Pada bulan lepas, Samsung secara rasminya telah mengumumkan kemaskini untuk model Samsung Galayx A mereka dengan melancarkan Galaxy A73, Galaxy A53 dan Galaxy A33. Anda boleh baca lanjut mengenai telefon-telefon tersebut di pautan ini; Samsung Umum Galaxy A33, Galaxy A53 Dan Galaxy A73 – Pratempahan Dibuka Sehingga 13 April.

Namun bagi artikel ini, saya akan memfokuskan kepada pilihan pertengahan untuk siri ini iaitu Samsung Galaxy A53. Ini adalah pandang pertama sahaja, dalam masa seminggu dua, saya akan kongsikan pula pengalaman bermain permainan mudah alih.

Berbalik kepada Samsung Galaxy A53, ia ditawarkan dengan harga RM1,849 dengan pilihan warna Awesome Peach, Awesome Blue, Awesome White, dan Awesome Black, dan anda sudah boleh dapatkannya di kedai Samsung dan juga pengedar-pengedar rasmi.

Apa Di Dalam Kotak?

Sesuatu yang sudah dijangkakan di mana-mana telefon Samsung, dan juga telefon pintar yang baru dilancarkan, tidak banyak perkara yang tersedia di dalam kotak. Selain peranti itu sendiri, di dalam kotak hanya menyediakan pin pembuka SIM dan juga kabel pengecas USB-C ke USB-C.

Tiada kepala pengecas yang disediakan, oleh itu jika anda masih tidak memilikinya ataupun tiada yang menyokong sambungan USB-C anda boleh dapatkan dari pihak ketiga ataupun dari Samsung sendiri dengan harga bermula RM59.

Jika anda berharap ia menyertakan kerangka, ia juga tidak disertakan oleh itu anda boleh membelinya secara sendiri jika tidak ingin menggunakan peranti anda secara terus.

Spesifikasi

Berlainan dengan penawaran tahun lepas melalui Samsung Galaxy A52 yang menggunkan cip pemprosesan Snapdragon, Galaxy A53 kembali menggunakan cip pemprosesan oleh mereka sendiri iaitu Exynos 1280 manakala cip dari Qualcomm hanya ditawarkan untuk model yang lebih mahal iaitu Samsung Galaxy A73.

Galaxy A53 hadir dengan satu pilihan RAM sahaja iaitu 8GB dan begitu juga untuk storan dalaman iaitu 256GB akan tetapi ia menyokong tambahan storan melalui mikroSD sehingga 1TB. Oleh itu, sama ada 256GB mencukupi ataupun tidak untuk kegunaan anda tidak perlu dirisaukan kerana anda mempunyai pilihan untuk menambah.

Bagi skrin, ia menggunakan skrin bersaiz 6.5 inci iaitu saiz yang sama dengan model tahun lepas, panel Super AMOLED dengan resolusi 1080 x 2400. Satu naik taraf yang di bawa untuk model tahun ini adalah ia menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz berbanding 90Hz.

Selain kadar segar semula, kapasiti bateri juga dipertingkatkan kepada 5000mAh berbanding 4500mAh sebelum ini, dan ia menyokong pengecasan pantas sehingga 25W, tetapi dengan tiada kepala pengecasan disediakan, anda perlu membeli yang bersesuaian untuk mendapatkan prestasi yang terbaik.

Rekaan

Walaupun mempunyai saiz skrin yang sama dengan Galaxy A52, akan tetapi Galaxy A53 terasa lebih lebar, berbeza jika mengikut ukuran rasmi untuk kedua-dua telefon yang sepatutnya Galaxy A52 lebih lebar. Ia mungkin disebabkan oleh sedikit perbezaan dari segi rekaan yang membuatkan A53 terasa lebih lebar yang bagi saya adalah perkara yang baik kerana menjadikan ia lebih mudah untuk digunakan sebelah tangan.

Ini ditambah lagi dengan kekemasan di bahagia belakang untuk A53 lebih kasar berbanding A52 yang sekali lagi membantu untuk memudahkan lagi pemegangan telefon ini dan bagi saya secara peribadi, ia terasa lebih selesa untuk dipegang berbanding dengan kekemasan yang lebih licin.

Kesemua butang iaitu untuk volume dan kuasa terletak di bahagian kanan telefon, yang walaupun bukan pilihan saya sendiri tetapi apabila sudah terbiasa, ia boleh digunakan dengan cepat. Bahagian sim terletak di bahagian bawah, dengan tanpa apa-apa di bahagian atas.

Sepertimana telefon-telefon terkini, ia mempunyai bonjol kamera, akan tetapi melalui rekaan yang diberikan ia tidak nampak dengan jelas, melainkan apabila peranti diletakkan di atas mana-mana permukaan, ia akan bergoyang-goyang apabila ditekan. Sesuatu yang boleh diselesaikan dengan menggunakan kerangka.

Ia menyokong pembesar suara Stereo dan tidak menyertakan bicu audio.

Kesimpulan

Seperti model-model yang dikeluarkan pada tahun-tahun lepas, Samsung Galaxy A53 adalah antara pilihan popular bagi pengguna yang ingin mencari telefon pertengahan yang mempunyai pelbagai fungsi mercu.

Dengan sokongan kadar kelancaran 120Hz dan juga sokongan 5G, ia sudah semestinya satu telefon yang akan bertahun untuk beberapa tahun kedepan, ini ditambah lagi dengan ia masih mengekalkan sokongan mikroSD, menjadikan sukar untuk anda mempunyai masalah storan.

Manakala dengan tambahan kapasiti bateri sehingga 5000mAh untuk tahun ini, akan menjadikan ia lebih baik. Bateri adalah bukan satu masalah semasa saya mencuba A52, oleh itu dengan peningkatan ini ia sudah semestinya akan menjadi lebih baik.

Sohor Kini