Gran Turismo adalah satu IP yang sudah sinonim untuk penggemar permainan simulasi lumba kereta, Gran Turismo 7 adalah permainan seterusnya untuk siri ini dan akan tiba 5 tahun selepas permainan sebelum ini iaitu Gran Turismo Sport.
Saya tidak pernah mencuba GT Sport, dan merasakan permainan GT terakhir yang saya pernah cuba adalah GT6, dan selepas bermain lebih kurang 20 jam GT 7 saya boleh katakan ia masih lagi Gran Turismo yang saya kenali suatu masa dahulu. Ia masih lagi permainan simulasi lumba kereta yang benar-benar mengambil secara mendalam.
Sebagai pemain secara kasual, saya boleh katakan premis permainan Gran Turismo 7 adalah mengumpul kesemua kereta yang disediakan di dalam permainan ini, dan ia menyertakan banyak jenis kereta dan akan mengambil satu jangka masa yang agak lama untuk mengumpulnya. Bagi menjadikan konsep ini sebagai satu yang mudah untuk diikuti, GT7 memperkenalkan Cafe.
Di Cafe ini ia akan menjadi hab di mana pemain akan menerima buku menu, bukanlah untuk makanan, akan tetapi objektif yang perlu diselesaikan dan kebanyakan adalah mendapatkan kereta-kereta tertentu. Menyelesaikan buku menu ini, pemain akan mendapat ganjaran seperti tiket kotak tikam yang akan memberikan kereta ataupun credit.
Cara mendapatkan kereta-kereta ini, adalah dengan menyertai perlumbaan tertentu di bahagian World Circuits. Terdapat lebih 90 litar berbeza yang akan menjadi tempat untuk pemain berlumba, dan setiapnya akan menawarkan kereta-kereta percuma dan juga ganjaran lain.
Selain itu, Cafe juga boleh menjadi tempat untuk anda melihat koleksi trofi yang diperoleh serta mendapat maklumat lanjut mengenai sesuatu kereta. Saya boleh katakan pada awal permainan, Cafe akan menjadi tempat utama anda akan melawat.
Selain menyelesaikan buku menu, pemain juga boleh dapatkan kereta melalui gedung-gedung di dalam permainan seperti Gedung Kereta Terpakai yang menjual kereta-kereta yang telah digunakan dengan harga yang lebih murah, kereta yang ditawarkan adalah berbeza dari semasa ke semasa.
Gedung Brand Central pula akan menjual kereta yang dibahagikan mengikut jenama, ia akan menawarkan kebanyakan kereta di dalam jenama tersebut dengan beberapa ‘kereta istimewa’ akan ditawarkan melalui jemputan khas. Kebiasaannya adalah untuk kereta yang mahal.
Seterusnya adalah Gedung Legend Cars yang akan menjual kereta klasik yang popular, dan seperti kereta terpakai, penawaran juga akan ditukar dari semasa ke semasa. Tambahan pada itu, ia juga mempunyai kuantiti yang terhad dan perlu cepat jika ingin membeli kereta tertentu.
Konsep gedung yang pelbagai ini menjadikan pemilikan kereta di dalam GT7 lebih menarik dengan anda tidak sentiasa boleh mendapatkan sesuatu kereta pada bila-bila masa sahaja. Jika anda ingin mengumpul kesemuanya, anda perlu cepat dengan pembelian. Ini sudah semestinya akan memberi alasan untuk anda terus berlumba bagi mengumpul kredit.
Selain berlumba dan mengumpul kereta, sesuatu yang sudah menjadi wajib kepada permainan Gran Turismo adalah mendapatkan lesen melalui License Center. Seperti biasa, ia dibahagikan kepada lima lesen yang berbeza iatiu National B, National A, International B, International A dan Super License. Lesen-lesen ini boleh dibuat bila-bila masa, akan tetapi akan terdapat beberapa perlumbaan yang akan memerlukan anda untuk memiliki lesen tertentu sebelum dapat memasukinya.
