Masalah bermain permainan video semasa sepatutnya bekerja adalah sesuatu yang biasa berlaku, secara jujur-nya kami sendiri ada melakukannya. Namun, jika anda adalah anggota polis yang perlu sentiasa bersedia untuk melakukan tugasan apabila perlu, bermain boleh dikatakan sebagai satu kesalahan besar.

Inilah yang berlaku terhadap dua anggota polis di Los Angeles, Amerika Syarikat. Melalui laporan yang dikeluarkan oleh Mahkamah mereka telah dipecat selepas didapati mengabaikan panggilan untuk memeriksa mengenai satu rompakan yang berlaku, sebaliknya dikatakan sedang bermain Pokemon GO.

Di dalam laporan mahkamah tersebut juga, kedua-dua mereka didapati sedang berborak mengenai menjumpai lokasi di mana Snorlax dan juga Togetic, bahkan meraikan kejayaan mereka untuk menangkap Togetic. Dua anggota polis tersebut mengatakan yang mereka tidak bermain Pokemon GO sebaliknya sekadar melihat penjejak untuk permainan tersebut.

Rekod mahkamah ini adalah untuk rayuan yang dilakukan oleh anggota polis tersebut di atas pemecatan mereka, akan tetapi mahkamah telah menolak rayuan tersebut dan mengatakan yang mereka bersalah. Anda boleh baca rekod penuh melalui pautan ini, yang bagi kami satu komedi untuk hari ini.

Sohor Kini