Valve hari ini telah berkongsi prestasi untuk gedung permainan video mereka iaitu Steam bagi tahun 2021 dan secara keseluruhannya, ia memperlihatkan peningkatan yang sangat baik walaupun berbanding dengan tahun 2020 yang juga berkembang pesat.

Mereka mengatakan yang sepanjang tahun 2021, Steam telah mempunyai 132 juta pemain aktif setiap bulan dengan 69 juta pemain adalah aktif setiap hari. Pada tahun 2021 mereka juga telah mencatat 27.4 juta pemain serentak. Pencapaian ini juga membantu Steam untuk mencatat 21% lebih jumlah masa bermain iaitu pemain telah meluangkan 38 bilion jam bermain.

Dari segi perbelanjaan di Steam pula ia memperlihatkan 27% peningkatan berbanding tahun lepas dengan 2.6 juta pemain setiap bulan membeli permainan di Steam buat pertama kali. Pembelian kad tambah nilai Steam juga memperlihatkan peningkatan sebanyak 43% dari segi nilai berbanding tahun 2020.

Walaupun hadirnya pencabar gedung permainan video untuk PC seperti Epic Games Store, Steam tampaknya masih lagi menjadi pilihan utama untuk pemain di PC dengan peningkatan-peningkatan ini. Anda boleh baca laporan penuh di pautan ini.

Sohor Kini