Seperti diumumkan sebelum ini, Steam Next Fest untuk bulan ini yang juga pertama bagi tahun ini sudah bermula dan pemain berpeluang untuk mencuba ratusan permainan secara percuma melalui demo yang disediakan. Ini termasuk juga permainan-permainan yang tidak dilancarkan lagi.

Steam Next Fest ini akan berlangsung sehingga 1 Mac, dan anda mungkin mempunyai seminggu lebih sahaja untuk mencuba permainan-permainan ini. Mencuba semua mungkin sukar, oleh itu berikut adalah 10 permainan yang kami rasakan anda patut cuba terlebih dahulu;

Gigabash

Gigabash adalah permainan pertempuran oleh pembangun dari Malaysia iaitu Passion Republic Games. Di dalam permainan ini pemain boleh memilih untuk menjadi pelbagai jenis Kaiju dan bertempur dengan pemain lain.

Steam: Gigabash

Neon White

Neon White adalah permainan aksi yang pantas, anda akan mempunyai beberapa kad yang boleh ditukar menjadi senjata. Ia dibangunkan oleh Angel Matrix dan akan diterbitkan oleh Annapurna Interactive. Jika anda menyukai permainan yang pantas dengan elemen parkour, permainan ini harus dicuba.

Steam: Neon White

Cat Cafe Manager

Jika mengurus cafe adalah sesuatu yang anda ingin lakukan, dan kucing adalah haiwan peliharaan kegemaran, Cat Cafe Manager adalah satu kombinasi yang khusus untuk anda. Ia dibangunkan oleh Roost Game dan diterbitkan Freedom Games di mana anda akan menjadi pengurus untuk ‘Cat Cafe’.

Steam: Cat Cafe Manager

Turbo Overkill

Bagi yang sudah habis bermain Doom Eternal dan ingin mencari permainan seterusnya, anda harus mencuba Turbo Overkill iaitu permainan FPS dengan rekaan dunia cyberpunk. Ia dibangunkan oleh Trigger Happy Interactive dan diterbitkan Apogee Entertainment.

Steam: Turbo Overkill

The Wandering Village

The Wandering Village adalah permainan simulasi membina penempatan yang menariknya memerlukan pemain untuk membina penempatan di belakang seekor raksasa. Ia dibangunkan oleh Stray Fawn Studios dan juga diterbitkan oleh mereka.

Steam: The Wandering Village

Ixion

Bagi yang meminati permainan berdasarkan angkasa dan juga pembinaan bandar, Ixion adalah satu kombinasi yang menarik. Di dalam permainan ini anda harus mengurus Tiqqun iaitu stesen angkasa yang di dalam perjalanan untuk mencari tempat baharu untuk manusia. Ia dibangunkan oleh Bulwark Studios dan diterbitkan oleh Kasedo Games.

Steam: Ixion

Hero’s Hour

Hero’s Hour adalah permainan strategi yang akan memerlukan pemain membina tentera serta pertahanan dan ia menyertakan pertempuran secara masa nyata. Ia dibangunkan oleh Benjamin Hauer dan diterbitkan oleh Goblizn Publishing.

Steam: Hero’s Hour

FAR: Changing Tides

FAR: Changing Tides adalah permainan susulan kepada FAR: Lone Sails yang dikeluarkan pada tahun 2018. Ia adalah permainan pengembaraan di mana pemain perlu mengembara menggunakan satu kapal. Ia dibangunkan oleh Okomotive dan diterbitkan oleh Frontier Foundry. FAR: Changing Tides akan dikeluarkan pada 2 Mac ini, oleh itu anda boleh mencuba demo ini sebelum mendapatkannya secara terus. Ia juga ditawarkan melalui Xbox Game Pass.

Steam: FAR: Changing Tides

Gatewalkers

Gatewalkers adalah permainan aksi RPG yang juga memfokuskan kepada sesi permainan secara koperasi. Pemain perlu melalui pelbagai kawasan yang dihasilkan secara rawak untuk mendapatkan bekalan termasuk juga senjata. Ia juga menyertakan elemen ketahanan hidup. Ia dibangunkan dan diterbitkan oleh A2 Softworks.

Steam: Gatewalkers

The Iron Oath

The Iron Oath adalah permainan strategi RPG mengikut turutan, anda akan mengurus satu kumpulan askar upahan yang perlu melakukan pelbagai misi. Tentera-tentera yang anda anda boleh tercedera ataupun mati oleh itu pengurusan adalah penting. Ia dibangunkan oleh Curious Panda Games dan diterbitkan oleh Humble Games.

Steam: The Iron Oath

Selain 10 permainan ini, terdapat ratusan lagi permainan lain yang anda boleh cuba. Untuk senarai penuh anda boleh layari pautan ini.

Sohor Kini