Seperti kita sedia maklum, dunia telah dikejutkan dengan tindakan tidak bertanggungjawab dari Rusia yang menyerang Ukraine di dalam “pembalasan” mereka terhadap kuasa barat yang semakin kukuh dan semakin dekar dengan persempadanan mereka.

Tindakan tersebut secara umumnya telah menerima kritikan dari pelbagai pihak, termasuk juga di dalam industri permainan video, antaranya EA telah mengumumkan yang mereka akan membuang pasukan Rusia dari permainan FIFA dan juga NHL manakala 11 Bit Studios telah mengutuk keras tindakan Rusia.

Terkini, Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Mykhailo Fedorov telah meminta dua pengeluar konsol permainan video utama iaitu PlayStation dan juga Xbox untuk menghentikan sementara operasi mereka di Rusia sebagai desakan kepada Rusia untuk menghentikan peperangan ini.

Buat masa ini, PlayStation mahupun Xbox masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai permintaan ini, dan ia masih lagi beroperasi seperti biasa.

Manakala ESL, iaitu antara penganjur kejohanan esukan utama telah mengumumkan yang mereka mengharamkan pasukan dan pemain yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Rusia daripada terlibat dengan kejohanan anjuran mereka. Dua pasukan yang telah dikenal pasti adalah Virtus.pro dan Gambit.

Namun, mereka menegaskan yang tidak adil untuk menghukum pemain yang tidak terlibat dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan mereka, oleh itu, mereka masih lagi terlibat dengan kejohanan ini tetapi dengan tidak dikaitkan dengan Rusia.

Sohor Kini