Horizon Zero Dawn hadir sebagai satu kejutan kerana ia adalah permainan pertama selepas beberapa tahun oleh Guerilla Games yang tidak menggunakan nama Killzone. Tambahan itu, ia adalah permainan dunia terbuka berbanding permainan menembak. Oleh itu, boleh dikatakan yang Horizon Zero Dawn adalah satu permainan yang pemain-pemain berminat untuk mencuba, dan ia satu permainan yang sangat baik.
Kita bergerak ke depan selama 5 tahun, Guerilla Games hadir dengan permainan kedua untuk siri ini iaitu Horizon Forbidden West, berbeza dengan permainan pertama di mana pemain hanya berminat untuk mencuba sesuatu yang baharu, Forbidden West hadir dengan jangkaan yang tinggi termasuk dari saya sendiri, untuk ia meneruskan lagi kualiti yang dibawa melalui permainan pertama. Tambahan itu, ia juga adalah permainan yang dikeluarkan untuk PlayStation 5, konsol generasi terkini.
Adakah ia berjaya mencapai jangkaan yang tinggi ini? Saya boleh katakan banyak bahagian ia adalah benar, tetapi ada juga bahagian yang terasa gagal, ada yang boleh diperbaiki ada yang pemain perlu menerimanya sahaja.
Perkara yang ditambah baik berbanding permainan yang pertama akan tetapi turut menyertakan sesuatu yang mengecewakan adalah penceritaan. Selepas berjaya mengelak dari ‘kiamat’ di dalam permainan pertama, cabaran Aloy masih tidak berakhir. Dengan GAIA sudah tidak berfungsi, keadaan di dunia tidak menentu, dengan wabak yang merosakkan tanaman dan menjadikan mesin-mesin mengganas, apa yang Aloy perlu lakukan seterusnya adalah mengembalikan GAIA.
Di dalam usaha Aloy untuk sekali lagi menyelamatkan dunia ini, dia bagaikan kehilangan perwatakan dirinya yang menjadikan dia watak yang menarik di dalam permainan pertama. Dia sentiasa ingin cepat dan ada masa bersikap sangat mendesak. Ia memberi satu lapisan baharu kepada perwatakan Aloy akan tetapi bagi saya penyampaian tidak terlalu kemas dan saya tidak menyukainya untuk satu bahagian besar di dalam permainan.
Perwatakan baharu ini lebih terasa untuk misi-misi utama di mana fokus Aloy adalah menyelamatkan dunia sahaja, manakala apabila bercakap mengenai misi sampingan yang dilakukan dengan sangat baik, ia membawa semula Aloy yang saya kenali dan gemari. Saya juga boleh katakan yang melakukan misi sampingan yang setiap-nya mempunyai penceritaan sendiri adalah lebih seronok dan menarik untuk dilakukan berbanding misi dan penceritaan utama. Namun, kekurangan ini juga memberi sedikit perasaan yang Aloy juga adalah manusia biasa dan berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Penceritaan utama tidak lah kurang baik, ia memperkenalkan beberapa watak baharu yang menarik termasuk juga kembalinya beberapa watak daripada permainan pertama. Hadirnya mereka membantu untuk memberi lebih warna kepada penceritaan yang ada masa kelam diakibatkan perwatakan Aloy seperti saya nyatakan di atas. Namun, seperti masalah permainan pertama, Horizon Forbidden West masih gagal untuk hadir dengan watak antagonis yang baik ataupun menarik.
Terdapat beberapa watak antagonis yang akan tiba di dalam permainan ini, akan tetapi setiap daripadanya tidak menarik serta boleh dikatakan sebagai generik. Mereka tidak membawa sebarang nilai tambah kepada keseluruhan permainan selain daripada menjadi alat untuk menggerakkan plot sahaja. Pengenalan kepada watak-watak ini juga sedikit hambar dan tidak mengejutkan ataupun menjadikan penceritaan bertambah menarik.
Di dalam permainan pertama, pelbagai elemen ‘fiksyen sains’ yang diperkenalkan adalah menarik, ia adalah sesuatu yang fiksyen akan tetapi pada masa sama mempunyai sedikit “kalalulah..”, oleh itu ia adalah sesuatu yang saya anggap sebagai baik. Di dalam Forbidden West, ia berada di tahap yang bagi saya adalah terlampau fiksyen menjadikan ia kurang menarik dan terasa sekadar dihasilkan untuk memudahkan plot penceritaan sahaja.
