Pengalaman Bermain Permainan Mudah Alih Di Samsung Galaxy S21 FE

Siri Samsung Galaxy S21 dilancarkan pada awal tahun lepas, setahun kemudian Samsung telah hadir dengan model kemaskini untuknya iaitu Samsung Galaxy S21 FE. Mengikut model-model yang ada, Galaxy S21 FE boleh dikatakan berada di anta Galaxy S21+ dan Galaxy S21, namun harga penawaran adalah lebih murah berbanding dengan harga-harga pasaran yang dicadangkan untuk model tahun lepas.

Saya sudah berkongsi lanjut mengenai Samsung Galaxy S21 FE melalui artikel pandang pertama yang anda boleh baca melalui pautan ini; Pandang Pertama Samsung Galaxy S21 FE – Kemaskini Untuk Model Popular. Namun, berikut adalah beberapa spesifikasi penting untuknya;

  • Skrin: 6.41″ Dynamic AMOLED, 120Hz, 1080 x 2400
  • Cipset: Exynos 2100
  • Ram: 8 GB
  • Storan: 256GB
  • Kapasiti Bateri: 4500mAH
  • Pengecasan Pantas: 25W

Seperti biasa kami akan kongsikan pengalaman umum bermain permainan mudah alih di Samsung Galaxy S21 FE, sebelum saya teruskan dengan percubaan beberapa permainan. Kali ini saya memilih permainan Genshin Impact, Call of Duty Mobile, League of Legends: Wildrift dan Asphalt 9.

Pengalaman Umum

Saya sebelum ini telah menguji Samsung Galaxy S21 Ultra yang mempunyai saiz skrin sebesar 6.8″ dan merasakan ia sedikit besar untuk satu telefon pintar, oleh itu melalui Samsung Galaxy S21 FE yang mempunyai saiz skrin 6.4″, ia memberikan satu saiz yang lebih selesa untuk digunakan tanpa menjejas pengalaman bermain.

Bercakap mengenai skrin, dengan penggunaan panel Dynamic AMOLED, seperti saya katakan untuk S21 Ultra ataupun Samsung Galaxy Z Fold3, ia adalah antara paparan terbaik yang ada di pasaran. Bukan sahaja untuk tontonan media seperti siri TV dan filem akan tetapi juga untuk sesi bermain, ia memberikan warna yang terang menjadikan ia nampak sangat menarik.

Samsung Galaxy S21 FE juga menyokong touch sampling sehingga 240Hz ketika digunakan dalam Game Mode. Ini akan memberikan sesi permainan yang lebih baik dengan selar masa di antara sentuhan dengan apa yang berlaku di skrin bagaikan tidak wujud.

Seperti mana-mana telefon pintar Samsung, ia mempunyai aplikasi Game Launcher terpasang yang bukan sahaja boleh menjadi folder yang lebih interaktif untuk permainan, ia juga menyertakan pelbagai informasi mengenai sesi permainan anda. Selain itu, ia juga kini mempunyai Instant Plays yang membolehkan anda mencuba permainan-permainan mudah alih tanpa perlu memuat turunnya.

Satu masalah yang saya sering alami adalah ada masa sesi menggunakan telefon ataupun bermain terasa sangat tidak lancar. Ia memerlukan saya untuk mematikan dan hidupkan semula untuk ia kembali menjadi seperti biasa. Ia mungkin sesuatu yang akan diperbaiki melalui kemaskini.

Genshin Impact

Bagi Genshin Impact, seperti biasa saya akan mencuba tetapan tertinggi terlebih dan saya boleh katakan ia boleh dimainkan dengan memuaskan akan tetapi untuk sesi permainan yang lebih lancar bagi saya tetapan Medium/60FPS adalah pilihan terbaik. Namun, semasa sesi percubaan ini saya teruskan dengan tetapan tertinggi.

Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakukan sebarang aktiviti, termasuk juga semasa bermain secara multi-pemain dengan setiap pemain akan melakukan serangan-serangan berbeza yang akan menghasilkan pelbagai kesan-kesan visual, kadar kelancaran ada terjejas tetapi tidak terlalu ketara dan mengganggu pengalaman bermain.

Dari segi penggunaan bateri, untuk tetapan tertinggi ini ia menggunakan lebih kurang 25% bateri untuk sesi bermain selama sejam, sepanjang sesi ini ia terasa sedikit panas di bahagian belakang tetapi tidak sehingga menyebabkan anda kurang selesa bermain. Ia juga tidak langsung terasa jika menggunakan kerangka untuknya.