Bagi saya, berlumba terutama melawan AI tidak memperlihatkan secara sebenar mengenai simulasi yang berlaku di dalam permainan ini. Ada masa, anda memandu dengan kurang baik akan tetapi masih lagi memenangi sesuatu perlumbaan. Manakala untuk mendapatkan lesen, jika anda menyasarkan untuk dapatkan Gold di semua bahagian, ia akan benar-benar memerlukan pemanduan yang teliti.
Dengan mendapatkan ‘All Bronze’ anda akan mendapat satu kereta percuma untuk setiap jenis lesen, ‘All Gold’ akan memberikan satu lagi kereta tambahan. Anda juga boleh melihat pencapaian rakan-rakan anda dan cuba untuk mendapatkan markah terbaik. Jika pemain ingin berehat daripada perlumbaan, lesen adalah tempat yang seterusnya yang sangat seronok untuk luangkan masa dan menguji kemahiran.
Tak cukup mencabar? GT7 juga menyediakan Mission Challenge, yang menyertakan pelbagai cabaran untuk lebih menguji kemahiran anda. Ia berfungsi seperti perlumbaan biasa, akan tetapi lebih pendek dan juga akan menggunakan kereta yang telah ditetapkan.
Oleh itu, berbeza dengan perlumbaan biasa yang anda boleh menggunakan kereta yang lebih berkuasa untuk menang dengan mudah, Mission akan lebih mencabar. Piala Bronze, Silver dan Gold akan diberikan mengikut kedudukan akhir. Mendapat semua Bronze ataupun Gold akan diberikan kereta percuma seperti lesen.
Satu mod yang boleh dikatakan untuk kasual dan juga yang ingin menguji kemahiran iaitu Music Rally yang akan memerlukan pemain memandu di satu litar, ditemani dengan muzik tertentu dan perlu cuba untuk memandu sejauh yang mungkin sebelum masa tamat. Ia juga mempunyai checkpoint untuk menambah masa.
Seterusnya adalah dua mod yang lebih kompetitif iaitu Sport untuk berlumba secara kompetitif dan juga mod multi-pemain. Saya tidak pernah mencuba mod Sport, kerena ia jelasnya adalah untuk yang lebih serious dan bukan bermain secara kasual. Manakala untuk mod multi-pemain pula, terutama secara dalam talian agak sukar untuk dilakukan kerana permainan ini masih tidak dilancarkan lagi.
Namun, bagi multi-pemain anda mempunyai pilihan untuk bermain secara dalam talian dengan mencipta lobby ataupun menyertai lobby yang dibuat oleh orang lain, ataupun berlumba dengan rakan secara setempat dengan pembahagian skrin.
Selain berlumba, melakukan lesen dan cabaran, anda juga boleh menggunakan kereta yang telah dimiliki untuk bergambar melalui mod Scapes yang kembali daripada permainan GT sebelum ini. Anda boleh memilih pelbagai lokasi dunia nyata untuk meletakkan kereta anda. Ia kemudian boleh dikongsi termasuk juga melalui ‘media sosial’ di dalam permainan ini sendiri iaitu Showcase yang menjadi tempat untuk pemain berkongsi gambar ataupun barangan kosmetik.
Di showcase ini, anda juga boleh meninggalkan komen ataupun ‘repost’ dan juga menekan like. Seperti saya katakan sebelum ini, satu platform media sosial di dalam permainan.
Bagi memastikan anda dapat berkongsi gambar yang menarik, Gran Turismo 7 menyediakan fungsi mod foto yang sangat baik dengan pelbagai tetapan fotogrofi yang membolehkan pemain untuk menghasilkan gambar yang profesional.
Bercakap mengenai kosmetik, pemain boleh memberikan hiasan kepada kereta dengan lebih pelbagai, pemain boleh letakkan puluhan layer hiasan kereta untuk menjadikan ia unik ataupun nampak seperti satu kereta lumba yang sebenar dengan meletakkan penaja-penaja yang ada. Jika anda seperti saya kurang kreatif, anda boleh dapatkan rekaan daripada pemain-pemain lain yang berkongsi hasil rekaan mereka.
Selain kosmetik, pemain juga boleh membeli barangan untuk mempertingkatkan lagi kuasa sesuatu kereta, barangan-barangan ini tidak boleh dikongsi dengan kereta lain oleh itu, pastikan anda lakukan untuk kereta yang ingin kerap digunakan sahaja. Namun, jika anda terus bermain, kredit bukanlah satu masalah yang besar.
