Semua tahu yang dalam filem animasi Toy Story terdapat watak Buzz Lightyear. Ia merupakan figura aksi kepada angkasawan dalam dunia mereka. Tahun lepas Pixar telah berkongsi satu treler untuk filem animasi yang memfokuskan kepada angkasawan ini, Lightyear.

Pelakon suara bagi Buzz dalam filem animasi ini adalah Chris Evans, berbeza dengan Toy Story iaitu Tim Allen.

Pixar baru-baru ini telah hadir dengan treler baharu, kali ini ia mendedahkan musuh terkenal Buzz iaitu Emperor Zurg.

Filem animasi yang diarahkan oleh Angus MacLane (turut terlibat dengan banyak produksi animasi Pixar, termasuk Toy Story 2) akan menceritakan kisah pengembaraan hebat Buzz di angkasa. Dari treler kita boleh lihat pelbagai aksi menarik dengan visual yang cantik. Ia akan menjadi satu kisah asal-usul Buzz Lightyear, kenapa beliau dihormati sehingga figura aksi dihasilkan.

Zurg pula dilihat hadir dengan rekaan serba baharu berbeza dengan versi Toy Story 2. Tetapi ia mungkin masuk akal, kerana filem sebelum ini adalah patung mainan semata-mata dan ini kononnya adalah versi yang sebenar.

Selain Chris Evans, Keke Palmer, Dale Soules dan Taika Waititi turut akan terlibat. Menyertai mereka lagi adalah Peter Sohn sebagai robot Sox, Uzo Aduba, James Brolin, Mary McDonald-Lewis, Efren Ramirez dan Isiah Whitlock Jr. juga turut akan berlakon dalam filem animasi ini.

Lightyear dijadualkan untuk ditayangkan pada 17 Jun 2022 akan datang.

Sohor Kini