Call of Duty Mobile

Saya menggunakan tetapan terbaik iaitu iaitu tetapan Very High, Max FPS dan pilihan grafik Realistic tanpa sebarang masalah. Ia boleh dimainkan dengan lancar tanpa gangguan. Seperti saya nyatakan di atas dengan sokongan touch sampling, sesi bermain juga terasa sangat responsif yang sudah semestinya mempertingkatkan pengalaman bermain.

Perkara ini adalah konsisten untuk kesemua mod yang ditawarkan di dalam Call of Duty Mobile, tidak kira semasa bermain permainan multi-pemain biasa, battle royale dan juga mod zombi setiapnya boleh dimainkan tanpa sebarang masalah dengan tetapan tertinggi ini.

Bagi sesi selama satu jam saya bermain, ia menggunakan lebih kurang 20% bateri dengan tetapan ini, di bahagian belakang telefon terasa suam sahaja dan boleh digunakan untuk satu sesi masa yang lama dan masih lagi akan selesa untuk dipegang.

League of Legends: Wildrift

Seperti Call of Duty Mobile, League of Legends: Wildrift juga tidak memberikan sebarang masalah untuk saya bermain-nya. Menggunakan tetapan Ultra High Definition bersama dengan kadar kelancaran 60FPS, ia memberikan sesi permainan yang stabil dan saya tidak pernah perasan yang ia jatuh daripada 59FPS (di dalam permainan ia bagaikan dihadkan setakat 59FPS).

Ini tidak kiralah semasa saya berseorangan di lane, ataupun bersama dengan pemain lain, ia termasuk juga semasa pertempuran yang melibatkan ramai pemain seperti semasa di bahagian akhir sesi permainan, setiapnya tidak menjejaskan langsung kelancaran permainan.

Bagi penggunaan bateri pula, saya boleh katakan ia menggunakan kurang daripada 20% untuk sesi satu jam bermain dan tidak langsung terasa panas, menjadikan ia boleh dimainkan untuk satu sesi yang lama, iaitu sesuatu yang kebiasaan bagi permainan MOBA terutama secara kompetitif.

Asphalt 9 Legends

Asphalt 9 Legends adalah antara permainan lumba kereta paling popular di peranti pinta, ia juga mempunyai kualiti grafik yang baik. Di Samsung Galaxy S21 FE, saya boleh bermain dengan tetapan High Quality dan 60FPS tanpa sebarang masalah.

Saya boleh bermain seperti biasa dengan cuba untuk menang, ataupun mengikut kereta-kereta lain dengan lebih dekat, ditambah lagi dengan pelbagai kesan visual yang disertakan di dalam permainan ini, saya tidak perasan jika kadar kelancaran pernah lebih rendah daripada sepatutnya.

Ia juga mempunyai penggunaan bateri yang sedikit sahaja, sepanjang 1 jam saya bermain, ia menggunakan lebih kurang 15% bateri sahaja dan ia juga tidak memberi kesan panas kepada peranti walaupun untuk sesi yang lama.

Rumusan

Samsung Galaxy S21 FE adalah satu pilihan baharu untuk keluarga Galaxy S21, ia memberi pilihan tambahan dan menawarkan apa yang baik daripada S21+ dan S21 di dalam satu pakej. Kemaskini kepada model yang dikeluarkan setahun yang lepas mungkin kurang menarik, akan tetapi dari segi sesi bermain permainan mudah alih ia menawarkan pengalaman yang baik.

Selain sesi bermain permainan mudah alih, ia juga adalah satu peranti pintar yang mempunyai pelbagai kegunaan lain. Oleh itu anda boleh baca pandang pertama di Amanz – Pandang Pertama Samsung Galaxy S21 FE – Masihkah Hebat Walaupun Terlambat? ataupun dengan menonton video di bawah untuk mengetahui lanjut mengenai peranti ini.

Samsung Galaxy S21 FE ditawarkan dengan dua pilihan storan iaitu 128GB dengan harga RM2899 dan 256GB dengan harga RM3099. Setiap pembelian juga akan diberikan baucar RM350 untuk digunakan bagi pembelian seterusnya dan juga Samsung Care+ yang bernilai RM220. Tawaran ini adalah sehingga 31 Januari 2022 sahaja.

Sohor Kini