Siapa ingat akan filem Spy Kids? Ia adalah filem aksi komedi kanak-kanak yang menjadi ejen perisikan untuk menyelamatkan dunia. Ia ditayangkan pada 2001 dan mempunyai sekuel pada tahun 2002, 2003 dan 2011. Filem ini dilaporkan akan diolah semula dari pengarah yang sama – Robert Rodriguez.

Variety melaporkan yang baru-baru ini Netflix telah berjaya memiliki hak IP filem ini daripada Skydance Media (Spyglass Media) dan filem olahan semula ini akan disiarkan secara eksklusif di Netflix. Filem baharu ini masih di awal pembangunan, tiada butiran yang dikongsi selain akan memfokuskan kepada keluarga pelbagai budaya.

Filem asal Spy Kids memfokuskan kepada Carmen dan Juni Cortez lakonan Alexa PenaVega dan Daryl Sabara. Mereka berdua telah menjadi perisik selepas mendapat tahu yang ibu bapa beliau lakonan Antonio Banderas dan Carla Gugino juga adalah perisik dalam Organization of Super Spies.

Apakah yang Robert Rodriguez akan tawarkan dalam filem olahan semula ini dan siapakah pelakon baharu untuk francais filem perisikan popular ini? Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut nanti.

Sebelum ini filem Shark Boy & Lava Girl telah menerima filem sampingan iaitu We Can Be Heroes dan turut disahkan akan mempunyai sekuel.

Sohor Kini