Ulasan Moon Knight – Gila Yang Semakin Reda

Artikel ini telah dikemaskini dengan ulasan episod ke-6.


Ingat lagi atau tak pengalaman menonton filem Dr. Strange kali pertama dan menonton siri TV WandaVision? Ia adalah antara cerita daripada MCU yang memberi satu pengalaman berbeza dan unik. Kemudian dalam Falcon and the Winter Soldier, ada adegan ganas dengan darah meleleh-leleh buat kali pertama untuk sesuatu daripada Marvel Studios.

Jika anda sukakan pengalaman sebegitu, Moon Knight akan membuatkan anda rasa teruja. Siri TV ini benar-benar berbeza dengan mana-mana filem atau siri TV MCU yang pernah ada. Ia lebih gelap, ada elemen seram seriau, mistik, psikologi, kultus serta aksi yang gila.

Moon Knight atau nama sebenar Marc Spector dalam siri TV ini adalah seorang askar upahan yang mempunyai penyakit kecelaruan identiti. Identiti lain beliau yang aktif adalah Steven Grant seorang pekerja kedai hadiah muzium dengan perwatakan yang lucu. Beliau digelar sebagai Moon Knight kerana telah melakukan perjanjian bersama dewa bulan Mesir, Khonshu. Lama kelamaan memori Marc mula mengganggu memori Steven dan secara tidak langsung musuh mereka mula menjadikan hidup beliau kacau bilau.

Dalam siri ini, Oscar Isaac adalah Marc/Steven, Ethan Hawke sebagai Dr. Arthur Harrow protagonis utama dan May Calamawy sebagai watak baharu Marvel yang tiada dalam komik – Layla El-Faouly iaitu isteri Marc. Siri TV ini diarahkan oleh Mohamed Diab seorang pengarah daripada Mesir.

Aku akan kongsi pengalaman menonton untuk episod 1-4 yang telah Disney berikan. Untuk jalan cerita, sesetengah orang mungkin akan rasakan yang perjalanan cerita ini agak perlahan. Jika anda sudah tonton dan itu perasaan anda, minta maaf – siri TV ini bukan untuk anda. Aku letak perspektif aku daripada keunikan dan perkara baru yang cuba Marvel tawarkan. Pertama sekali adalah penggunaan watak psiko kerana ada masalah kecelaruan identiti. Melihat watak Steven Grant bergaduh dengan diri sendiri iaitu Marc adalah amat menarik dan memuaskan. Mereka berebut badan untuk ambil-alih kawalan kerana masing-masing ada memori tersendiri dan skil tersendiri.

Apa yang cuba disampaikan setakat empat episod yang aku tonton ini adalah ringkas sahaja. Steven/Marc hanya ingin teruskan kehidupan dan tunaikan janji yang telah dibuat dengan dewa bulan Mesir sambil cuba menghentikan Arthur yang kejam dan jahat yang memuja dewa yang lebih zalim.

Siri ini mempunyai elemen penyelesaian tekaria, ala-ala kisah Indiana Jones, dan lebih gelap daripada biasa. Gelap di sini bukannya seram atau ngeri gila, tetapi ringan dan boleh diterima sambil memberi satu vibe yang menarik.

Dari awal hingga episod 4, hanyalah kisah Steven yang buntu, sambil bertemu dengan Arthur dan isteri yang beliau tidak pernah tahu ada – kerana Layla El-Faouly berkahwin dengan Marc. Walaupun badan yang sama, memori berbeza menjadikan Steven dan Marc seakan manusia dengan jiwa berlainan.

Kisah daripada Artur pula adalah lebih kurang sama dengan Marc. Arthur juga ada memuja dewa, tetapi lebih dahsyat kerana ada pengikut dan telah membina satu kultus tersendiri. Mereka yang layak boleh turut serta, mereka yang tidak akan mati. Kelebihan Arthur adalah boleh menyeru haiwan mistik untuk memburu musuh.

Marc pula mempunyai kuasa adi-manusia seperti kuat, boleh lompat jauh, boleh seru kostum mengikut identiti, ada senjata hebat dan banyak lagi perkara yang akan mengejutkan anda.

Setiap episod ada komedinya yang menenangkan keadaan yang hampir membuat aku rasa bosan dan rumit. Ini semua adalah daripada Oscar Isaac sendiri. Setiap aksi juga pada aku adalah cukup mantap, ganas yang tidak begitu jelas kerana aku faham Marvel inginkan semua golongan boleh tonton siri TV ini. Tetapi cubaan baik untuk membawakan adegan aksi ganas dalam MCU yang membuatkan aku rasa puas hati. Lebih-lebih lagi daripada penulis dan pengarah pertama kali untuk MCU.

