PlayStation hari ini telah menganjurkan State of Play di mana ia memfokuskan kepada satu sahaja permainan iaitu Gran Turismo 7. Melaluinya mereka telah memperlihatkan pelbagai perkara yang boleh dijangka oleh pemain melalui permainan ini.

Anda boleh tonton video penuh di bawah.

Antara yang diperlihatkan adalah seperti biasa cara untuk pemain dapatkan pelbagai kereta yang akan disertakan, mereka mengatakan akan terdapat lebih 300 kereta yang akan hadir di dalam permainan ini, dan lebih banyak akan ditambah di masa hadapan.

Cara untuk mendapatkan kereta-kereta ini adalah dengan membelinya menggunakan mata wang di dalam permainan. Pemain boleh dapatkan kereta yang sentiasa ditawarakan, ataupun yang buat masa terhad seperti kereta terpakai ataupun kereta klasik. Selain itu, pemain juga boleh mendapatkannya melalui ‘Cafe’, iaitu satu hab di mana pemain boleh menyelesaikan pelbagai tugasan untuk mendapatkan kereta-kereta tertentu.

Mereka juga berkongsi lanjut mengenai fungsi cuaca dinamik yang akan disertakan di dalam permainan ini. Di mana ia dilakukan dengan melakukan simulasi perubahan cuaca seperti dunia nyata. Di mana mereka mengatakan pemain akan mendapati pembentukan awan litar di Jepun akan berbeza dengan di Amerika Syarikat contohnya.

Ini akan memberikan keadaan cuaca yang realistik, jika hujan, ia juga akan menghasilkan lopak air di kawasan-kawasan yang tertentu, dan kawasan tersebut juga akan paling lambat untuk kering apabila cuaca menjadi panas semula.

Bagi yang gemar menghias kereta, Gran Turismo 7 akan menyertakan lebih banyak pilihan untuk meletakkan pelekat di kereta ataupun menukar cat dan juga perhiasan lain. Selain itu, pemain juga memuat turun rekaan-rekaan pemain lain yang berkongsi melalui hab yang disediakan di dalam permainan.

Selepas menghias kereta, seperti Gran Turismo sebelum ini, pemain juga boleh mengambil gambar kereta dengan menggunakan pelbagai lokasi sebagai latar belakang ataupun semasa di litar lumba. Mod Foto ini akan menyertakan pelbagai tetapan yang membolehkan pemain untuk menghasilkan gambar yang profesional.

Selain foto, pemain juga boleh tonton dan kongsi tayangan semula untuk sesuatu perlumbaan, menariknya, pemain boleh juga menggunakan fungsi ‘Music Replay’ di mana, tetapan kamera untuk tayangan semula akan berubah-ubah mengikut muzik latar yang digunakan.

Gran Turismo 7 akan dilancarkan secara rasmi pada 4 Mac 2022 untuk PlayStation 4 dan PlayStation 5. Anda boleh baca lanjut mengenai pra-tempahan melalui pautan ini.

Sohor Kini