Siri anime untuk Attack on Titan telah memasuki bahagian terakhir dengan episod pertama bagi bahagian kedua musim terakhir ini mula disiarkan pada 10 Januari lepas, bersempena dengannya, Activision telah mengumumkan acara kolaborasi dengan Attack on Titan di mana mereka hadir dengan berkas Tracer Pack: Attack on Titan — Levi Edition untuk Call of Duty Warzone dan Call of Duty Vanguard.

Di dalam berkas ini, pemain akan mendapat blueprint untuk tiga senjata iaitu Historia, Ymir Curse dan Titan Piercer yang mengambil gaya rekaan daripada Attack on Titan. Ia juga menyertakan barangan kosmestik lain seperti charm Secret Keeper, pelekat dan juga Emblem.

Tiga animasi juga disertakan iaitu Steel Cut – Finishing Move, Ultrahard Steel – MVP Highlight dan Vertical Maneuver – Highlight Intro. Melengkapkan koleksi ini, pemain juga akan mendapat kostum Survey Corps yang boleh digunakan oleh Sgt. Daniel ataupun Dainel Yatsu.

Berkas ini akan tiba pada 20 Januari 2022.

Selain itu, Activision juga telah mengumumkan kemaskini untuk Vanguard yang akan menyertakan operator baharu iaitu Isabella Rosario Dulnuan Reyes, senjata baharu Welgun, dan juga kemaskini untuk mod Zombies.

Call of Duty Vanguard dan Call of Duty Warzone sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC. Warzone adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini