Penafian: Permainan God of War untuk PC, melalui Steam, disediakan oleh Sony Interactive Entertainment untuk tujuan ulasan ini. Ia akan dilancarkan pada 14 Januari 2022 di Steam dan Epic Games Store.
Di dalam permainan God of War yang dilancarkan pada tahun 2018 secara eksklusif untuk PlayStation 4, Kratos iaitu satu nama yang tidak asingkan lagi telah beralih dari dunia ketuhanan Yunani, kepada dunia ketuhanan Norse. Bersama dengan pemindahan ini, permainan God of War juga beralih dari sekadar permainan Hack & Slash, kepada satu permainan aksi pengembaraan yang lebih mendalam.
Permainan tersebut kini melakukan satu lagi pemindahan, apabila turut dilancarkan untuk PC. Sesuatu yang telah menjadi percubaan bagi PlayStation Studios bermula dengan permainan Horizon Zero Dawn dan diikuti dengan Days Gone. Walaupun, kedua-dua permainan tersebut adalah baik, namun mereka tidak setaraf dengan God of War ini, yang bagi kami adalah antara permainan terbaik di PlayStation.
Oleh itu, ia dikeluarkan untuk platform PC adalah satu perkara yang sangat penting, memberi peluang kepada pemain yang tidak pernah mencuba sebelum ini, dan juga memberi pengalaman baharu kepada pemain dengan bermain di platform yang lebih terbuka. Secara sukacitanya, saya boleh katakan versi PC ini benar-benar menjadikan permainan yang sudah cukup sempurna ini lebih seronok untuk dimainkan.
Permainan Terbaik Sepanjang Zaman?
Saya tidak akan melakukan ulasan penuh untuknya, kerana walaupun di platform baharu, ia masih mengekalkan bentuk permainan serta penceritaan. Sebaliknya anda boleh baca ulasan penuh di pautan ini – Ulasan God Of War – Permainan Terbaik Dan Epik Buat Siri Tersebut yang bagi saya masih lagi relevan untuk versi PC ini. Sebaliknya, melalui artikel ini saya akan kongsi-kan ulasan ringkas dan akan lebih memfokuskan kepada prestasi di PC.
Secara jujurnya, saya sudah mencuba kesemua permainan God of War, seperti God of War, God of War II, God of War III dan God of War: Ascension akan tetapi tidak terlalu menyukai ataupun menjadi permainan yang sentiasa di dalam ingatan. Namun, berbeza dengan permainan yang boleh dikatakan sebagai satu olahan semula untuk francais God of War ini dan Santa Monica Studio telah melakukan satu kerja yang sangat baik.
Berbanding sekadar memfokuskan aksi, God of War kali ini menawarkan penceritaan yang lebih mendalam, selepas kejadian di dalam permainan God of War yang sebelum ini, Kratos telah membawa diri ke dunia baharu, dan pada permulaan penceritaan diperlihatkan yang isteri Kratos telah meninggal dunia meninggalkan seorang anak lelaki bernama Atreus.
Melaluinya, perwatakan Kratos telah dikembangkan dengan sangat baik. Dia bukan lagi sekadar tuhan yang sentiasa marah ataupun ingin balas dendam, akan tetapi menjadi Kratos yang mempunyai jiwa dan kasih sayang terutama terhadap anaknya Atreus. Selepas kematian isterinya, beliau terasa asing dengan dunia baharu ini, bertambah lagi apabila mereka berdua mengembara untuk membawa abu isterinya ke puncak tertinggi di Midgard.
Di dalam pengembaraan ini, Kratos mula bertemu dengan pelbagai watak termasuk juga dengan tuhan-tuhan di dunia tersebut yang tidak semuanya menerima kehadiran satu tuhan asing di kawasan mereka. Selain itu, terdapat juga misteri mengenai Atreus yang mempunyai kebolehan diluar jangkaan Kratos.
