Nampaknya industri perfileman dari Indonesia sedang sibuk dengan dunia filem adiwira tersendiri. Selepas Bumilangit Cinematic Universe hadir dengan filem Gundala tiga tahun lepas, perancangan filem-filem baharu, serta siri TV Disney+ Hotstar Tira – kini giliran Satria Dewa Studio pula hadir dengan dunia filem tersendiri.

Mereka telah mengacah kehadiran Semesta Satria Dewa (Satria Dewa Universe) beberapa tahun lalu dan juga mengacah filem pertama mereka Satria Dewa: GatotKaca, kini mereka telah berkongsi treler pertama bagi filem ini.

Filem ini akan mengisarkan Satrio sebagai pewaris GatotKaca dari keturunan Pandawa. Beliau perlu berusaha untuk membuka potensi sebenar kuasa beliau dan berhadapan dengan Aswatama iaitu penjahat daripada keturunan pahlawan Kurawa yang cuba memusnahkan dunia dengan mengubah sejarah perang Kurukshetra.

Filem ini sudah semestinya akan menggunakan banyak kesan visual. Dalam treler ini, ia memperlihatkan kualiti yang cukup hebat untuk sebuah filem adiwira dari Indonesia. Kostum dengan logo seakan Captain Marvel, kualiti visual serta sinematografi seakan Amazing Spider-Man, Iron Man dan juga Superman.

Rizky Nazar adalah pelakon di sebalik kostum adiwira ini dan juga sebagai Yuda. Filem ini akan ditayangkan pada Jun 2022. Satria Dewa turut ada merancang untuk filem masa depan mereka seperti Arjuna, Yudhistira, Bharatayudha dan banyak lagi. Sama-sama kita nantikan lebih banyak butiran mengenai filem ini.

Sohor Kini