Sony telah menjenamakan semula dunia Spider-Man mereka kepada Sony’s Spider-Man Universe. Harapan mereka adalah untuk mengembangkan lagi dunia ini dengan menggunakan hak IP mereka untuk hadir dengan siri TV sendiri dan menghasilkan filem tersendiri tanpa berkait dengan MCU tetapi masih memberi hormat.
Venom antara projek mereka yang berjaya, Morbius filem terbaru mereka dan yang masih dalam pembangunan adalah Kraven The Hunter, Silk, Spider-Woman dan banyak lagi. Venom walaupun bukan filem terbaik dalam dunia ini, ia masih lagi terhibur. Untuk Morbius Sony cuba bawakan pengalaman menonton berlainan dan dengan multimesta telah bermula Sony turut cuba menggunakan elemen ini dalam filem Morbius.
Morbius adalah satu filem yang nampak seakan seram dan ngeri. Ia mengisahkan seorang yang genius iaitu Michael Morbius yang menghidap penyakit darah yang nadir. Dalam usaha untuk menyembuhkan diri dan menyelamatkan orang lain yang menghidap penyakit sama, beliau telah menghasilkan satu mesin untuk mengekstrak DNA kelawar dan cuba menggabungkan dengan DNA manusia. Usaha ini dilihat seakan berjaya, namun siapa sangka – yang genius pun terlepas pandang kesan sampingannya sehingga satu kegelapan mengakibatkan hidup beliau kacau bilau dan orang sekeliling mati.
Perjalanan dalam filem ini pada awal disampaikan dalam keadaan yang serabut. Dalam satu perbualan boleh berubah-ubah lokasi yang membuatkan ia rasa memeningkan, kemudian ia melompat dari satu masa ke masa lain dengan begitu pantas seakan setiap adegan dipotong memberikan rasa tidak puas hati untuk memahami cerita. Kisah yang sepatutnya mudah faham menjadi sukar. Apa yang cuba disampaikan aku nampak, tetapi penulisan skrip yang sangat lemah membuatkan filem ini rasa sangat hambar.
Dari awal filem ke pertengahan, ia cuba memberikan satu impak yang gerun dan turut cuba membawakan elemen seram yang mengejutkan – tetapi tidak berjaya. Pertemuan antara Morbius dan pihak berkuasa pun tidak ada apa-apa yang menarik, semuanya seakan satu lazy writing dan benar-benar rasa cerita yang sepatutnya ada potensi tetapi seolah tidak mempunyai semangat untuk diteruskan. Dunia Spider-Man yang diwar-warkan dalam promosi langsung tidak rasa berlaku dalam filem ini. Vibe Venom yang turut dikatakan juga tiada – kerana dikhabarkan yang filem ini berlaku dalam dunia sama. Filem in terasa berada dalam dunia sendiri, dengan Sony yang jelas try hard untuk jadi seperti Marvel Studios tetapi kekangan bajet dan hanya buat ala kadar.
Untuk musuh, aku tidak akan kongsi banyak kerana masih inginkan anda semua rasa sendiri pengalaman menonton filem yang hmmm ini. Pertemuan dengan musuh ini juga akan membuatkan orang ramai garu kepala dan berfikir takkanlah semudah itu sahaja? Kisah antara hero dan penjahat yang amat pendek tetapi cerita yang disampaikan meleret. Filem ini tidak mempunyai penyampaian yang teratur dan tidak mempunyai visi jelas. Pengarah filem ini iaitu Daniel Espinosa pernah terlibat dengan filem yang boleh dikatakan dikenali ramai tetapi ingin dilupakan – iaitu Life filem sains fiksyen bersama Ryan Reynolds dan Jake Gyllenhaal yang bolehlah serta Child 44 dengan Tom Hardy dan Gary Oldman yang menerima kritikan teruk. Tidak pasti kenapa Sony memilih beliau untuk menghasilkan filem yang sepatutnya boleh pergi jauh ini.
