Baru-baru ini kami sudah laporkan yang World of Warships melalui kemaskini terbaru telah menyertakan beberapa kapal baharu yang kesemuanya adalah berasaskan dari negara Pan-asia, antaranya adalah dari Malaysia sendiri iaitu VI Rahmat. Bersempena dengan pelancaran ini, kami juga telah diberik peluang untuk menemubual Rajeev Girdhar iaitu Penerbit Eksekutif untuk World of Warships.

Antara topik yang dipercakapkan adalah mengenai kapal-kapal baharu, bagaimana ia dipilih, mengenai pemain di Asia Tenggara terutama di Malaysia dan juga mengenai NFT iaitu satu topik yang semakin dipercakapkan di dalam industri permainan video. Selain Aksiz, Gamer Braves dan IGN SEA juga turut bersama di dalam sesi temubual ini.

World of Warships adalah permainan pertempuran kapal perang yang sudah dikeluarkan sejak tahun 2015 lagi, walaupun sudah berusia lebih 6 tahun, Rajeev mengatakan yang ia terus menerima pemain baharu dan pada masa sama mengekalkan pemain-pemain lama. Bahkan beliau mengatakan yang kebanyakan pemain yang bermain World of Warships pada tahun 2015 masih lagi bermain sehingga sekarang.

Tambah beliau lagi, sebagai satu permainan ‘Live’ ia adalah penting untuk terus hadir dengan kandungan-kandungan baharu. Ia akan mengambil masa dan juga pembangun tetapi beliau merasakan yang mereka telah melakukan satu kerja yang baik. Beliau mengatakan sesuatu kapal baharu akan memerlukan 6 hingga 8 bulan masa pembangunan untuk memastikan yang ia boleh disertakan dengan baik.

Bercakap mengenai penambahan 6 kapal baharu yang kesemuanya adalah dari Pan-Asia, Rajeev mengatakan yang pada tahun 2017 mereka telah hadir dengan beberapa kapal dari Pan-Asia dan kali ini mereka menambah lagi 6 kapal dari China dan juga dari Malaysia iaitu VI Rahmat.

Bercakap mengenai VI Rahmat, beliau mengatakan yang rekaan kapal adalah berdasarkan kapal kelas Dido yang digunakan oleh Tentera Laut United Kingdom dan sering diberi pinjam kepada negara-negara berlainan. Oleh itu, VI Rahmat ini adalah jika kapal tersebut diberi pinjam kepada Malaysia. Manakala nama Rahmat pula yang membawa maksud ‘hikmah’, mempunyai sejarah di dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Seperti kami kongsi-kan sebelum ini, KD Rahmat adalah kapal yang pernah digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia bermula pada tahun 1971 sehingga tahun 2004 sebelum ditukar menjadi kapal muzium, akan tetapi akibat pelbagai kerosakan ia telah dilupuskan pada tahun 2017.

Rajeev juga menerangkan yang Malaysia telah dipilih sebagai salah satu negara yang akan mempunyai kapal sendiri di dalam World of Warship adalah kerana Malaysia merupakan negara kelima tertinggi untuk jumlah pemain di Asia Tenggara. Oleh itu, mereka ingin hadir dengan kandungan yang boleh dihargai oleh pemain-pemain di negara-negara tertentu.

World of Warships mempunyai lebih 300 kapal di dalamnya, dan kebanyakan kapal adalah berdasarkan rekaan kapal sebenar dan juga kapal-kapal yang mempunyai sejarah tersendiri. Bercakap mengenai kepentingan sejarah di dalam penghasilan kapal, Rajeev mengatakan yang mereka mengambil sejarah sebagai satu inspirasi yang penting dan permainan World of Warship boleh dianggap sebagai satu muzium digital terbesar untuk kapal-kapal ini.

Namun, beliau juga mengatakan yang jika ingin mengambil kapal yang sebenar sahaja, kandungan akan jadi terhad. Oleh itu, mereka juga akan menghasilkan kapal-kapal dengan rekaan tersendiri tetapi akan mengambil inspirasi daripada sejarah dan juga kapal-kapal sebenar, seperti yang dilakukan untuk VI Rahmat.

