Para pemain yang berjaya melakukan pra-tempahan untuk Steam Deck akan mula mendapat konsol tersebut bermula pada awal bulan depan dengan penghantaran akan mula dilakukan pada 28 Februari ini.

Oleh itu, ramai pemain mula tertanya-tanya mengenai sokongan untuk permainan-permainan popular di konsol tersebut, Valve sebelum ini mengatakan yang kebanyakan permainan yang dikeluarkan di Steam akan menyokong Steam Deck dan mereka juga hadir dengan sistem pengesahan untuk memudahkan lagi pemain.

Berlainan pula dengan permainan yang tidak dikeluarkan di Steam. Oleh itu, pemain mula bertanya kepada CEO Epic Games Tim Sweeney mengenai adakah sistem penipuan Fortnite akan menyokong sistem operasi Steam Deck. Beliau menjawab yang untuk Fortnite buat masa ini tidak akan tetapi akan memastikan Easy Anti Cheat, iaitu sistem anti penipuan mereka akan cuba menyokong sebaik mungkin Steam Deck.

Menjawab mengapa tidak untuk Fortnite, beliau mengatakan yang tidak yakin dapat menyelesaikan masalah penipuan di sistem operasi buatan sendiri seperti yang digunakan di Steam Deck, di mana mereka menggunakan sistem operasi Linux dengan sokongan Proton untuk membolehkan permainan di Windows dapat dimainkan di konsol tersebut.

Keputusan tersebut telah menerima kritikan daripada pemain yang mengatakan Epic Games yang sentiasa bercakap mengenai sistem terbuka mengambil keputusan yang boleh dikatakan menghadkan penawaran mereka. Bagi pemilik Steam Deck yang ingin bermain Fortnite, salah satu cara adalah memasang sistem operasi Windows. Valve sebelum ini sudah mengatakan yang Steam Deck adalah satu komputer oleh itu tidak akan mempunyai masalah untuk memasang sistem operasi yang menyokongnya.

Sohor Kini