Sejak beberapa minggu lepas, beberapa pencipta kandungan FIFA 22 telah mengatakan yang akaun mereka telah digodam dengan mereka tidak lagi mempunyai akses kepada akaun tersebut. Mereka mengatakan yang penggodam telah menukar emel dan password akaun tanpa pengetahuan mereka.

Ini juga termasuk yang menggunakan pengesahan dwi-faktor, sebaliknya ia dikatakan yang penggodam telah menghubungi bahagian sokongan EA, dan meminta mereka untuk menukar emel dan password bagi akaun tersebut. Pada awalnya EA, sekadar memberi balasan yang sedang menyiasat perkara ini dan menggalakkan pemain untuk memastikan akaun mereka selamat dengan menggunakan pengesahan dwi-faktor.

Minggu ini, EA telah mengesahkan yang akaun-akaun berprofil tinggi telah menjadi sasaran oleh penggodam dan mereka berjaya mendapat akaun dengan mendesak staf sokongan mereka dan juga menggunakan ‘Kejuruteraan sosial’ untuk menyamar menjadi pemilik akaun.

EA juga mengesahkan terdapat hampir 50 akaun yang terkesan dan mereka akan menjejak dan akan mengembalikan akaun tersebut kepada pemilik asal termasuk juga kandungan-kandungan di dalam akaun tersebut sebelum digodam.

Beberapa pencipta kandungan yang terkesan telah mendapat semula akses kepada akaun mereka tetapi mengatakan yang kebanyakan pemain telah dibuang ataupun dijual dan FIFA Coins serta FUT Point juga telah digunakan oleh penggodam.

Sebagai langkan seterusnya, EA telah mengatakan yang staf sokongan mereka akan menjalani latihan semula, dan setiap perkhidmatan sokongan akaun akan mempunyai lapisan tambahan untuk memastikan ia tidak lagi berulang.

FIFA 22 sudah dikeluarkan sejak tahun lepas untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC. Anda boleh baca ulasan kami di pautan ini; Ulasan FIFA 22 – Penambahan Sederhana, Masih Lagi Pilihan Terbaik.

Sohor Kini