Selain penceritaan yang baik, ia juga disampaikan dengan sempurna, walaupun mempunyai pelbagai lore yang perlu dijelaskan, ramai watak yang perlu diperkenalkan, pelbagai misteri perlu dirungkaikan akan tetapi setiap-nya hadir dengan baik. Menjadikan penceritaan tidak terasa terlalu rumit tetapi sentiasa mempunyai sesuatu yang akan mendorong untuk saya terus merungkai penceritaan ini.
Bagi sistem pertempuran pula, ia berbeza dengan permainan-permainan sebelum ini, akan tetapi bagi saya perubahan yang dilakukan menjadikan God of War kali ini sebagai satu permainan yang jauh lebih baik. Kratos juga kini menggunakan kapak Leviathan yang mempunyai keupayaan seakan tukul Thor yang boleh dibaling dan dipanggil balik. Pemain akan diberikan dengan pelbagai kombo serangan yang menjadi keseronokan untuk mencuba pelbagai kombinasi yang berbeza dan yang lebih efektif.
Jumlah penjahat bagi saya sudah mencukupi untuk memastikan setiap pertempuran terasa berlainan. Tambahan daripada itu, jika pemain inginkan cabaran terdapat juga beberapa perlawanan bos yang boleh dielakkan dan tidak berkait dengan penceritaan utama tetapi masih lagi menarik untuk diteroka sebagai lore keseluruhan. Ia juga membawa kepada satu lagi perkara yang dilakukan dengan sangat baik di dalam permainan ini iaitu pengembaraan.
God of War adalah permainan separa-dunia terbuka, ia mempunyai beberapa kawasan yang setiapnya boleh diteroka termasuk juga melalui kawasan yang tidak berkait dengan penceritaan. Namun, ia bukanlah satu kawasan yang luas dan masih lagi memberi pengalaman yang dihasilkan oleh pembangun berbanding pengalaman yang dihasilkan oleh pemain sendiri seperti kebanyakan permainan dunia terbuka yang lain, bagi saya, ia adalah sesi pengembaraan yang lebih baik.
Walaupun saya sudah memasuki dunia God of War ini berkali-kali akan tetapi sekali lagi memasuki untuk bermain versi PC ini, ia masih lagi memberi perasaan yang sangat mengagumkan. Setiap kawasan direka dengan terperinci memberi gabungkan persekitaran serta lore penceritaan yang membawa satu dunia yang epik. Setiap peringkat juga dihasilkan dengan baik, memberikan pengalaman bertempur bersama dengan persekitaran seperti menyelesaikan tekaria yang dicampur aduk dengan menarik untuk tidak menjadikan sesuatu bahagian terasa bosan.
Port Yang Baik?
Seterusnya adalah grafik, semasa ia dimainkan di PlayStation 4 lagi, grafik yang dipaparkan adalah mengagumkan. Seperti saya katakan di atas, setiap kawasan dihasilkan dengan baik dan dibantu lagi dengan grafik yang memukau. Di PC, anda kini boleh memilih pilihan grafik yang terbaik untuk anda. Bagi tetapan secara yang terbina, ia mempunyai Low, Original, High dan Ultra.
Saya tidak melakukan perbandingan dengan versi PS4 akan tetapi saya merasakan yang tetapan Original adalah tetapan grafik jika ingin kualiti grafik seperti yang anda peroleh di konsol tersebut, manakala grafik Low untuk lebih rendah serta High dan Ultra untuk lebih tinggi. Bagi sesi permainan saya, saya menggunakan tetapan High tanpa sebarang masalah. Spesifikasi PC yang digunakan adalah seperti berikut;
- CPU: AMD Ryzen 5 3600 (3.66Ghz)
- GPU: NVIDIA GeForce RTX 2060 (6 GB)
- RAM: 16 GB
Dengan menggunakan tetapan High bersama dengan resolusi 1920 x 1080 saya memperoleh lebih kurang 70-80 FPS bergantung kepada kawasan dan juga apa yang sedang berlaku di dalam permainan, ada masa ia jatuh lebih renda berbanding 70 tetapi sangat jarang. Namun, saya lebih menyukai untuk menggunakan DLSS dengan tetapan Quality iaitu ia akan render grafik dengan resolusi 1280 x 720 tetapi dipaparkan dengan HD Penuh, ia mempertingkatkan FPS sehingga 20 FPS, melaluinya saya mendapat 90-100 FPS tanpa kekurangan kualiti grafik yang ketara.