Satu perkara yang saya boleh katakan mengenai mengubah kosmetik ataupun tetapan kereta, menu yang digunakan sedikit mengelirukan dan akan mengambil masa yang lama untuk difahami. Pada masa sama, ia juga mungkin disebabkan pelbagai alat disediakan.
Tidak banyak yang saya boleh katakan mengenai kawalan di dalam permainan ini, saya tidak mencuba menggunakan set stereng dan sekadar menggunakan DualSense sahaja yang benar-benar menggunakan getaran haptik yang baik akan tetapi sedikit keliru dengan penggunaan picu penyesuai. Kawalan adalah seperti yang sudah dijangkakan daripada GT, ia bukan seperti permainan-permainan lumba kereta yang lain dan memerlukan kawalan yang ‘masuk akal’.
Anda tidak boleh sekadar membelok dengan mudah sebaliknya penggunaan brek serta kawalan pendikit yang tepat untuk memastikan ia boleh dilakukan dengan baik. Bagi yang tidak biasa dengan kawalan kereta di dalam permainan ini, ia mempunyai pelbagai tetapan yang akan menjadi lebih mudah. Oleh itu, eksperimen dengan pelbagai tetapan ini akan memberikan pengalaman yang terbaik untuk anda.
Permainan ini bukan sahaja menyediakan tangga, tetapi juga eskalator dan juga lif untuk digunakan oleh pemain bergantung kepada tahap simulasi serta kesukaran yang diinginkan.
Grafik pula ia menyertakan dua pilihan iaitu yang memfokuskan kelancaran dan seterusnya yang memfokuskan ray-tracing. Semasa percubaan saya untuk kedua-dua tetapan ini, ia tidak memberi perbezaan yang ketara selain memfokuskan ray-tracing memberi kualiti gambar yang lebih baik, manakala perbezaan kadar kelancaran tidak sangat dirasai. Oleh itu, sepanjang bermain saya sekadar menggunakan ray tracing.
Kereta nampak sangat cantik, litar juga dihasilkan dengan baik, ini ditambah lagi dengan sistem cuaca yang dinamik di mana anda dapat merasai bagaimana hujan turun, ataupun kesan basah di litar yang nampak sangat realistik. Namun, saya sedikit kecewa dengna rekaan persekitaran yang bagi saya nampak ‘tidak hidup’. Manusia-manusia yang diletakkan sebagai penonton juga tidak bergerak, ia adalah tidak penting tetapi sedikit mengganggu pengalaman keseluruhan bagi saya.
Sebagai penutup, saya boleh katakan Gran Turismo 7 menyediakan apa yang sudah dijangkakan untuk peminat bagi siri ini dengan pelbagai penambahan yang lain terutama untuk menjadikan ia lebih mesra bagi bermain secara kasual. Cabaran-cabaran serta lesen yang disediakan akan benar-benar menguji kemahiran pemain.
Manakala kebolehan pemain untuk menghias mana-mana kereta dan menetapkan sendiri prestasi kereta tersebut adalah impian untuk pemain yang gilakan kereta lumba. GT7 juga banyak menyediakan ruang untuk berkongsi mengenai perlumbaan ataupun sesuatu jenama kereta, ia bagaikan satu ensiklopedia di dalam permainan akan tetapi lebih menarik jika mempunyai dalam bentuk audio berbanding sekadar membaca teks.
Jika anda meminati genre lumba kereta, ataupun ingin bermain secara kasual, Gran Turismo 7 menyediakan pelbagai perkara berbeza untuk dilakukan, ditambah lagi dengan sesi dalam talian ataupun Sport bagi yang ingin bermain secara kompetitif, ia benar-benar satu pengalaman permainan lumba kereta yang lengkap.
Penafian: Kod permainan Gran Turismo 7 untuk PlayStation 5 disediakan oleh SIE. Gran Turismo 7 akan dikeluarkan pada 4 Mac 2022 untuk PlayStation 4 dan PlayStation 5.