Bertapak sejak 28 tahun lepas, The King of Fighters adalah satu siri permainan perlawanan yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Pada 17 Februari lepas, SNK Corporation dan Koch Media telah melancarkan permainan baharu untuk siri tersebut iaitu The King of Fighter XV.
Saya telah menerima permainan ini seminggu dua sebelum ia dilancarkan, akan tetapi hanya sekarang rasa yakin untuk mengeluarkan ulasan. Namun, saya boleh katakan jika anda adalah seorang yang sudah berpengalaman bermain permainan perlawanan, ulasan ini bukan untuk anda.
Ini adalah kerana saya tidak berpengalaman di dalam permainan perlawanan, selain Super Smash Bros Ultimate, hanya Dragon Ball Fighterz, Jump Force dan Brawlout sahaja permainan perlawanan yang saya pernah cuba secara kasual. Ulasan ini adalah dari kaca mata seorang yang tidak berpengalaman dan ingin mencuba permainan ini.
Jika anda seperti saya, The King of Fighters XV adalah satu permainan yang mempunyai pelbagai aspek yang akan memudahkan anda untuk bermain dengan baik ataupun dapat melakukan gerakan yang tampak rumit. Pada masa sama, ia juga mempunyai mekanik yang akan memerlukan percubaan demi percubaan untuk melakukan dengan baik.
Walaupun sudah meluangkan hampir 20 jam bermain, saya boleh katakan saya masih tidak bersedia untuk mencuba nasib bermain secara kompetitif, kerana masih terdapat banyak perkara yang saya tidak mahir.
Super Smash Bros Ultimate boleh dikatakan sebagai permainan perlawanan yang paling lama saya mainkan, sejak dilancarkan sehingga sekarang saya masih bermain. Sebab utama adalah mod-mod solo yang disertakan adalah menarik, malangnya The King of Fighters XV sepenuhnya memfokuskan kepada mod multi-pemain dan mod kompetitif.
Mod penceritaan yang disertakan adalah ringkas, saya boleh katakan hanya terdapat 2-3 adegan sahaja sebelum pertempuran dengan bos terakhir. Tambahan jika anda menggunakan watak-watak serta kumpulan tertentu. Namun, jika anda berharap mod penceritaan menjadi tempat untuk anda belajar mengenai permainan ini, ia bukanlah tempat terbaik.
Sebaliknya, saya merasakan anda perlu melakukan Tutorial dan meluangkan masa di dalam Training sebelum melakukan mod penceritaan. Oleh kerana ia adalah ringkas, mod penceritaan juga adalah mod yang SNK ingin anda lakukan di dalam satu sesi, ia tidak mempunyai save, sebaliknya jika anda keluar ia akan bermula dari awal semula.
Berbanding berkongsi mengenai lore ataupun pengenalan kepada watak-watak, mod penceritaan lebih kepada tempat untuk anda menguji pasukan-pasukan sebelum membawa ke mod dalam talian. Sebagai pemain baharu yang masih belajar, mod penceritaan sangat mengecewakan.
The King of Fighters XV menggunakan sistem pertempuran 3 lawan 3 dan setiap watak akan bertempur sehingga dikalahkan. Ia tidak akan mempunyai tag ataupun melakukan kombo bersama, bagi saya ia adalah baik kerana memberi fokus kepada satu-satu watak pada satu masa, dan juga memberi penekanan kepada pembentukan pasukan yang seimbang.
Bercakap mengenai mekanik, satu perkara utama yang bagi saya sangat membantu pada awal sesi saya belajar adalah ‘Rush Mode’, dengan melakukan serangan Light Punch tiga kali, ditambah dengan satu lagi Light/Heavy Punch ataupun Light/Heavy Kick akan melakukan Special Move tanpa input tambahan. Secara teorinya ia adalah mudah, akan tetapi ingin dapatkan empat serangan biasa secara sendirinya adalah perkara yang sukar dan mudah untuk dibalas.
Salah satu cara untuk membalas, adalah mekanik baharu yang diperkenalkan iaitu Shatter Striker, ia boleh dilakukan semasa ataupun sebelum lawan melakukan serangan dan jika ia terkena akan memberi ruang untuk melakukan lebih banyak kombo. Ia menggunakan satu bar kuasa, akan tetapi jika terkenal, separuh akan dikembalikan.
Mekanik seterusnya yang saya sendiri tidak lagi mahir adalah Max Mode, ia adalah sesuatu yang sudah hadir sebelum ini oleh itu bagi pemain yang sudah berpengalaman di dalam permainan ini, ia bukanlah sesuatu yang baharu.
Untuk melakukan serangan yang tertentu, iaitu EX Special Move ia akan menggunakan bar kuasa, akan tetapi jika pemain berada di Max Mode, ia boleh dilakukan secara terus menerus, akan tetapi Max Mode sendiri menggunakan 2 bar kuasa untuk diaktifkan. Max Mode juga akan menguatkan pertahanan dan serangan.
