Jika anda sering bermain permainan dalam talian, sambungan serta kelancaran sesi permainan adalah perkara yang penting di dalam menentukan pengalaman bermain yang baik ataupun tidak, dan bagi pengguna PlayStation 4 ataupun PlayStation 5 selain cara sambungan serta pakej internet anda sendiri, status Network Address Translation (NAT) juga akan menjadi penentu kualiti sesi permainan dalam talian anda.

Secara ringkasnya NAT adalah menentukan tahap sekuriti untuk sambungan internet bagi PlayStation yang dibahagikan kepada tiga jenis;

  • Type 1 – Sambungan Terbuka
  • Type 2 – Sambungan Dengan Sekuriti Sederhana
  • Type 3 – Sambungan Dengan Sekuriti Ketat

Jenis yang dikehendaki semestinya adalah Type 2 iaitu tahap sekuriti yang sederhana ia tidak terlalu terbuka yang boleh mengakibatkan masalah sekuriti, ataupun Type 3 yang terlalu ketat akan menjejaskan kualiti sambungan, ia juga akan mengakibatkan sambungan terputus-putus.

Pada pengalaman saya menggunakan pelbagai perkhidmatan Internet daripada pelbagai penyedia, ia tidak mempunyai masalah untuk mendapat Type 2 tanpa memerlukan sebarang perubahan oleh pemain. Namun, baru-baru ini saya mendapati satu masalah iaitu apabila menguji sambungan internet, PlayStation gagal mendapatkan sebarang jenis NAT sebaliknya ia menjadi ‘Failed’.

Kesannya adalah walaupun saya masih lagi mempunyai sambungan internet, dan ada masa dapat bermain permainan dalam talian tetapi ia sering terputus, ia juga mempunyai ping yang sangat tinggi. Saya dapati yang masalah terjadi kepada pengguna yang menggunakan Unifi dan ada yang mengatakan ia adalah disebabkan Unifi kini menggunakan IP Peribadi berbanding IP Awam.

Saya telah mencuba pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah ini, akan tetapi satu cara yang paling berkesan adalah menyediakan DMZ untuk PlayStation 4 ataupun PlayStation 5 anda. DMZ ataupun Demilitarized Zone adalah satu sistem di mana ia akan menjadikan satu IP tertentu tidak di bawah kawalan keselamatan lalai. Oleh itu, boleh dikatakan yang ia akan menjadikan IP tersebut kurang selamat.

Oleh kerana ini, cara ini hanyalah sesuai untuk penggunaan di konsol sahaja dan bukan untuk di PC yang lebih memerlukan kawalan sekuriti kerana aktiviti yang dilakukan di PC adalah lebih sensitif berbanding apa yang kita lakukan di konsol.

Cara untuk melakukan DMZ adalah berbeza mengikut router yang digunakan, namun kebiasaannya adalah anda perlu memasuki bahagian tetapan router, menggunakan IP gateway, username dan juga password akan disediakan oleh juruteknik yang memasang internet anda, ia juga kebiasaannya akan dinyatakan di router sendiri.

sumber gambar: reddit

Di satu bahagian di dalam tetapan router (contohnya ‘security’) akan terdapat pilihan DMZ, ia akan memerlukan anda untuk memasuki satu IP, di dalam kes ini, IP yang digunakan oleh PlayStation. Anda boleh dapatkan IP di dalam Connection Info di PlayStation.

Selepas DMZ ditetapkan, router perlu di restart, dan PlayStation juga perlu melakukan sambangan semula. Pada pengalaman saya, masalah NAT Failed tidak lagi akan berlaku dan sambungan internet akan menjadi jauh lebih baik.

Selain DMZ ada juga cadangan lain seperti menggunakan UPnP dengan menetapkan port sendiri, ia lebih selamat akan tetapi semasa saya mencubannya ia tidak menyelesaikan masalah NAT Failed, ia mungkin lebih sesuai jika anda mendapat NAT Type 3 dan ingin tukar ke Type 2.

Sohor Kini