Lebih kurang setahun yang lepas, saya telah berkongsi mengenai pengalaman bermain permainan mudah alih di Samsung Galaxy S21 Ultra, yang boleh dikatakan sebagai telefon pintar utama untuk Samsung pada waktu itu, dan juga boleh dikatakan sebagai telefon terbaik untuk permainan mudah alih oleh mereka, yang hanya sedikit ditewasakan oleh penawaran yang lebih mahal iaitu Samsung Galaxy Z Fold3 5G yang tiba kemudian.
Pada bulan lepas, Samsung telah mengumumkan kemaskini untuk model Galaxy S dengan melancarkan Galaxy S22, Galaxy S22+ dan Galaxy S22 Ultra. Seperti mana saya kongsikan di artikel pandang pertama, Samsung telah menyediakan kami Galaxy S22 Ultra untuk diuji bermain permainan video dan itulah apa yang saya telah lakukan untuk beberapa minggu yang lepas.
Walaupun sedikit kecewa kerana model yang terima bukanlah mempunyai RAM yang tertinggi akan tetapi secara amnya ia memberikan prestasi yang baik, yang membuatkan saya lupa, ia hanya mempunyai 8GB RAM. Berikut adalah spesifikasi penting untuk Samsung Galaxy S22 Ultra:
- Skrin: 6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, 3088 x 1440
- Cipset: Snapdragon 8 Gen 1
- Ram: 8GB
- Storan: 128GB
- Kapasiti Bateri: 5000mAH
- Pengecasan Pantas: 45W
Bagi menguji prestasi untuk bermain permainan mudah alih saya menggunakan empat permainan iaitu Genshin Impact, Apex Legends Mobile, dan League of Legends: Wild Rift, namun sebelum kita beralih kepada permainan-permainan tersebut, saya ingin kongsikan terlebih dahulu pengalaman umum menggunakan Samsung Galaxy S22 Ultra ini.
Pengalaman Umum
Jika anda membaca pengalaman bermain permainan mudah alih untuk Samsung Galaxy S21 FE, anda tahu yang saya tidak terlalu menyukai telefon dengan paparan yang besar kerana bagi saya ia kurang selesa untuk dipegang termasuk juga semasa bermain. Dengan saiz skrin 6.8″ saya boleh katakan yang Galaxy S22 Ultra sedikit besar bagi saya, akan tetapi saya merasakan sesiapa yang berminat dengan telefon ini, inginkan skrin yang besar.
Kelebihan skrin yang besar ini sudah semestinya memberi lebih banyak ruang kepada tangan anda untuk berada di skrin dan tidak sangat mengganggu sesi permainan. Dari segi kualiti panel pula, ia adalah sesuatu yang sudah boleh dijangkakan daripada telefon Samsung. Ia adalah antara paparan terbaik yang ada di pasaran sekarang. Setiap warna adalah tepat, boleh digunakan di bawah cahaya matahari dengan kata lain satu skrin yang baik bukan sahaja untuk bermain tetapi juga menonton kandungan media.
Satu rungutan yang saya boleh katakan, tetapi seperti saiz skrin, ia adalah pilihan peribadi iaitu skrin yang melengkung di bahagian tepi. Ada yang menyukainya kerana ia memberikan rekaan yang tanpa bingkai, tetapi, saya lebih menyukai jika ia skrin yang rata kerana akan memberikan pengalaman menonton yang lebih baik.
Seperi dinyatakan di spesifikasi di atas, skrin menyokong sehingga WQHD+ ataupun 3088 x 1440, namun pada pengalaman saya ia mungkin resolusi yang terlalu tinggi untuk kapasiti 5000mAH bateri dengan penggunaan bateri yang lebih tinggi daripada saya harapkan. Oleh itu, sepanjang penggunaan telefon ini, termasuk juga semasa bermain permainan video saya menggunakan FHD+ iaitu 2316 x 1080, ia juga akan memberikan prestasi permainan yang lebih baik tanpa pengorbanan grafik yang terlalu jelas.
Bercakap mengenai bateri, untuk penggunaan biasa, ia mampu untuk digunakan lebih pada sehari tanpa memerlukan pengecasan semula, akan tetapi jika diselitkan dengan penggunaan berat seperti bermain ataupun menonton kandungan media dengan kerap, ia akan memerlukan pengecasan sebelum anda mengakhiri hari. Dengan sokongan pengecasan pantas sehingga 45W, mengecas bukanlah satu masalah yang besar.
Jika anda mengikuti perkembangan terkini mengenai dunia teknologi, anda mungkin mengetahui mengenai kontroversi perisian Game Optimizing Service (GOS) yang telah mengurangkan prestasi CPU serta GPU untuk menjimatkan bateri, saya sudah memuat turun kemaskini untuk membuangnya, dan saya tidak boleh katakan yang ia membawa kelainan tetapi dengan selamatnya saya boleh katakan yang prestasi yang ditawarkan di telefon ini adalah sepenuhnya dan tidak lagi ‘disekat’.
Genshin Impact
Satu-satunya permainan yang saya uji dan merasakan 8GB RAM tidak mencukupi adalah Genshin Impact, saya telah mencuba pelbagai tetapan dari paling rendah hinggalah tertinggi dan tiada prestasi yang benar-benar baik kerana ia mempunyai masalah permainan tersangkut secara rawak tidak kira tetapan yang digunakan.
Saya tidak pasti jika ia adalah masalah di telefon ataupun masalah Genshin Impact tidak dapat dijalankan dengan baik di telefon ini, namun saya boleh katakan yang tetapan terbaik adalah High dengan kadar kelancaran 60FPS, kerana ia memberikan kualiti grafik yang terbaik dan prestasi yang memuaskan. Anda boleh merendahkan tetapan tetapi ia tidak memberi kesan kepada kadar kelancaran.
