Samsung pada bulan lepas telah mengumumkan model baharu untuk siri telefon pintar mercu mereka iaitu Samsung Galaxy S22. Mereka telah mengumumkan tiga pilihan iaitu Galaxy S22 Ultra, Galaxy S22+ dan Galaxy S22. Samsung telah memberi peluang kepada kami untuk mencuba Samsung Galaxy S22 Ultra iaitu model dengan penawaran paling lengkap untuk siri ini.

Samsung Galaxy S22 Ultra hadir dengan tiga pilihan iaitu 12GB RAM + 512GB Storan dengan harga RM5,899, 12GB RAM + 256GB Storan dengan harga RM5,499 dan model yang kami terima adalah 8GB RAM + 128GB Storan ditawarkan dengan harga RM5,099. Ia hadir dengan empat pilihan warna iaitu Phantom White, Phantom Black, Green dan Burgundy.

Seperti biasa, melalui pandang pertama ini, kami akan kongsikan apa di dalam kotak, spesifikasi dan juga rekaan. Manakala pengalaman bermain permainan mudah alih untuk Samsung Galaxy S22 Ultra kami akan kongsikan di masa hadapan.

Apa Di Dalam Kotak?

Seperti telefon sebelum ini yang kami kongsi, iaitu Samsung Galaxy S21 FE, Galaxy S22 Ultra juga menyertakan sedikit sahaja barangan di dalam kotak. Ia tidak menyertakan kepala pengecas dan sekadar mempunyai kabel USB-C ke USB-C dan juga pin pembuka sim bersama dengan buku panduan.

Kepala pengecas ini ditawarkan secara berasingan dengan harga RM59 untuk 15W dan RM79 untuk 25W, Galaxy S22 Ultra juga menyokong 45W akan tetapi buat masa ini kepala pengecas untuknya tidak ditawarkan oleh Samsung dan boleh dibeli melalui pihak ketiga.

Spesifikasi

Berbanding menggunakan cip pemprosesan Exynos, di Malaysia ia ditawarkan dengan cip daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 1 dengan sokongan 5G iaitu cip terbaru dan boleh dikatakan terbaik oleh mereka. Model ini mempunyai pilihan sehingga 12GB RAM akan tetapi seperti kami nyatakan di atas model yang kami terima adalah 8GB RAM.

Bagi storan, model yang kami terima adalah mempunyai 128GB storan, tetapi anda juga boleh dapatkan sehingga 512GB storan, oleh kerana ia tidak menyokong penambahan storan melalui kad SD, oleh itu anda perlu memilih storan yang terbaik untuk kegunaan anda. Bagi kami, 128GB sudah mencukupi kerana fail-fail lain disimpan di perkhidmatan awan.

Bagi skrin pula, ia hadir dengan skrin bersaiz 6.8″ yang menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi QHD+ ataupun 3088 x 1440, bergantung kepada pilihan anda, resolusi boleh ditetapkan kepada dua pilihan yang lebih rendah iaitu HD+ (1544 x 720), FHD+ (2316 x 1080).

Skrin ini juga menyokong kadar kelancaran sehingga 120Hz dan melalui mod permainan video, ia juga akan menyokong Touch Sampling sehingga 240Hz untuk memberikan pengalaman bermain yang lebih baik.

Bagi bateri, Samsung Galaxy S22 Ultra mempunyai kapasiti 5000mAh yang boleh dikatakan sebagai kebiasaan untuk telefon pintar mercu, seperti dinyatakan di atas, ia menyokong pengecasan pantas sehingga 45W tetapi anda perlu dapatkan kepala pengecas secara sendiri.

Rekaan

Dengan skrin bersaiz 6.8″ dan walaupun mempunyai takuk yang sedikit sahaja, Samsung Galaxy S22 Ultra masih lagi satu telefon yang panjang, ia masih boleh disimpan di dalam kocek seluar tanpa sebarang masalah akan akan terasa terutama bagi pengguna yang tidak biasa menggunakan telefon yang bersaiz besar.

Namun dengan ketebalan lebih kurang 9mm dan berat 229 gram, ia masih lagi telefon yang selesa untuk dipegang, manakala penggunaan sebelah tangan masih lagi boleh dilakukan akan ia sedikit sukar terutama untuk mencapai bahagian-bahagian atas dan hujung.

Ia mempunyai 5 bonjol untuk bahagian kamera yang akan menjadikan telefon berada dengan keadaan janggal apabila diletakkan di atas permukaan dan akan bergoyang-goyang apabila ditekan, akan tetapi ia adalah masalah kecil yang boleh diselesaikan dengan penggunaan kerangka.

Seperti telefon-telefon pintar lain oleh Samsung, kesemua butang iaitu kuasa dan juga bunyi diletakkan di bahagian kanan, memudahkan akses untuk kegunaan satu tangan. Manakala slot kad sim yang menyokong 2 kad sim terletak di bahagian bawah dan mengembalikan fungsi daripada siri Galaxy Note, S22 Ultra juga mempunyai S-Pen yang juga berada di bahagian bawah.

Ia hadir dengan pembesar suara stereo dan tidak mempunyai bicu audio oleh itu anda perlu menggunakan sambungan USB-C ataupun set fon kepala/telinga nirwayar.

Kesimpulan

Samsung Galaxy S22 Ultra sudah semestinya salah satu telefon terbaik yang anda boleh dapatkan sekarang, dengan menggunakan cip pemprosesan terbaru, dan juga mungkin pilihan ramai kerana menggunakan cip Qualcomm, walaupun masih kecewa kerana ia masih lagi mempunyai model yang menggunakan 8GB RAM, akan tetapi ia masih mencukupi untuk permainan terkini, di mana saya akan kongsikan lebih lanjut tidak lama lagi.

Skrin 6.8″ adalah sedikit besar berbanding apa yang saya biasa dan suka akan tetapi ia juga bermakna akan mempunyai paparan yang lebih baik bagi yang memerlukan dengan saiz yang masih lagi boleh dikatakan tidak terlalu besar, ia juga tidak bermasalah untuk digunakan dengan selesa.

Kembalinya sokongan untuk S-Pen yang terbina ia juga adalah satu nilai tambah bagi yang ingin menggunakan telefon pintar untuk lebih banyak fungsi yang berlainan. Seperti saya nyatakan di atas, nantikan pendapat penuh saya mengenai pengalaman bermain permainan mudah alih di Samsung Galaxy S22 Ultra tidak lama lagi, sementara itu anda boleh layari laman Samsung untuk maklumat lanjut dan juga melakukan tempahan jika berminat.

Sohor Kini