Jual-beli kad Pokemon yang hadir dengan nilai yang tinggi bukanlah sesuatu yang baru, tetapi secara lazimnya, ia hanya akan dilakukan oleh para pengumpul serius ataupun kaya kerana nilai kad-kad ini tidak masuk akal apabila dilihat daripada lensa seorang peminat biasa, ataupun mereka yang tidak begitu meminati permainan kad tersebut.

Ia telah dilaporkan baru-baru ini bahawa seorang individu yang bernama Vinath Oudomsine telah dipenjara selama tiga tahun untuk kesalahan membeli sekeping kad Pokemon Charizard yang dinilaikan pada $57,000 ataupun sekitar RM240,000.

Vinath membeli sekeping kad Pokemon Charizard holograph tersebut, yang merupakan sebuah kad rare dan mempunyai penilaian 9.5 yang menjadikannya sebuah kad tanpa cacat-cela yang sukar untuk dicari. Menurut beberapa laporan, kad tersebut dibeli menggunakan wang kebajikan yang dikeluarkan oleh kerajaan Amerika Syarikat melalui Economic Injury Disaster Loan yang sepatutnya digunakan untuk memberi suntikan kewangan kepada bisnesnya, dan membolehkannya menampung 10 pekerja yang dikatakan berada dibawah jagaannya.

Daripada $85,000 yang diterimanya, sebanyak $57,789 digunakan untuk membeli kad permainan tersebut, yang merupakan satu kesalahan yang agak serius di mata undang-undang Amerika Syarikat. Setelah disabit kesalaham Vinath dikatakan bersetuju untuk membayar kembali wang yang diambil, beserta saman $10,000. Kad Pokemon yang dibelinya juga telah dirampas oleh pihak pendakwaraya.

Sohor Kini