OlliOlli adalah satu nama yang tidak asing lagi untuk peminat permainan papan selaju ataupun tatalan-tepi, permainan pertama dikeluarkan pada tahun 2014, diikuti permainan kedua iaitu tahun 2015. Namun, walaupun kedua-dua permainan menerima sambutan yang baik, akan tetapi kita perlu menunggu hampir 7 tahun untuk mendapat permainan baharu iaitu OlliOlli World.
Penantian yang lama tersebut boleh dikatakan sebagai berbaloi kerana OlliOlli World adalah satu permainan yang lebih menarik, seronok dan juga dengan kandungan yang lebih pelbagai, walaupun pada masa sama masih mengekalkan intipati yang menjadikan permainan ini antara permainan tatalan-tepi dan juga papan selaju yang terbaik di pasaran.
Penceritaan bukanlah sesuatu yang penting untuk memberi alasan kepada pemain untuk menjadi ‘raja’ di dalam papan selaju, akan tetapi OlliOlli World menyertakannya dan ia tidak mengecewakan. Secara ringkasnya, terdapat 5 ‘Godz’ untuk papan selaju, yang telah menghasilkan syurga papan selaju mereka sendiri.
Ia menggambarkan 5 kawasan berbeza yang akan hadir di dalam permainan ini, yang dinamakan sebagai Radlandia. Bercakap mengenai Radlandia, saya boleh katakan rekaan setiap kawasan-kawasan ini dilakukan dengan sangat baik. Setiapnya mempunyai keunikan tersendiri, ada kawasan hutan dan ada kawasan di tepi pantai. Melalui peringkat-peringkat berbeza ini adalah pengalaman yang baik secara sendirinya.
Secara amnya, rekaan grafi serta arahan seni yang dipilih adalah sangat baik, prestasi juga baik kecuali di beberapa bahagian seperti semasa dialog, kerana ada masa watak mempunyai selar masa dan nampak sangat kurang menarik.
Bahagian penting penceritaan adalah satu kedudukan yang dipanggil sebagai ‘Skate Wizard’ yang boleh dikatakan sebagai skater terbaik dan menjadi perhubung di antara Godz dengan skater-skater lain. Pemegang takhta Skate Wizard yang ada sekarang sudah ingin bersara oleh itu bermula pencarian skater baharu untuk menggantikannya.
Jadi untuk membuktikan kebolehan, pemain perlu melalui lima kawasan berbeza yang mempunyai sebilangan peringkat yang akan mempunyai cabaran tersendiri. Terdapat dua perkara utama yang boleh dilakukan oleh pemain di setiap peringkat selain menghabiskannya tanpa terjatuh, iaitu Challenge dan Local Heroes.
Sebelum saya kongsi-kan mengenai dua perkara tersebut, secara sendirinya, menghabiskan sesuatu peringkat ada masanya memberikan cabaran tersendiri. Saya boleh katakan sedikit sukar untuk anda menghabiskannya secara terus buat pertama kali. Ini adalah kerana ia akan menyertakan pelbagai halangan seperti jurang, ataupun tangga. Dengan permainan bergerak pantas, ia memerlukan tindak balas yang tepat.
Kawalan boleh dikatakan ringkas, anda akan bergerak secara sendiri tetapi boleh menggunakan butang X untuk menjadikan ia lebih laju, dan selebihnya adalah menggunakan kayu analog untuk melakukan lompatan ataupun gerakan-gerakan tertentu menggunakan pergerakan analog yang berbeza.
Untuk berjaya menyelesaikan sesuatu peringkat, pemain perlu memilih masa yang tepat untuk melompat ataupun melakukan kemahiran, mengeser di besi ataupun meluncur di papan iklan. Selepas beberapa kali percubaan, ia sudah semestinya akan menjadi lebih mudah akan tetapi, pemain juga diberikan alasan untuk melaluinya sekali lagi kerana sesetengah peringkat akan mempunyai laluan yang berbeza dan akan memberikan cabaran yang berlain.
Tambahan iatu pemain juga mempunyai perkara lain yang perlu dilakukan untuk menjadikan ia sedikit lebih rumit.
Pertama adalah Challenge yang akan memberikan tugasan berlainan berbanding sekadar melakukan gerakan menggunakan papan selajut. Contohnya adalah melanggar empat ekor burung ataupun mengelak dari memecahkan belon yang akan berada di merata tempat. Challenge ini adalah perkara utama yang akan membuatkan saya mencuba satu peringkat berkali-kali, oleh kerana memulakan semula sesuatu sesi boleh dikatakan adalah segera, ia tidak menjadi masalah untuk saya melakukannya.
