Memilih PC ataupun komputer riba sebagai platform permainan video utama mempunyai beberapa kelebihan, antaranya berbeza dengan konsol PC tidak mempunyai konsep generasi. Permainan yang disertakan untuk PC akan terus berkekalan sehinggalah ia tidak lagi ditawarkan. Ada kemungkinan permainan lama tidak disokong oleh perkakasan modem akan tetapi ia mungkin untuk permainan yang berumur lebih 20 tahun.
Selain itu, permainan-permainan di PC, walaupun terhad kepada permainan digital sahaja kebiasaannya lebih murah berbanding dengan konsol, ini disebabkan kebanyakan gedung-gedung permainan di PC, mempunyai harga tempatan contohnya Steam dan Epic Games Store yang menawarkan permainan lebih murah berbanding tawaran di negara-negara lain, terutama negara yang lebih kaya seperti Amerika Syarikat.
Seterusnya, yang menjadi topik utama untuk artikel kali ini adalah, permainan di PC akan mempunyai tetapan grafik yang lebih mendalam berbanding di konsol. Ini secara langsungnya memberikan kepada pemain lebih pilihan untuk bermain sesuatu permainan mengikut citarasa tersendiri. Kebiasaan di konsol, terutama dengan konsol generasi baharu pemain terhad kepada dua atau tiga pilihan sahaja yang mungkin perlu mengorbankan sesuatu bahagian untuk mendapat bahagian yang lain. Di PC, boleh dikatakan ia sepenuhnya bergantung kepada kehendak pemain.
Sebelum kita menyentuh mengenai tetapan grafik, sasaran utama pemain akan melakukan perubahan tetapan adalah untuk mencapai Kadar Bingkai Sesaat ataupun Frame per Second (FPS) yang dikehendaki. Apa itu FPS, secara ringkasnya ia adalah berapa bingkai ataupun gambar berbeza yang boleh diperlihatkan dalam masa satu saat. Ia adalah penting kerana lebih tinggi FPS, sesuatu permainan akan nampak lebih jelas.
Ia berbeza dengan Kadar Segar Semula ataupun Refresh Rate, namun ia mempunyai kaitan yang rapat. Jika anda bermain permainan dengan 60FPS, anda akan memerlukan paparan yang menyokong kadar segar semula sehingga 60Hz untuk mendapat paparan yang terbaik. Jika anda bermain 120FPS, tetapi paparan sekadar menyokong 60Hz, anda masih lagi melihat permainan bagaikan ia dijalankan setakat 60FPS sahaja. Namun, ia masih mempunyai beberapa kelebihan mendapatkan FPS yang sedikit lebih tinggi berbanding kadar segar semula.
Kebiasaan permain di PC akan memilih untuk mendapatkan kadar bingkai sesaat 60FPS dan ke atas, ini adalah kerana kebanyakan monitor ataupun paparan yang digunakan di laptop mempunyai sekurang-kurangnya kadar segar semula 60Hz, selain itu, ia juga akan mempertingkatkan pengalaman bermain sesuatu permainan. Bagi mendapatkan FPS tertentu, ia akan memerlukan spesifikasi yang tepat, ia juga akan bergantung kepada resolusi dan juga tetapan grafik.
Bercakap mengenai resolusi, setiap permainan memberi pilihan kepada pemain untuk mengubah resolusi yang dikehendaki, namun bagi saya, rule of thumb untuk memilih resolusi adalah sama dengan paparan yang diberikan ataupun lebih tinggi jika boleh. Jika anda menggunakan resolusi lebih rendah berbanding dengan resolusi paparan, anda tidak akan bermain dengan skrin penuh, jika anda paksa untuk ia dimainkan dengan skrin penuh ia akan menjejaskan kualiti grafik, termasuk juga menjadi kabur.
Kebanyakan permainan juga mempunyai sokongan fungsi DLSS iaitu teknologi yang menggunakan pembelajaran-mesin untuk render sesuatu permainan dengan resolusi yang rendah tetapi memaparkannya dengan resolusi lebih tinggi.
Contohnya DLSS, mengikut tetapan yang berbeza iaitu Quality, Balanced, Performance dan Ultra Performance, ia akan render permainan dari 66% sehingga 33% berbanding paparan sebenar. Contohnya, ia akan render secara HD Penuh iaitu 1920 x 1080, tetapi dipaparkan dengan resolusi 4K 3840 X 2160. Kelebihan teknologi ini ia memberi kualiti grafik yang lebih kurang dengan resolusi sebenar tetapi dengan prestasi yang jauh lebih baik.
Oleh itu, secara asasnya, pemain akan mempunyai satu sasaran FPS yang dikehendaki, tidak kira 60FPS ataupun 120FPS, untuk mendapatkannya resolusi perlu dipilih, namun seperti saya katakan di atas, ia sepatutnya perlu mengikut resolusi asal paparan yang anda gunakan dan tetapan grafik perlu dinaik ataupun diturunkan untuk mendapatkan FPS yang disasarkan tersebut.