Dua benda yang bagi saya sedikit membantu adalah menutup Motion Blur dan Bloom, ia tidak menghilangkan permainan tersangkut tetapi memberi pengalaman yang lebih baik. Namun, secara keseluruhan prestasi Genshin Impact di Galaxy S22 Ultra kurang memuaskan dan mungkin sesuatu yang akan dipertingkat dari semasa ke semasa.
Dari segi penggunaan bateri pula, dengan tetapan High/60FPS, ia menggunakan lebih kurang 25% bateri untuk sesi permainan selama sejam, dan telefon juga terasa panas, saya menggunakan kerangka masih lagi terasa panas tetapi tidak sehingga ia tidak lagi boleh dimainkan. Saya boleh katakan elakkan daripada bermain semasa mengecas.
Apex Legends Mobile
Apex Legends Mobile adalah permainan battle royale terbaru yang memasuki arena permainan mudah alih, walaupun masih di peringkat beta ia adalah satu permainan yang dibangunkan dengan baik untuk telefon pintar. Dengan pelbagai pilihan tetapan grafik, saya menggunakan grafik ExtremeHD iaitu kedua tertinggi di belakang Original dan Extremely High untuk FPS yang akan menyokong sehingga 90FPS.
Walaupun ia dicadangkan untuk menggunakan UltraHD dan High akan tetapi saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk bermain dengan tetapan yang lebih tinggi walaupun dengan kos bateri yang sedikit lebih tinggi iaitu menggunakan lebih kurang 20% bateri untuk sesi selama sejam ataupun 3 pertempuran penuh.
Jika ingin mengurangkan penggunaan bateri, dan juga kelancaran yang lebih stabil, anda boleh rendahkan Image Quality ke HD ataupun Balanced, kerana bagi saya permainan seperti Apex Legends tidak sangat memerlukan kualiti grafik yang tinggi sebaliknya kelancaran adalah lebih menjadi fokus.
Dari segi kepanasan, ia terasa panas di bahagian belakang dan juga di skrin, akan tetapi walapun bermain selama sejam ia masih boleh dipegang dengan selesa.
League of Legends: Wildrift
Seperti percubaan saya sebelum-sebelum ini, League of Legends: Wildrift adalah satu permainan yang boleh dimainkan dengan baik walaupun untuk telefon pertengahan. Oleh itu tidak mengejutkan jika Samsung Galaxy S22 Ultra boleh bermainnya dengan tetapan yang terbaik. Saya menggunakan tetapan grafik Super High dengan kadar kelancaran maksimum 60FPS.
Wildrift mempunyai sokongan sehingga 120FPS akan tetapi ia tidak boleh digunakan untuk peranti ini yang bagi saya sedikit mengecewakan kerana S22 Ultra menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz. Menggunakan tetapan ini, ia boleh dimainkan dengan baik dan kadar kelancaran tidak langsung lebih rendah berbanding 60FPS, tidak kira apa pun situasi.
Berbanding dua permainan yang sebelum ini, saya hanya terasa suam sahaja bermain, walaupun untuk tempoh sehingga satu jam. Di dalam tempoh tersebut, ia menggunakan lebih kurang 15% bateri membolehkan ia dimainkan untuk satu tempoh yang lebih lama tanpa terlalu risaukan bateri.
Rumusan
Samsung Galaxy S22 Ultra adalah antara telefon terbaik dengan spesifikasi tertinggi yang boleh didapatkan di pasaran, oleh itu tidak mengejutkan jika ia dapat bermain permainan dengan baik. Kebanyakan permainan yang saya cuba, termasuk juga permainan yang saya tidak fokuskan di artikel ini, boleh dimainkan tanpa sebarang masalah walaupun dengan tetapan tertinggi.
Satu-satunya masalah yang saya hadapi adalah Genshin Impact yang mempunyai masalah permainan tersangkut secara rawak. Walaupun ia tidak berlaku dengan lama ataupun kerap akan tetapi masih sedikit mengganggu pengalaman bermain. Saya juga tidak pasti jika ia sesuatu yang boleh diperbaiki oleh Samsung ataupun Mihoyo, saya cuma berharap ia ditambah-baik di masa hadapan.
Selain itu, sedikit mengecewakan permainan-permainan yang menyokong 120FPS, tidak dibuka untuk peranti ini, contohnya Wildrift akan tetapi oleh kerana ia masih di peringkat ujian, ia mungkin dibuka di masa hadapan. Jika tidak, sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz di S22 Ultra hanya terhad kepada penggunaan harian sahaja.
Bateri adalah baik akan tetapi berharap ia bertahan lebih lama terutama untuk sesi bermain permainan mudah alih, namun dengan sokongan pengecasan pantas, ia bukan sesuatu yang akan menjadi masalah kerana anda boleh mengecas penuh dengan sekejap sahaja.
Namun, Samsung Galaxy S22 Ultra bukanlah peranti untuk bermain permainan mudah alih sahaja, ia juga menawarkan pelbagai fungsi lain seperti kamera dan juga kembalinya S-Pen, jika anda ingin membaca lanjut mengenai penawaran telefon ini, anda boleh membaca ulasan oleh Amanz melalui pautan ini ataupun melalui video di bawah.
Samsung Galaxy S22 Ultra hadir dengan tiga pilihan iaitu 12GB RAM + 512GB Storan dengan harga RM5,899, 12GB RAM + 256GB Storan dengan harga RM5,499 dan model yang kami terima adalah 8GB RAM + 128GB Storan ditawarkan dengan harga RM5,099. Ia hadir dengan empat pilihan warna iaitu Phantom White, Phantom Black, Green dan Burgundy.