Oleh itu, saya sedikit kecewa dengan penceritaan yang dibawa, akan tetapi secara keseluruhannya ia masih lagi satu penceritaan yang baik. Perhubungan di antara Aloy dengan watak-watak lain disampaikan dengan baik, memberi adegan yang gembira dan sedih. Ini ditambah lagi jika anda melakukan misi-misi sampingan yang akan memperkenalkan Aloy kepada lebih banyak watak yang menarik. Oleh itu, saya sangat mengesyorkan untuk anda lakukan misi sampingan yang ada.
Berbeza dengan penceritaan, pengembaraan dan pertempuran di dalam Forbidden West adalah sepenuhnya lebih baik berbanding permainan pertama. Jika anda membaca beberapa ulasan saya untuk permainan dunia terbuka sebelum ini, saya boleh dikatakan mempunyai ‘fatigue’ untuk bermain permainan dunia terbuka akan tetapi Forbidden West berjaya membuatkan pengembaraan adalah satu perkara yang menyeronokkan.
Terdapat pelbagai kawasan menarik yang boleh dilawati, watak-watak menarik untuk dijumpai, misteri-misteri berbeza untuk dirungkai-kan. Forbidden West dibahagikan kepada beberapa biom berlainan yang pemain boleh teroka, seperti kawasan hutan, kawasan paya ataupun kawasan pantai dan juga kawasan padang pasir. Setiap kawasan ini dihasilkan dengan baik memberi pengalaman berbeza untuk mengembara.
Sedikit perkara yang menjengkelkan adalah ia masih lagi menggunakan sistem ‘fast travel pack’ untuk fast travel secara cepat. Pack boleh dibeli dan ia adalah murah sahaja, akan tetapi bagi saya dengan permainan yang memerlukan banyak pengembaraan, ia adalah sistem yang tidak memberi nilai tambah kepada keseluruhan permainan. Anda masih lagi boleh fast travel secara cepat dengan melawat unggun api, satu lagi sebab mengapa fast travel pack ini tidak perlu disertakan daripada awal.
Dengan pengenalan lebih banyak mesin-mesin berbahaya, termasuk juga singa laut gergasi, Aloy juga diberikan pelbagai kebolehan baharu dan juga senjata berbeza untuk menjadikan pertempuran lebih mudah. Pertempuran di dalam Forbidden West adalah rancak, tetapi pada masa sama ia memerlukan ketelitian dan strategi untuk memastikan sesuatu pertempuran masih terkawal.
Seperti permainan sebelum ini, setiap mesin akan mempunyai cara serangan tersendiri, dan kelemahan yang boleh diguna pakai oleh Aloy. Dengan ‘scan’ mesin-mesin ini, setiap maklumat mengenai mereka akan diketahui dan jika anda bermain tahap kesukaran normal dan ke atas, adalah penting untuk membiasakan diri dengan strategi terbaik untuk melawan sesuatu mesin.
Ini adalah kerana, pertempuran dengan mudah menjadi tidak terkawal, terutama apabila melawan banyak mesin pada satu masa, ini ditambah lagi sesetengah mesin mempunyai serangan yang akan terus membunuh anda, terutama jika anda bermain seperti saya tidak terlalu fokus meningkatkan perisai dan senjata.
Bercakap mengenai meningkatkan tahap perisai dan senjata, cara melakukannya adalah dengan mencari bahagian-bahagian tertentu daripada mesin yang boleh didapatkan dengan membunuh mesin tersebut ataupun dengan menanggalkan-nya. Ia adalah mudah, kerana jika anda ingin mencari bahagian tertentu, anda boleh ‘create job’ untuk meletakkan lokasi mesin yang diperlukan di peta. Namun, oleh kerana pada awalnya anda mungkin akan sentiasa menukar senjata dan perisai, ia mungkin bukan sesuatu yang dikejar.
Aloy sendiri juga boleh meningkatkan kebolehan dengan menggunakan Skill Points yang diperoleh apabila meningkat tahap ataupun selepas melakukan sesuatu misi. Skills yang ditawarkan dibahagikan kepada 6 kategori iaitu Warrior, Trapper, Hunter, Survivor, Infiltrator dan Machine Master. Setiap daripadanya akan mempunyai kebolehan pasif seperti meningkatkan kuasa serangan ataupun skill aktif yang memberi cara serangan yang berbeza dan ‘Valor Surge’ yang boleh digunakan untuk meningkatkan sesuatu kebolehan buat masa terhad.
