Pada Januari tahun lepas, Samsung telah melancarkan Samsung Galaxy S21 secara rasmi dan dengan mereka tidak lagi hadir dengan siri Galaxy Note, boleh dikatakan yang S21 adalah model mercu utama untuk siri telefon pintar oleh mereka. Lebih kurang setahun kemudian, Samsung telah hadir dengan Galaxy S21 FE iaitu kemaskini untuk siri ini yang menyertakan pilihan warna dan saiz baharu.

Diumumkan pada awal bulan ini, Galaxy S21 FE telah diumumkan dan ditawarkan dengan dua pilihan storan iaitu 128GB dengan harga RM2899 dan 256GB dengan harga RM3099. Setiap pembelian juga akan diberikan baucar RM350 untuk digunakan bagi pembelian seterusnya dan juga Samsung Care+ yang bernilai RM220. Tawaran ini adalah sehingga 31 Januari 2022 sahaja.

Samsung Galaxy S21 FE hadir dengan empat pilihan warna iaitu Graphite, White, Olive dan Lavander.

Samsung telah menyediakan saya Samsung Galaxy S21 FE untuk dicuba, dan melalui artikel ini saya akan kongsikan serba sedikit mengenainya akan tetapi akan hadir dengan pengalaman penuh bermain permainan mudah alih menggunakan telefon ini sekitar minggu hadapan.

Apa Di Dalam Kotak?

Menjadi sesuatu perkara yang biasa bagi telefon pintar sekarang, di dalam kotak tidak menyertakan banyak barangan. Ini termasuk juga untuk Samsung Galaxy S21 FE di mana selain telefon itu sendiri, di mana model yang kami terima adalah berwarna Graphite, dua barangan lain yang disertakan adalah kabel pengecas/data dan juga pin pembuka sim bersama dengan buku panduan.

Ia tidak menyertakan pengecas, akan tetapi dengan kabel adalah USB-C ke USB-C, ia mungkin sesuatu yang sudah dimiliki oleh anda. Jika tidak anda mungkin perlu membeli pengecas ataupun plug tambahan yang mempunyai port USB-C, anda juga boleh menggunakan penyesuai jika perlu.

Spesifikasi

Samsung Galaxy S21 FE hadir dengan spesifikasi yang boleh dikatakan mengekalkan spesifikasi yang sama dengan Samsung Galaxy S21. Dimana, ia hadir dengan cip pemprosesan Exynos 2100 yang juga menyokong rangkaian 5G, dengan satu pilihan RAM sahaja iaitu 8GB sama seperti S21 dan juga S21+.

Manakala untuk storan pula, seperti saya nyatakan di atas, ia hadir dengan dua pilihan iaitu 128GB ataupun 256GB dan di tangan kami adalah model 256GB, iaitu bagi saya adalah storan yang anda harus sasarkan untuk memastikan penggunaan yang lebih lama, ini ditambah lagi ia tidak menyokong penambahan storan melalui kad SD.

Bagi saiz skrin pula ia adalah 6.41″ dengan resolusi 1080 x 2400 menggunakan panel Dynamic AMOLED, menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz dan juga sokongan HDR10+. Dari segi saiz, ia boleh dikatakan berada di antara Galaxy S21+ dan Galaxy S21. Selain itu, seperti dilaporkan sebelum ini, ia menyokong touch sampling sehingga 240Hz ketika digunakan dalam Game Mode.

Seperti saya nyatakan beberapa kali sebelum ini, mana-mana peranti Samsung yang menggunakan panel AMOLED, ia akan memberikan paparan yang cukup memuaskan. Begitu juga dengan Galaxy S21 FE, di tambah lagi dengan kadar segar semula 120Hz ia adalah satu pengalaman yang terbaik untuk penggunaan harian.

Seperti skrin, bateri untuknya juga boleh dikatakan di antara Galaxy S21+ dan Galaxy S21 iaitu 4500mAH, iaitu satu kapasiti yang cukup baik, pada percubaan awal saya, ia boleh digunakan seharian dengan perlu mengecas pada lewat hari berikutnya, tetapi ini adalah dengan sesi bermain permainan mudah alih yang minimum.

Rekaan

Dari segi kekemasan untuk Samsung Galaxy S21 FE, ia adalah lebih kurang dengan model asal untuk siri ini, akan tetapi hadir dengan pilihan warna baharu. Ia adalah baik untuk dipegang, perkara yang menarik adalah ia memberi kesan logo Samsung berada di dalam berbanding terpapar di atas. Bagi warna graphite yang saya cuba, ia sedikit cepat kotor dengan kesan cap jari.

Selain itu, ia juga mempunyai saiz yang lebih menjadi pilihan saya berbanding dengan S21+ ataupun S21 Ultra yang terasa sedikit besar, manakala S21 yang terasa terlalu kecil.

Ia juga masih mengekalkan berat di bawah 200g menjadikan Galaxy S21 FE satu telefon pintar yang mudah untuk dikendali walaupun ketika menggunakan satu tangan sahaja. Ia mempunyai bonjol kamera akan tetapi tidak terlalu jelas, walaupun jika diletakkan di permukaan rata ia masih lagi bergoyang-goyang apabila ditekan, sesuatu yang boleh diatasi dengan penggunaan kerangka.

Kesemua butang berada di satu bahagian iaitu bahagian kanan yang menjadikan ia sangat mudah untuk diakses, terutama semasa menggunakan secara mendatar semasa bermain permainan video. Manakala dengan penggunaan pengesan cap jari di dalam skrin ia mempunyai bahagian depan sepenuhnya skrin dengan tanpa sebarang takuk kecuali satu lubang kamera depan.

Ia hadir dengan pembesar suara stereo yang bagi saya cukup kuat tetapi bukan untuk di kawasan yang bising. Ia tidak mempunyai bicu audio oleh itu anda perlu menggunakan sambungan USB-C ataupun set fon kepala/telinga nirwayar.

Kesimpulan

Samsung Galaxy S21 FE adalah satu pilihan yang baharu bagi anda yang sedang mencari untuk mendapatkan telefon baharu, ia ditawarkan dengan harga yang lebih murah jika ingin dibandingkan dengan harga pelancaran untuk Galaxy S21 tahun lepas. Walaupun mengekalkan kebanyakan spesifikasi dalaman tetapi menawarkan penambahan yang baik berbanding S21, iaitu skrin dan bateri yang lebih besar.

Prestasi bermain permainan mudah alih boleh dikatakan dengan percubaan kami untuk Samsung Galaxy S21 Ultra sebelum ini, akan tetapi saya akan menguji dengan lebih lanjut dan akan berkongsi mengenainya sekitar minggu hadapan. Sementara itu anda boleh layari laman Samsung untuk maklumat lanjut mengenai telefon ini.

Sohor Kini