Di pasaran terdapat pelbagai pilihan bagi alat kawalan untuk Nintendo Switch, pemain memilihnya disebabkan pelbagai sebab, antaranya kerana kurang selesa dengan Joycon ataupun sekadar menjadi alat kawalan tambahan. Salah satu daripadanya adalah Omelet Gaming JoyPad iaitu alat kawalan untuk Nintendo Switch oleh Omelet Gaming.

Ia merupakan produk pertama di bawah jenama Omelet Gaming dan saya boleh katakan untuk produk pertama, ia adalah satu permulaan yang baik. JoyPad hadir dengan dua pilihan warna iaitu Neon yang merupakan salah satu pilihan warna yang sinonim dengan Nintendo Switch dan warna putih seperti salah satu warna untuk Nintendo Switch OLED.

Di dalam kotak selain alat kawalan itu sendiri, ia juga mempunyai satu ‘bongkah’ yang boleh disambung untuk menjadikan alat kawalan yang penuh, seperti yang disediakan untuk Joycon dan juga satu kabel USB-C yang digunakan untuk pengecasan.

Berbanding joycon, JoyPad ini hadir dengan saiz yang agak besar, bagi anda yang biasa menggunakan tambahan pemegang kepada joycon, ia akan memberikan perasaan yang sama. Namun, bagi saya ia sedikit terlalu besar untuk digunakan dengan selasa terutama apabila terpasang di Switch.

Seperti Joycon, ia boleh digunakan empat cara berbeza iaitu dengan terpasang di Switch, secara berasingan, disambungkan ke kerangka untuk menjadikan alat kawalan penuh ataupun setiap bahagian menjadi alat kawalan tersendiri untuk sesi bermain dua pemain.

Daripada empat cara ini, saya boleh katakan bermain secara berasingan dan setiap bahagian menjadi alat kawalan tersendiri sahaja yang saya merasakan lebih selesa berbanding menggunakan joycon ataupun pro controller. Jika anda mempunyai tangan yang besar, ia mungkin lebih selesa untuk anda.

Omelet Gaming JoyPad juga mempunyai butang yang lebih timbul dan lebih besar, menjadikan ia lebih mudah untuk ditekan dan lebih selesa, akan tetapi ia juga memberikan perasaan yang ‘murah’ jika anda bermain permainan yang memerlukan penekanan butang yang pantas, ia akan menghasilkan bunyi yang bising menjadikan ia kurang sesuai untuk digunakan di tempat awam.

Ia juga mempunyai segala butang di Joycon termasuk juga untuk Screenshot dan Home, dan kesemuannya berfungsi seperti yang sepatutnya.

Selain membawa fungsi-fungsi yang sama seperti Joycon, Omelet Gaming Joypad turut mempunyai pelbagai fungsi tambahan yang akan mempertingkatkan lagi pengalaman bermain. Antaranya adalah butang di bahagian belakang iaitu 3R dan 3L, kedua-dua butang ini boleh ditetapkan untuk menjadi mana-mana butang biasa.

Jika anda sedang bermain mana-mana permainan dan merasakan sesuatu butang itu sukar untuk diakses, anda boleh tetapkannya ke mana-mana butang belakang ini. Ia adalah fungsi yang baik jika digunakan dengan tepat, akan tetapi oleh kerana ia terletak betul-betul dibahagian tempat saya meletakkan jari, ada masa saya tertekan secara tidak sengaja, ini ditambah lagi ia mempunyai saiz butang yang besar.

Satu lagi fungsi yang bagi saya agak niche, adalah fungsi Turbo untuk menjadikan sesuatu butang ditekan secara berterusan. Saya tidak pernah bermain permainan yang memerlukan fungsi ini akan tetapi jika anda memerlukan, ia adalah baik kerana alat kawalan ini menyediakannya.

Seterusnya adalah fungsi yang boleh dikatakan sebagai ‘hiasan’ iaitu lampu LED di bahagian bulan kayu ria dan juga mengawal kekuatan getaran. Ia adalah dua fungsi yang walaupun tidak membantu di dalam pengalaman anda bermain, akan tetapi masih memberikan nilai tambah kepada alat kawalan ini.

Oleh kerana fungsi-fungsi ini tidak boleh dikawal secara terus melalui Nintendo Switch, kesemuanya ditetapkan dengan menekan butang-butang yang ada. Ia sedikit menyusahkan akan tetapi tidak sukar dan arahan yang diberikan mudah untuk diikuti. Namun, anda mungkin perlu memastikan sentiasa membawa ataupun menyimpan gambar arahan tersebut.

Secara kendirinya, Omelet Gaming JoyPad bertahan untuk lebih kurang 4 jam sesi permainan yang bagi saya sudah mencukupi kerana Nintendo Switch sendiri bertahan lebih kurang selama itu, namun pengecasan penuh yang mengambil masa sehingga 2 jam terasa sedikit lama untuk bateri bersaiz kecil ini.

Omelet Gaming JoyPad ditawarkan dengan harga RM199 iaitu RM90 lebih murah berbanding joycon rasmi oleh Nintendo dan RM70 lebih murah berbanding Nintendo Pro Controller yang bagi saya satu perbezaan harga yang tidak besar. Oleh itu, melainkan anda benar-benar ingin menggunakan fungsi tambahan yang hadir di Omelet Gaming JoyPad ini, alat kawalan rasmi adalah lebih berbaloi untuk dibeli.

Namun, jika anda merasakan alat kawalan rasmi kurang selesa dan inginkan fungsi-fungsi tambahan ini, ia adalah antara pilihan yang baik walaupun tidak semestinya paling murah untuk alat-alat kawalan pihak ketiga yang terdapat di pasaran. Jika berminat anda boleh dapatkan secara terus di Shopee rasmi Omelet Gaming ataupun mana-mana kedai permainan video.

Penafian: Omelet Gaming JoyPad warna Neon dan Putih disediakan oleh Play Interactive Asia untuk tujuan ulasan ini.

Sohor Kini