

Wargaming merupakan studio yang ditubuhkan di Belarus, sebelum berpindah ke Cyprus pada tahun 2011.

Bacaan Lanjut: Temubual Bersama Rajeev Girdhar, Penerbit Eksekutif World of Warships – Kapal Rahmat, Esukan Dan NFT

Sohor Kini