Prestasi lakonan Oscaar Isaac sungguh mantap dan menakjubkan. Cara beliau membawa dua identiti dalam masa yang sama dengan loghat berbeza dan pergerakan yang berbeza adalah cukup hebat. Setiap apa yang beliau lakukan membuatkan aku rasa wow.

Lakonan Ethan Hawke sebagai Arthur pada aku okay sahaja setakat ini. Aku boleh terima dan tidak rasa benci atau menjengkelkan. Rasa gerun itu ada sedikit, tetapi untuk rasa benci beliau sebagai penjenayah utama masih tidak sampai setakat empat episod yang telah aku tonton. Tetapi aku suka watak penjahat yang rasa berbeza dengan penjahat MCU lain.

May Calamawy sebagai Layla adalah ok sahaja. Tiada yang istimewa pun dalam siri TV ini. Beliau adalah gadis kepada hero yang perlu ada untuk memberi sokongan.

Sinematografi dalam siri TV ini pada aku masih memuaskan. Ia membawa penonton ke lokasi yang tidak pernah mana-mana filem atau siri TV MCU bawakan. Ia berbeza, rasa segar, dan amat kreatif. Penggunaan warna, gerak geri kamera, kesan visual dan elemen CGI lain semua memuaskan dan mempunyai gred hampir taraf filem MCU. Sekurang-kurangnya untuk 3 episod pertama, kerana episod keempat yang aku tonton CGI masih belum lengkap dan episod seterusnya belum lagi aku tonton.

Moon Knight adalah siri TV yang membuatkan anda semua tidak sabar untuk saksikan siri TV ganas lain dalam MCU atau filem MCU yang sebegini. Ia banyak menggunakan tema gelap, ngeri, bermain dengan psikologi sedikit tetapi tidak memeningkan dan membawakan aksi yang berbeza sambil masih hormat dengan apa yang pernah MCU tawarkan.

Moon Knight adalah siri TV yang pada aku anda semua wajib tonton. Ia tidak seperti siri TV dan filem lain dalam dunia Marvel Cinematic Universe, ia sekali lagi memberi peluang watak baru untuk mempunyai masa hadapan yang cerah – seperti mungkin terlibat dengan filem lain. Siri TV ini juga jelas sedang membina plot untuk menggabungkan watak-watak hero MCU lain dalam satu kumpulan baharu.

Mereka yang minat dengan penyiasatan, misteri dan mistik, elemen gelap dan sumpahan, konsep bersama kultus dan pujaan dewa-dewi, aksi ganas dan visual menarik – siri TV ini akan membuatkan anda rasa WOW.

Perlu diingatkan, masih ada beberapa bahagian yang banyak bercakap dan membuatkan anda rasa bilalah nak ke adegan seterusnya – tetapi ini adalah siri Marvel jadi nikmati setiap saat sebaik mungkin kerana anda mungkin boleh terlepas easter egg yang disajikan.

Akses awal episod 1-4 Moon Knight ini diberikan oleh Disney kepada Aksiz untuk tujuan ulasan. Siri TV ini akan mula disiarkan kepada umum pada 30 Mac, Rabu – kami akan kemaskini ulasan ini jika pendapat berubah selepas tonton episod 5-6 akan datang.


Episod 5 – Drama Mendalam Yang Menyentuh Hati

Selepas hampir sebulan aku tunggu untuk tonton episod seterusnya, akhirnya hari ini episod lima telah disiarkan dan tanpa membuang masa lagi – aku terus tonton dengan penuh khusyuk untuk menghayati pada kualiti 4K dan Dolby Vision. Tidak lagi seperti sebelum ini dengan beberapa suntingan tidak lengkap dan kesan visual yang belum selesai.

Episod kali ini menceritakan lebih kepada asal-usul Marc dan Steven. Ia mempunyai sedikit latar belakang keluarga mereka, kisah kanak-kanak, dan bagaimana Steven boleh wujud di samping Marc?

Apa yang didedahkan pada episod 4 masih tidak begitu jelas, kerana mereka yang menghasilkan siri TV ini seakan cuba menyembunyikan sesuatu dan aku dapat rasakan ada lebih lagi yang mereka sengaja simpan untuk episod keenam yang juga merupakan episod terakhir minggu hadapan. Dewa badak yang ada pada episod empat diceritakan dengan lebih jelas, dan buat pertama kalinya kita boleh saksikan bagaimana Marc dan Steven berinteraksi antara satu sama lain dengan lebih berhabis-habisan bertengkar.