Jika anda inginkan kadar kelancaran yang lebih tinggi, terdapat DLSS yang memfokuskan kepada Performance, ia akan menggunakan render dengan resolusi yang lebih rendah. Anda juga boleh mengurangkan tetapan grafik ke Original, bergantung kepada spesifikasi PC anda. Namun, secara amnya saya boleh katakan ia adalah satu permainan yang dibawa ke platform PC dengan baik. Ia lebih baik jika ingin dibandingkan dengan Horizon Zero Dawn dan Days Gone sebelum ini.
Ia juga menyokong FidelityFX bagi yang menggunakan kad grafik AMD, dan seperti yang sudah diharapkan daripada satu permainan PC, ia juga menyokong paparan lebar jika anda memiliki monitor yang berkenaan.
Gambar pertama tanpa DLSS, gambar kedua menggunakan DLSS Quality
Di bahagian bawah semasa di menu tetapan grafik akan disertakan VRAM yang digunakan, ia adalah penanda awal yang baik untuk memastikan anda boleh bermain dengan pengalaman yang baik. Pastikan penggunaan lebih rendah berbanding yang disertakan oleh kad grafik anda.
Sebagai satu penafian, saya juga bermain versi permainan yang pra-pelancaran, oleh itu ia mungkin mempunyai lebih banyak masalah, walaupun saya tidak menjumpainya berbanding versi yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Saya juga menggunakan papan kekunci dan tetikus secara sepenuhnya untuk mengawal permainan ini, dan bagi saya ia adalah baik akan tetapi apabila permainan menjadi lebih rumit, dengan pemain akan mendapat akses kepada pelbagai jenis kombinasi serangan, bagi saya menggunakan alat kawalan tidak kira DualShock, DualSense ataupun alat kawalan Xbox, ia lebih terasa senang dan tidak terlalu kelam kabut. Anda juga boleh meningkatkan pengalaman menggunakan papan kekunci dan tetikus dengan mengubah tetapan kawalan mengikut keselesaan anda.
Adakah perlu bermain sekali lagi God of War di PC?
Jika anda mempunyai spesifikasi PC yang boleh menjalankan permainan ini dengan kualiti yang lebih tinggi berbanding di PS4 walaupun sekadar peningkatan FPS sahaja, bagi saya Ya, anda akan mengalami permainan yang sangat baik ini dengan pengalaman yang lebih baik, lebih-lebih lagi jika mempunyai PC yang lebih berkuasa. Spesifikasi yang dicadangkan, bagi saya sudah mencukupi untuk mengalami permainan ini dengan lebih baik berbanding konsol;
- CPU: Intel i5-6600k (4 core 3.5 GHz) atau AMD Ryzen 5 2400 G (4 core 3.6 GHz)
- GPU: NVIDIA GTX 1060 (6 GB) atau AMD RX 570 (4 GB)
- RAM: 8 GB RAM
Jika anda tidak pernah mencuba God of War, sama ada kerana tidak memiliki konsol ataupun tidak berkesempatan, anda wajib mencubanya kerana ia adalah permainan yang masih lagi antara permainan terbaik yang pernah dilancarkan. Ia memberi pengalaman penuh dengan setiap bahagian dilakukan dengan sangat baik tidak kira penceritaan, pertempuran dan juga pengembaraan. Ia adalah satu permainan yang cukup lengkap.