Untuk prestasi lakonan, aduh – susah aku nak katakan. Dalam DC, Jared Leto membawa watak Joker yang tidak menjadi dan tidak digemari ramai dan filem itu boleh dikatakan gagal sehinggakan Warner Bros. mengolah semula melalui filem The Suicide Squad. Terkini dalam Morbius pula, Jared Leto sekali lagi membawakan prestasi yang langsung tidak memuaskan. Ia seakan beliau tidak boleh membawa watak daripada adaptasi komik. Aku bukannya anti Jared Leto, tetapi apa yang beliau lakukan seakan tidak sepenuhnya dan mempunyai banyak kekurangan. Aku strim WeCrashed, kisah kejatuhan WeWork semasa naungan Adam Neumann yang dilakonkan oleh Jared – beliau boleh bawa watak ini dengan jayanya dan ada bakat lakonan terserlah di situ. Tetapi watak hero, watak jahat dalam komik – hancur!
Watak lagi seorang Milo/Lucian lakonan Matt Smith, juga agak menghampakan. Apa yang beliau lakukan boleh dikaitkan dengan meme “That escalated quickly“. Watak ini tidak diberi masa yang cukup untuk cerah sedangkan filem ini lebih dua jam. Watak-watak lain yang aku nampak patutnya boleh pergi lagi jauh juga semua diberi masa skrin yang pendek dan banyak fokus kepada Jared Leto yang ada sahaja adegan boleh sahaja tidak dilakukan.
Sepanjang aku tonton filem ini, banyak di skrin hanyalah Jared Leto. Watak wanita iaitu Martine Bancroft pembantu doktor kepada Morbius lakonan Adria Arjona dilihat ada baiknya. Namun kerana penulisan skrip yang entah ke mana dan cuba mengacah masa hadapan watak ini yang tidak menjadi – filem ini jadi filem yang boleh dodoikan anda untuk tidur dalam panggung yang sejuk.
Untuk sinematografi, aku boleh katakan ia mempunyai kualiti yang mengecewakan untuk Sony. Resident Evil: Welcome To Racoon City yang agak teruk itu pun mempunyai CGI yang lebih baik berbanding filem ini. CGI Morbius dan watak puntianak beliau seakan permainan video dan filem di lewat tahun 2000. Suntingan filem dengan transisi adegan ke adegan yang aneh, muzik latar yang ada elemen seram tetapi terus tidak boleh fokus kerana kualiti filem yang tidak patut ada untuk studio Sony dan di Hollywood – lebih-lebih lagi untuk dunia Spider-Man ini dan yang berkait dengan Marvel.
Filem ini ada dua adegan tambahan. Kedua-duanya aneh sekali dan seakan tiada arah tuju. Adegan yang tiada jalan kisah di sebaliknya dan hanya secara tiba-tiba, tiada kaitan apa-apa, tiada arah tuju dan jelas hanya cuba memancing peminat sahaja untuk ke panggung.
Filem Venom masih lagi baik untuk aku berbanding filem ini. Sony Pictures dilihat ada usaha untuk mengembangkan dunia Spider-Man mereka, namun tanpa Marvel Studios, tanpa melihat bakat penulis iaitu Matt Sazama dan Burk Sharpless yang menulis filem Power Rangers (2017), Gods of Egypt (2016), The Last Witch Hunter (2015) dan Dracula Untold (2014) yang semuanya menerima kritikan serta pengarah yang tidak pernah melibatkan diri dengan filem yang ada potensi dengan MCU dan konsep multimesta – dunia Spider-Man Sony mungkin tidak akan berjaya.
Filem ini bukan untuk peminat, bukan cubaan untuk menaikkan kembali nama Jared Leto dalam dunia hero komik, tetapi hanyalah Sony yang degil tidak ingin berikan hak IP Spider-Man dengan Disney atau yang tidak mahu kongsi IP ini yang mungkin boleh menjayakan impian mereka. Jika anda masih ingin tonton filem ini – Morbius akan ditayangkan di Malaysia pada 31 Mac 2022.
Baca: Ulasan Venom: Let There Be Carnage – Acah-Acah Hebat, Tapi Biasa Je
Ulasan ini dibuat berdasarkan akses awal yang diberikan oleh pihak Sony Pictures Malaysia.