Jika bercakap mengenai geopolitik, mungkin ada yang mempunyai pendapat berbeza mengenai peperangan yang berlaku di Ukraine. Mungkin ada mengatakan yang Rusia mempunyai sebab untuk melakukannya, walaupun satu pendapat yang aneh, tetapi sesiapa sahaja berhak untuk mempunyainya.

Namun, satu perkara yang saya rasa semua bersetuju adalah di setiap peperangan ada mangsanya, dan mangsa ini tidak langsung terlibat dengan politik, pimpinan ataupun mengenai geopolitik ini, mereka adalah manusia biasa yang ingin sekadar menjalankan hidup secara normal, dan saya rasa kita perlu berdebat sama ada ingin membantu ataupun tidak mereka.

Oleh itu, jika anda berminat untuk membantu, itch.io telah hadir dengan satu berkas yang menawarkan lebih 1000 ribu permainan dan ditawarkan dengan harga $10 (~RM41) sahaja untuk mendapatkan kesemua permainan tersebut. Jika anda ingin menyumbang lebih daripada itu, anda juga boleh lakukannya.

Kesemua kutipan daripada berkas ini akan diberikan kepada dua badan kebajikan di Ukraine iaitu International Medical Corps dan Voices of Children.

Antara permainan yang ditawarkan adalah Skatebird, CrossCode, Celeste, Superhot, Sundered, dan 2064: Read Only Memories yang kami rasakan sudah melebihi daripada nilai $10. Anda boleh dapatkan berkas ini melalui pautan ini.

Semua permainan ini boleh dimuat turun secara terus melalui itch.io dan ia adalah untuk PC sahaja.

Sohor Kini