Selain misi sampingan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Side dan Errands (kedua-duanya saya sangat syorkan anda lakukan) ia juga mempunyai beberapa lagi aktiviti lain, seperti Salvage Contracts, Hunting Grounds, Melee Pit, The Arena, Relic Ruins, Couldrons, Gauntlet Runs ataupun mencari pelbagai collectible yang ada beberapa daripadanya memberi sesuatu yang sangat menarik. Pemain juga boleh membebaskan Camps dan Outposts penjahat.
Dengan kata lain, Forbidden West sentiasa mempunyai sesuatu untuk dilakukan, saya memfokuskan kepada misi utama dan misi sampingan sahaja kerana ingin mengejar tarikh ulasan, akan tetapi masih lagi menghabiskan lebih 50 jam bermain, dan mengikut ‘Game Completion’ ia adalah 50% sahaja. Oleh itu, anda mungkin akan mengambil 70 hingga 80 jam untuk menghabiskan kesemua perkara yang ditawarkan di dalam permainan ini.
Dengan setiapnya adalah menarik, bagi saya ia adalah salah satu permainan dunia terbuka yang berbaloi untuk luangkan masa. Seperkara yang mengecewakan adalah selepas menghabiskan permainan, ia tidak mempunyai New Game+, namun seperti Zero Dawn, saya menjangkakan ia adalah sesuatu yang akan disertakan paksa-pelacaran.
Saya bermain di PlayStation 5, dan ia memberikan prestasi yang baik akan tetapi masih terdapat beberapa masalah yang menjengkelkan, yang besar adalah permainan terhenti ataupun crash, sepanjang 50 jam saya bermain, saya boleh katakan ia telah crash 5 hingga 6 kali. Seterusnya adalah ekspresi muka yang pelik, ada masa mata menjadi tidak menentu dan melihat kepada tempat yang nampak pelik. Terdapat juga beberapa misi yang tidak boleh diteruskan, kecuali saya memuat semula simpanan sebelum dan pelbagai lagi.
Kekerapan masalah ini berlaku berkurangnya melalui kemaskini yang saya terima beberapa hari lepas, yang saya rasakan mungkin adalah kemaskini tampalan untuk hari pelancaran, akan tetapi ia masih tidak menyelesaikan semua masalah. Oleh itu, saya boleh katakan yang jika anda bermain pada hari pelancaran, akan terdapat pelbagai pepijat anda akan dijumpai, namun ia bukanlah sesuatu yang teruk, oleh itu tidak akan mempunyai masalah untuk menghabiskan keseluruhan permainan tanpa gangguan yang kerap.
Bagi pilihan grafik terdapat dua pilihan iaitu Favor Perfomance ataupun Favor Resolution, untuk kebanyakan bahagian, saya menggunakan Favor Performance, kerana kelancaran bagi saya adalah sesuatu yang lebih penting berbanding ketajaman gambar, dan saya tidak mempunyai sebarang masalah, ia adalah lancar walaupun ada ketika tekstur yang digunakan sangat rendah kualiti. Manakala Favor Resolution akan memberikan grafik yang lebih berkualiti tetapi dengan kelancaran yang lebih rendah.
Sebagai penutup, saya boleh katakan yang Horizon Forbidden West masih lagi satu permainan yang memberi pengalaman mencukupi untuk saya meluangkan puluhan jam bermain. Penceritaan sedikit mengecewakan tetapi ia masih lagi satu penceritaan yang mempunyai jiwa. Misi sampingan juga membantu untuk memberi variasi kepada penceritaan berbanding dengan misi utama yang mungkin terasa sedikit mendatar.
Kekuatan utama Forbidden West sudah semestinya adalah pengembaraan dan pertempuran, ia memberi satu dunia yang luas dan indah untuk diteroka yang disertakan dengan pelbagai kawasan serta watak yang menarik untuk dijumpai. Dengan pelbagai mesin baharu, pertempuran juga menjadi lebih menarik ditambah lagi dengan pelbagai kebolehan untuk Aloy serta pelbagai senjata yang boleh digunakan, pemain boleh melakukan strategi-strategi yang berbeza.
Ia masih mempunyai beberapa pepijat grafik dan permainan yang serba sedikit mengganggu pengalaman bermain akan tetapi ia tidak akan memberi masalah kepada pemain untuk bermain dari awal hingga akhir dan ia masih lagi satu pengalaman yang baik.
Penafian: Kod permainan untuk Horizon Forbidden West disediakan oleh PlayStation Asia untuk tujuan ulasan ini. Ia akan dikeluarkan pada 18 Februari 2022.