Seterusnya adalah ‘Local Heroes’, pula adalah lebih ringkas iaitu mencapai jumlah markah tertentu, markah ini boleh didapatkan dengan melakukan gerakan serta kombo berbeza semasa menyelesaikan sesuatu peringkat. Saya boleh katakan mendapatkan markah tertinggi tidak sukar tetapi mungkin perlu mencuba beberapa kali untuk mengetahui tempat mana yang terbaik untuk melakukan gerakan-gerakan tersebut.
Selain untuk menghabiskan sesuatu kawasan dan membuka kawasan seterusnya, pemain ingin melakukan segala cabaran ini untuk mendapatkan barangan kosmetik, yang bagi saya satu lagi tarikan untuk permainan ini. Terdapat pelbagai pakaian, rekaan papan selaju termasuk juga tayar dan pelbagai lagi untuk menjadikan watak dan juga gaya papan selaju anda mengikut citarasa anda.
Dengan mendapatkan pelbagai lagi barangan ini dengan bermain, saya boleh katakan sukar untuk melihat mana-mana pemain kelihatan sama dengan pemain lain, kerana kombinasi yang ada adalah tidak mempunyai akhiran.
Selain bermain secara solo ini, menyelesaikan pelbagai cabaran, terdapat satu lagi kawasan yang dinamakan sebagai Gnarvana, di kawasan ini terdapat Gnarvana League yang akan meletakkan anda bersama dengan beberapa pemain secara dalam talian. Anda masih lagi bermain secara solo, akan tetapi markah yang dilakukan akan dibandingkan dengan pemain-pemain untuk menentukan siapa yang terbaik dan mendapatkan ganjaran.
Ia adalah satu tambahan yang baik, terutama kerana peringkat yang akan digunakan adalah berbeza setiap hari. Ingin belajar untuk melakukan apa-apa gerakan, anda juga boleh ulangan semula pemain-pemain lain yang mungkin boleh membantu untuk anda mendapatkan markah yang lebih tinggi. Ia sudah semestinya satu mod yang baik jika anda sudah menghabiskan permainan solo, akan tetapi juga masih baik di perantaraan.
Selain itu, terdapat juga mod Portal di mana anda boleh memilih untuk menggunakan mana-mana kawasan, kepanjangan dan juga kesukaran untuk hadir dengan peringkat baharu. Anda akan diberikan kod untuk peringkat tersebut dan boleh berkongsi dengan rakan untuk menguji kemahiran. Jika ingin mencuba secara rawak, anda juga boleh masukan apa-apa sahaja kod dan lihat peringkat yang dihasilkan melalui kod tersebut. Bagi saya Ia adalah menarik dan mempunyai potensi untuk menjadi bahagian yang penting di dalam permainan ini, tambahan lagi ia menyokong rentas platform.
Dengan terdapat lima kawasan yang setiapnya mempunyai sehingga 25 peringkat berbeza, termasuk juga yang tidak wajib ataupun ‘rahsia’ ia akan memberikan satu sesi permainan yang mengambil masa 4 hingga 5 jam sahaja, akan tetapi jika ingin melakukan segala cabaran ia akan menjadi lebih lama. Ini ditambah lagi dengan mod seperti Gnarvana League bagi saya ia mempunyai kandungan yang mencukupi. Saya juga merasakan yang Roll7 dan Private Division akan menambah lagi peringkat-peringkat baharu di masa hadapan menjadikan ia lebih menarik, namun ia mungkin terasa sedikit terhad lagi buat masa ini.
Saya juga menyukai keseluruhan sesi permainan yang ringkas akan tetapi pada masa yang sama memberi ruang kepada pemain untuk melakukan pelbagai gerakan berbeza, menghasilkan kombo terbaik dan saya boleh katakan ia bagaikan permainan Devil May Cry untuk papan selaju. Melakukan gerakan biasa adalah mudah akan tetapi melakukan kombo-kombo berbeza untuk mendapatkan markah tertinggi akan menjadi perkara utama yang membuatkan pemain berkali-kali bermain sesuatu peringkat, ditambah lagi dengan cabaran yang perlu diselesaikan.
Penafian: Kod permainan OlliOlli World (PS5) disediakan oleh Private Division untuk tujuan ulasan ini.
OlliOlli World akan dikeluarkan pada 8 Februari 2022 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch, dan PC.