Kebolehan untuk mengubah tetapan grafik adalah ‘pedang dua mata’ ia baik kerana memberi pelbagai pilihan berbeza kepada pemain, tetapi pada masa sama ia juga menjadi sesuatu yang “menakutkan” kepada pemain, dan merasakan ia akan mengambil masa yang lama berbanding sekadar bermain seperti di konsol.
Namun saya boleh katakan, tetapan grafik lalai sekarang sudah cukup memuaskan untuk digunakan tanpa pemain perlu memikir panjang mengenainya. Selain itu, walaupun sesuatu permainan mempunyai puluhan tetapan berbeza akan tetapi tidak semua adalah penting, sebaliknya kita hanya perlu memfokuskan beberapa tetapan yang penting sahaja.
Jika bercakap secara teori, ia akan menjadi satu artikel yang panjang oleh itu lebih baik jika saya menggunakan contoh berdasarkan beberapa permainan untuk memperlihatkan-nya. Bagi tujuan ini, saya akan menggunakan komputer riba Predator Helios 500, iaitu model yang baru sahaja diumumkan yang mempunyai spesifikasi seperti berikut;
Bagi permainan pula kami memilih dua permainan iaitu Cyberpunk 2077 yang mempunyai tetapan yang pelbagai dan juga boleh dikatakan permainan paling memerlukan spesifikasi yang tinggi untuk dimainkan. Seterusnya adalah Fortnite, sebagai permainan dalam talian serta kompetitif yang bagi saya mempunyai pilihan tetapan grafik yang tersendiri.
Cyberpunk 2077 adalah permainan yang bagi saya adalah permainan yang benar-benar memperlihatkan apa yang boleh dilakukan melalui teknologi Ray Tracing. Oleh itu, saya akan mencuba untuk mendapatkan tetapan yang terbaik tanpa terlalu mengorbankan tetapan ray tracing. Kebiasaan untuk saya mulakan perubahan tetapan grafik, adalah dengan menggunakan tetapan tertinggi yang saya boleh capai kemudian mengubahnya untuk mendapatkan FPS yang dikehendaki.
Dengan Predator Helios 500 mempunyai spesifikasi yang bagi saya adalah antara terbaik yang boleh diperoleh sekarang, saya memulakan dengan tetapan tertinggi iaitu RT Ultra, ia akan menggunakan pilihan ray tracing iaitu Reflections, Shadows dan Lighting. Bagi tetapan grafik pula, ia akan menggunakan tetapan tertinggi yang boleh sama ada High ataupun Ultra. Saya juga menggunakan resolusi 3840 x 2160 yang lalai untuk laptop ini.
Menggunakan tetapan ini, saya mendapat kadar kelancaran 30-40 FPS, yang bagi saya sudah cukup baik terutama dengan penggunaan ray tracing. Ia juga dibantu oleh DLSS yang ditetapkan secara lalai kepada Auto untuk tetapan ini, tanpa menggunakan DLSS, kadar kelancaran jatuh menjadi 25-35FPS, yang bagi saya bukan prestasi yang baik untuk bermain.
Adakah ia boleh mendapat sekurang-kurangnya 60FPS?
Ia adalah sedikit sukar, ini adalah kerana penggunaan resolusi 4K sangat memerlukan spesifikasi yang tinggi oleh itu, berbanding mengejar 60FPS, saya ingin menyasarkan penambahan sekurang-kurangnya 10FPS lagi. Saya telah mencuba pelbagai jenis tetapan akan tetapi yang paling berkesan adalah mengurangkan ataupun menutup Volumetric Fog Resolution dan Volumetric Cloud Quality, dua tetapan ini adalah memberikan kesan berasap di beberapa kawasan. Ia sudah semestinya akan menjadikan permainan lebih bergaya, namun kesan kepada prestasi adalah terlalu besar bagi saya ia lebih baik ditutup.
Seterusnya adalah Screen Space Reflections iaitu tetapan yang akan menentukan pantulan sesuatu permukaan, tetapan yang tinggi akan memberikan pantulan yang lebih realistik dan menjadikannya lebih cantik terutama untuk permainan yang menggunakan lampu yang banyak seperti Cyberpunk 2077. Namun, ia juga memberi kesan yang besar kepada FPS, berbanding Ultra, saya turunkan kepada medium. Perubahan ini yang dilakukan untuk tiga tetapan di atas, memberikan saya kadar kelancaran 40-50 FPS.
Manakala tetapan-tetapan lain saya mencubanya ia tidak ataupun sedikit sahaja memberi kesan kepada perubahan FPS, oleh itu saya merasakan mengekalkan kepada tetapan lalai untuk RT Ultra adalah lebih baik. Anda boleh menutup Chromatic Abberation dan juga Motion Blur, akan tetapi ia bukan kerana membantu dari segi prestasi, namun bagi saya permainan akan nampak lebih baik tanpa kedua-dua tetapan ini.