Aku boleh rasa sedih sedikit dalam episod ini kerana rasa sebak untuk melihat apa yang berlaku pada Marc. Kemudian pada Steven pula aku boleh rasakan kenapa dia rasa tersisih. Apa yang membuatkan aku teruja sekali lagi adalah prestasi Oscar Isaac yang sangat hebat dan memuaskan. Aku suka gila cara dia mainkan dua watak ini. Arthur Harrow lakonan Ethan Hawke, walaupun tidak jelas watak doktor ini benar ataupun tidak – cara beliau bawakan watak ini bole rasa jahat, kejam dan zalimnya.

Visual kali ini kurang sedikit, namun selepas temuramah aku bersama Gregory Middleton iaitu pengarah sinematografi – aku faham kenapa. Aku boleh terima. Episod kali ini lebih kepada drama dan kurang aksi dan apa yang ingin disampaikan itu sampai cuma rasa kurang puas kerana ia rasa amat pendek dan sekejap sahaja sudah tamat.


Episod 6 – Aksi Menarik Dengan Cerita Yang Tak Menarik

Moon Knight akhirnya tamat dengan episod keenam. Siri TV MCU baharu ini masih tiada sebarang berita lagi sama ada akan diteruskan ataupun tidak. Apa yang pasti ia adalah siri TV terhad untuk satu musim sahaja. Jika Marvel Studios ingin sambungkan kisah Moon Knight, watak-watak menarik dan penting harus mempunyai siri sampingan atau terus masuk dalam filem lain atau siri lain.

Moon Knight adalah antara siri TV MCU terbaru yang menarik dan berbeza. Elemen ganas semakin jelas, tema ke arah kegelapan semakin menyerlah, penceritaan suspen, ringkas dan tergantung juga semakin menjadi trend. Watak Marc/Steven/Moon Knight/Mr. Knight menerima sambutan hebat dan Oscar Isaac yang membawakan watak ini memberikan prestasi yang menakjubkan.

Apa yang berlaku dalam episod keenam adalah sangat ringkas sebenarnya. Ia adalah saat di mana Marc mula menerima realiti yang beliau ada masalah kecelaruan identiti, Layla belajar yang dalam keadaan terdesak keputusan terdesak harus dilakukan, Harrow yang kejam semakin jelas kelihatan serta dewa-dewa yang berkuasa bertempur demi menegakkan kepercayaan masing-masing.

Aksi di dalam episod ini agak menarik dan rasa memuaskan. Tetapi aksi ganas yang dipotong sekali lagi kerana mungkin terlampau ganas seperti dalam episod lalu diulangi. Nampak cool, tapi rasa tidak puas hati kerana seakan mempunyai suntingan malas atau idea pintas untuk beri alasan ini masih lagi siri TV untuk tontonan umum.

Penceritaan bagaimana identiti Marc ketiga muncul semakin jelas, walaupun masih penuh misteri. Seterusnya, ia memperlihatkan bagaimana Marc meneruskan kehidupan, dengan keadaan ‘gila’ yang terkawal ini. Kisah yang didedahkan tidak begitu memuaskan dan ada rasa kekosongan yang patut diceritakan lagi.

Masa hadapan Layla, dewa Khonshu, Marc dan identiti mereka – semuanya ada potensi untuk menjadi watak lebih menarik dalam francais MCU. Cuma dalam filem apa dan siri apa mereka patut muncul? Adakah mengikut komik atau hanya satu cerita baru?

Marvel terlepas peluang untuk memberikan watak utama siri ini lebih dinamik dan satu pengalaman menonton lebih memuaskan. Apa yang ada dalam siri ini menunjukkan Marvel bersedia dengan cerita yang ganas, gelap dan mengerikan. Ia adalah satu penutup yang aku boleh terima, tetapi aku tidak rasa satu pengalaman yang memuaskan.


Episod akhir siri TV Moon Knight mempunyai satu adegan tambahan di pasca-kredit.

Moon Knight Episod 5
Siaran pada 27 April 2022
Episod 5 menceritakan kisah asal-usul Marc Spector dan Steven Grant. Ia mendedahkan kisah keluarga mereka dan penceritaan bagaimana masalah kecelaruan identiti bermula. Ia penuh dengan emosi juga.
Positif
Penceritaan kisah asal-usul yang mendalam.
Ia ringkas tapi mudah faham apa yang watak utama lalui.
Mendebarkan hati dengan setiap saat yang mungkin akan ada rahsia ingin didedahkan.
Negatif
Rasa pendek dan cepat habis, jadi tidak memuaskan.
9.5
Skor Ulasan

Sohor Kini