Sony hari ini telah berkongsi laporan kewangan mereka bagi suku ketiga untuk tahun fiskal 2021-2022, ia adalah prestasi untuk bulan Oktober sehingga Disember 2021. Antara yang diumumkan adalah prestasi untuk bahagian permainan video mereka.

Mereka telah mengumumkan yang sepanjang tiga bulan lepas, PlayStation 5 terjual sebanyak 3.9 juta unit, iaitu tertinggi untuk tahun fiskal ini. Ia juga membawa kepada jumlah keseluruhan sejak dilancarkan November dua tahun lepas kepada 17.3 juta unit.

Bagi PlayStation 4, yang Sony telah dilaporkan akan meneruskan penawarannya pada tahun ini telah terjual sebanyak 200 ribu unit, menjadikan ia terjual 118.6 juta unit keseluruhan.

Bagi jualan permainan pula, untuk tiga bulan lepas, 92.7 juta unit terjual untuk PlayStation 4 dan PlayStation 5 dengan 11.3 juta unit daripadanya adalah permainan oleh mereka sendiri. 62% daripadanya adalah secara digital.

Bagi jumlah pelanggan PlayStation Plus pula, ia mempunyai 48 juta pemain iaitu peningkatan sebanyak 800 ribu berbanding suku yang lepas dan tertinggi pernah dicatatkan sejak tahun fiskal yang lalu. Akhir sekali, mereka juga mengumumkan yang terdapat 111 juta pemain aktif bulanan untuk bulan Oktober sehingga Disember.

Sohor Kini