Max Mode perlu diaktifkan semasa berada di dalam keadaan ‘neutral’ oleh itu, anda mungkin akan membazirkan mode tersebut kerana pihak lawan telah bersedia untuk bertahan, namun untuk mengatasi masalah ini, ia juga mempunyai Max Mode (Quick), di mana ia akan diaktifkan apabila anda mengaktifkan Max Mode secara terus selepas melakukan serangan.
Ia tidak akan menguatkan pertahanan ataupun serangan, akan tetapi dengan membuka ruang untuk melakukan kombo secara terus, Max Mode (Quick) bagi saya sesuatu yang lebih kerana digunakan. Kedua-dua mekanik ini sangat berguna dengan melakukan EX Special Move yang bergantung kepada watak akan mempunyai input-input yang berbeza.
Saya boleh katakan, ia adalah satu perkara yang sukar untuk dilakukan sekurang-kurangnya untuk saya yang menggunakan DualSense. Ia mengambil banyak percubaan untuk dilakukan dengan jayanya, buat masa ini hanya beberapa watak sahaja yang saya boleh katakan mahir. Walaupun begitu, belajar untuk melakukannya adalah satu perkara yang sangat seronok.
Saya mencadangkan anda untuk melakukan ‘Mission’ yang akan memerlukan pemain untuk melakukan beberapa combo untuk setiap watak. Ia bukan sahaja memberi idea serangan yang boleh dilakukan akan tetapi juga boleh membiasakan diri dengan watak-watak tertentu.
Bagi mod-mod permainan yang disertakan, bagi mod solo ia hanya mempunyai Versus melawan A.I ataupun rakan secara setempat, mod Story dan Training. Bagi mod dalam talian, ia mempunyai Ranked Match, Casual Match dan Room Match yang boleh dikatakan sudah jelas mengenai perbezaannya.
Semasa saya bermain secara dalam talian, Room Match adalah mod yang lebih baik berbanding Casual Match, sekurang-sekurangnya anda akan mempunyai lawan yang sudah disahkan berbanding Casual Match yang anda mungkin sekadar melihat “No Match” untuk beberapa minit. Saya tidak pernah mencuba Ranked Match oleh itu ia bukan sesuatu yang saya boleh ulas.
Namun, jika anda ingin mencari sesi di dalam Ranked Match ataupun Casual Match, Training Standby adalah cara terbaik berbanding sekadar terus mencari, saya merasakan ia lebih stabil dan kurang bermasalah. Kualiti bermain secara dalam talian pula, saya pernah mendapat ping kurang daripada 20 sehinggalah mencecah seratus lebih, dan saya boleh katakan kedua-dua masih lagi boleh dimainkan dengan baik, saya tidak pernah terasa sebarang selar yang terus sekurang-kurangnya untuk pemain kasual.
Matchmaking juga saya boleh katakan adalah baik, setiap perlawanan yang saya dapat di dalam Casual Match adalah setaraf dengan kemahiran, saya tidak menang ataupun kalah secara teruk oleh itu ia memberi pengalaman yang memuaskan. Manakala bagi Room Match, saya biasanya membuka room sendiri dan mencari pemain-pemain yang ‘baru belajar’ juga.
Dari segi grafik bagi saya ia adalah baik, watak-watak mempunyai rekaan yang baik walaupun ada beberapa yang terasa terlalu generik termasuk juga watak baharu seperti Isla yang nampak cool tetapi terlalu biasa. Rekaan peringkat juga baik dan di PS5 saya tidak mempunyai sebarang masalah kelancaran. Manakala dari segi efek kuasa, ia adalah bercampur ada baik dan ada juga yang nampak sangat janggal.
Rumusannya, The King of Fighters XV adalah satu permainan perlawanan yang baik, bagi pemain baharu seperti saya ia adalah permainan yang mudah untuk saya fahami mengenai sesuatu mekanik ataupun pergerakan akan tetapi ia masih memerlukan masa serta usaha untuk benar-benar mahir di dalam melakukan serangan-serangan yang efektif.
Ia sedikit mengecewakan kerana selain Story, Training dan Mission tidak banyak cara lain untuk saya bermain secara solo terutama untuk lebih membiasakan diri dengan sistemnya. Mod penceritaan juga mengecewakan.
Bagi mod dalam talian, saya tidak pernah mencuba Ranked Match, akan tetapi bagi Casual Match ia sedikit sukar untuk mencari lawan, dan lebih mudah dengan membuka Room ataupun menyertai mana-mana Room yang ada. Ia mungkin juga disebabkan kerana saya tidak mempunyai internet yang terbaik untuk sesi dalam talian.
Penafian: Kod ulasan untuk The King of Fighters XV disediakan oleh Koch Media untuk tujuan ulasan ini. Ia sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox Series dan PC.