Kemaskini, 10 November 2022: Senarai dikemaskini dengan membuang Hades yang dikeluarkan daripada penawaran PC Game Pass pada bulan Ogos lepas. Ia digantikan dengan Persona 5 Royal. Tawaran 50 sen untuk bulan pertama juga tidak lagi disertakan dan digantikan dengan tawaran RM5 untuk 3 bulan pertama.
Penantian sekian lama pemain-pemain di Malaysia akhirnya berakhir apabila Microsoft telah melancarkan Game Pass secara rasmi di beberapa negara Asia Tenggara, termasuk juga Malaysia. Walaupun buat masa ini ia hanyalah terhad kepada PC Game Pass dan masih tiada tanda-tanda yang Xbox akan dilancarkan secara rasmi, namun ia masih lagi satu perkembangan yang baik.
Dengan penawaran untuk tawaran RM5 untuk 3 bulan pertama, saya merasakan ramai yang akan mencuba PC Game Pass ini dan melihat senarai ratusan permainan yang ada mungkin akan membuatkan rambang mata. Oleh itu, melalui artikel ini saya akan kongsi-kan 10 permainan di dalam PC Game Pass yang anda harus cuba terlebih dahulu.
Sebagai wajah untuk Xbox, Halo adalah satu nama yang tidak asingkan lagi di kalangan pemain. Halo Infinite versi multi-pemain ditawarkan secara percuma akan tetapi melalui PC Game Pass ini anda boleh bermain kempen penceritaan. Sebagai permainan keenam di dalam penceritaan utama, anda mungkin perlu mengetahui serba sedikit penceritaan untuk Halo sebelum bermainnya, tetapi ia adalah satu permainan yang baik dan berbaloi untuk diluangkan masa.
Sama ada anda meminati permainan lumba kereta ataupun tidak, Forza Horizon 5 menawarkan pelbagai mod berbeza yang boleh memberi keseronokan kepada pelbagai lapisan pemain. Forza Horizon 5 merupakan permainan terbaru untuk siri ini, dan ia juga boleh dikatakan sebagai permainan terbaik. Sebagai permainan sosial, ia juga menarik untuk dimainkan bersama dengan rakan-rakan.
Selepas beberapa kali tertunda dan juga penukaran penerbit, Psychonauts 2 dilancarkan sebagai permainan di bawah Xbox Game Studios dan penantian lebih 5 tahun untuk permainan ini sangat berbaloi kerana ia boleh dikatakan antara permainan platformer terbaik yang pernah dikeluarkan dengan mempunyai peringkat yang menarik dan penceritaan mendalam.
Doom Eternal adalah antara permainan terbaik yang dikeluarkan pada tahun 2020, ia permainan aksi yang sangat menarik bukan sahaja kepada pemain yang mengikuti siri Doom tetapi juga untuk pemain-pemain yang meminati aksi ataupun first-person shooter. Ia bukan sahaja membawa aksi yang pantas tetapi juga mencabar untuk pemain yang inginkannya. Anda boleh baca ulasan kami di pautan ini; Ulasan Doom Eternal – Raja Permainan Menembak.
Jika anda meminati permainan RPG terutama JRPG, Dragon Quest XI adalah satu permainan yang wajib dimainkan oleh semua. Ia bukan sahaja antara permainan JRPG terbaik, tetapi juga permainan terbaik yang dikeluarkan pada tahun 2018 seperti mana kami katakan di ulasan; Ulasan Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive Age – JRPG Terbaik Di Playstation 4. Oleh itu, jika anda tidak pernah mencubanya, ini adalah peluang terbaik untuk melakukannya.
Persona 5 Royal merupakan versi tambahan untuk antara permainan JRPG yang pernah dikeluarkan iaitu Persona 5. Ia adalah satu permainan yang walaupun akan memakan masa tetapi mempunyai tatamain yang sangat menarik, dan bagi peminat JRPG ia sudah semestinya satu permainan yang wajib dicuba. Tambahan lagi, ini adalah pertama kali Persona 5 dikeluarkan untuk platform bukan PlayStation.
Selepas kegagalan untuk Marvel’s Avengers, Square Enix melakukan percubaan kedua untuk hadir dengan permainan video berdasarkan IP Marvel, dan boleh dikatakan ia adalah percubaan yang jauh lebih baik. Guardians of the Galaxy mempunyai bentuk permainan yang menarik dengan penceritaan yang mendalam. Ia adalah satu pengalaman keseluruhan yang sangat baik dan harus dicuba oleh kesemua pemain.’
Selepas Bethesda hadir dengan Fallout 76 yang lebih memfokuskan kepada sesi permainan secara multi-pemain, pemain meminta-minta permainan Fallout yang memfokuskan kepada sesi solo. Walaupun bukan daripada Bethesda sendiri, tetapi sebagai pembangun yang menghasilkan Fallout: New Vegas, Obsidian Entertainment berjaya membawa pengalaman yang sama jika tidak lebih baik melalui permainan The Outer Worlds. Ia adalah satu permainan yang luas dengan perwatakan-perwatakan yang menarik. Anda boleh baca ulasan kami di pautan ini; Ulasan The Outer Worlds: Murder on Eridanos – Menjadi Sherlock Holmes Di Halcyon.
Melalui ulasan kami untuk Scarlet Nexus yang anda boleh baca di pautan ini; Ulasan Scarlet Nexus – Satu Kejutan Oleh Bandai Namco, kami mengatakan yang ia adalah satu kejutan untuk permainan Bandai Namco dan juga adalah antara permainan terbaik bagi tahun 2021. Jika anda meminati permainan aksi pengembaraan dan menyukai penceritaan anime, Scarlet Nexus adalah satu permainan yang sangat sesuai untuk anda.
Yakuza adalah siri yang sudah berumur lebih 17 tahun, ia membawa bentuk permainan yang lebih kurang sehinggalah Yakuza Like a Dragon di mana mereka beralih daripada permainan aksi pengembaraan kepada permainan RPG. Perubahan ini berjaya menjadikan ia satu permainan yang lebih segar, tambahan pada itu, ia juga membawa watak baharu iaitu Ichiban Kasuga menggantikan Kazuma Kiryu. Anda boleh baca ulasan kami di pautan ini; Ulasan Mini – Yakuza: Like A Dragon.