World of Warships buat masa ini dilancarkan untuk PC, World of Warship: Legends untuk konsol dan World of Warship: Blitz untuk iOS dan Android. Mereka juga telah mengumumkan yang World of Warship: Legends akan turut dikeluarkan untuk telefon pintar sebagai satu permainan rentas platform. Manakala untuk platform lain, Rajeev mengatakan yang buat masa ini mereka hanya memfokuskan versi iOS dan Android sahaja terlebih dahulu dan masih tiada perancangan untuk menambah platform contohnya untuk Nintendo Switch.

Dengan pelancaran konsol generasi baharu iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series di mana World of Warships boleh dimainkan melalui keserasian belakang, Rajeev mengatakan yang permainan tersebut telah mendapat penerimaan yang baik di kedua-dua konsol dan merupakan antara permainan percuma paling popular untuk PlayStation dan juga Xbox.

Pada masa sama, mereka juga menyedari yang sesetengah pasaran seperti di Asia Tenggara, platform telefon pintar adalah lebih popular berbanding dengan platform lain. Oleh kerana itu, World of Warships Legends yang akan turut dikeluarkan untuk iOS dan Android akan menjadi sesuatu yang penting untu mereka.

Di dalam World of Warships ia mempunyai dua mod iaitu PvE dan PvP, walaupun PvE boleh dikatakan mod paling popular yang memfokuskan kepada koperasi, akan tetapi PvP di mana pemain bermain secara kompetitif juga menjadi semakin popular. Mereka juga telah hadir dengan kejohanan esukan tersendiri iaitu King of the Sea untuk memenuhi permintaan pemain yang ingin bermain secara lebih kompetitif.

Bercakap mengenai penglibatan mereka di dalam esukan, Rajeev mengatakan yang ia adalah sesuatu yang penting bagi mereka. Mereka akan terus meningkatkan usaha dan juga menyertakan lebih banyak fungsi khusus untuk permainan kompetitif dan juga esukan termasuk juga menambah lagi jumlah kejohanan yang akan dianjurkan.

Pada masa yang sama, beliau juga mengatakan yang buat masa ini peratusan besar pemain World of Warships tidak bermain secara kompetitif ataupun terlibat dengan esukan, oleh itu mereka juga perlu memastikan usaha yang sama dilakukan bagi pemain-pemain tersebut agar kandungan baharu turut tiba untuk mereka.

Sesuatu yang sudah menjadi percakapan di dalam industri permainan video adalah NFT dan juga genre Play to Earn disertakan di dalam permainan video. Bercakap mengenainya, Rajeev mengatakan yang mereka sudah semestinya melihat kemungkinan untuk perkara ini disertakan di dalam World of Warships akan tetapi mereka tidak ingin menyertakan NFT semata-mata untuknya sahaja. Ia seharusnya menjadi sesuatu yang berguna untuk permain.

Oleh itu, buat masa ini perkara ini boleh dikatakan di dalam pemerhatian sahaja dan mereka ingin melihat bagaimana pasaran dan juga pemain menerimanya, pada masa sama melihat sama ada kerajaan akan mengeluarkan kawalan untuk perkara tersebut.

Sebagai penutup, Rajeev juga menyentuh bagaimana World of Warships telah terlibat dengan pelbagai aktiviti amal, ini termasuk juga melakukan kempen derma di dalam permainan. Selain itu, sebagai pencipta sejarah, mereka juga telah melakukan penstriman langsung dengan melawat muzium-muzium di pelbagai negara untuk mempromosikan muzium tersebut yang terkesan dengan pandemik Covid-19 kepada pemain-pemain World of Warships yang ramai turut menghargai sejarah.

World of Warships sudah dikeluarkan untuk PC. World of Warships Legends sudah dikeluarkan untuk PlayStation dan Xbox, versi mudah alih juga sedang dibangunkan. World of Warships Blitz sudah dikeluarkan untuk iOS dan Android. Kesemua permainan ini adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam permainan.

Sohor Kini