Jika anda inginkan kadar kelancaran melebihi 60FPS, tidak menggunakan Ray Tracing adalah pilihan terbaik. Jika anda menggunakan tetapan High anda boleh dapatkan 60FPS dan keatas dan ia masih memerlukan penggunaan DLSS.
Bagi permainan dalam talian terutama secara kompetitif seperti Fortnite, Apex Legends, PUBG dan Call of Duty, cara memulakan tetapan adalah berbeza dengan permainan biasa. Berbanding menggunakan tetapan tertinggi, apa yang perlu dilakukan adalah menggunakan tetapan terendah untuk kebanyakan bahagian kemudian meningkatkan beberapa tetapan jika sudah melebihi FPS yang diinginkan.
Terdapat tiga tetapan sahaja yang bagi saya perlu ditetapkan secara maksimum di dalam Fortnite iaitu Resolusi perlu mengikut resolusi lalai untuk monitor anda, bagi Predator Helios 500, ia akan menggunakan 3840 x 2160.
Seterusnya adalah 3D Resolution, ia adalah resolusi paparan yang akan digunakan, jika lebih rendah berbanding 80% ia akan menjadi kabur, oleh itu untuk tetapan ini ia mesti digunakan sebagai 100% bukan kerana ia akan nampak lebih baik, akan tetapi gambar yang kabur akan menjadikan sesi permainan lebih sukar.
Resolusi dan 3D Resolution boleh ditetapkan secara tertinggi kerana Fortnite juga menyokong fungsi DLSS, oleh itu agak membazir jika kedua-dua ini ditetapkan rendah yang akan memberikan kualiti yang kurang baik sedangkan DLSS boleh melakukannya dengan cara yang lebih baik.
Ketiga pula adalah View Distance yang akan menentukan sejauh mana anda boleh melihat di dalam permainan ataupun sejauh mana permainan ini akan render. Bagi saya ia perlu diletakkan di tetapan tertinggi iaitu Epic, kerana di dalam permainan ini anda perlu melihat sejauh yang mungkin untuk mendapat maklumat mengenai keadaan persekitaran. Jika terlalu rendah, anda mungkin tidak akan menyedari lawan sudah menghampiri.
Tetapan lain seperti Shadows, Anti-Aliasing, Effect, Textures, Effect, dan Post Processing boleh ditetapkan kepada Low, ia sudah tentunya akan memberikan paparan yang kurang menarik, akan tetapi bagi saya ia bukan perkara yang penting di dalam permainan seperti ini.
Dengan menggunakan tetapan ini, Predator Helios 500 tidak langsung mempunyai masalah untuk mendapatkan kadar kelancaran mencecah 110-120FPS, dengan skrin menyokong sehingga 120Hz, bagi saya ia adalah tetapan yang sudah terbaik. Jika anda bermain di monitor yang mempunyai kadar segar semula, anda boleh tingkatkan Anti-Aliasing, Textures dan Post Processing yang bagi saya tiga tetapan yang paling membantu di dalam menjadikan permainan ini nampak lebih cantik.
Fornite juga mempunyai sokongan Ray Tracing, namun berbeza dengan permainan seperti Cyberpunk 2077, ia tidaklah diperlukan, kerana sesi permainan yang pantas, pemain tidak akan mempunyai masa untuk melihat persekitaran. Jika anda membukanya dengan tetapan ini, kadar kelancaran adalah 70-80 FPS, walaupun ia adalah masih lagi baik akan tetapi ia bukan sesuatu yang penting.
Jika anda merasakan yang tetapan grafik di PC adalah sesuatu yang akan mengambil masa ataupun menyusahkan, ia adalah satu perkara yang disalah anggap. Seperti contoh yang saya berikan di atas, tetapan grafik kebiasaan adalah ringkas. Dengan menggunakan tetapan lalai bersama dengan beberapa perubahan kecil, anda kebiasaannya akan mendapat sasaran prestasi yang dikehendaki.
Bagi pemain yang ingin pengalaman konsol, tetapan lalai sudah mencukupi, anda hanya perlu memastikan spesifikasi adalah seperti yang diperlukan oleh permainan tersebut. Kebiasaan, penerbit permainan akan meletakkan spesifikasi yang dicadangkan untuk membolehkan ia dimainkan dengan resolusi 1920 x 1080 dengan tetapan Medium/High untuk mendapat kadar kelancaran 60FPS. Ia boleh dijadikan sebagai satu penanda aras yang baik untuk menentukan apa yang anda boleh jangkakan prestasi bagi sesuatu permainan.
Penafian: Advertorial ini dibawakan oleh Acer Malaysia